U Mobile dan MAIPk perkenal kad prabayar GoPayz Ta’awun Mesra Muslim

GoPayz, perkhdidmatan eWallet oleh U Mobile kini melancarkan kad prabayar Visa GoPayz-MAIPk (Ta’awun) dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk). GoPayz telah dilantik sebagai ejen rasmi MAIPk untuk pungutan bayaran zakat, wakaf dan derma bagi pelanggan di Perak.

Majlis pelancaran ini disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan U Mobile Group, Wong Heang Tuck, bersama Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, YBrs Shahrul Azam bin Shaari. Kad ini diperkenalkan sebagai kad prabayar yang “Mesra Muslim”.

Menurut Heang Tuck, “GoPayz sentiasa berusaha untuk memberi perkhidmatan kewangan dan gaya hidup digital yang mudah kepada pelanggan. Dengan kad prabayar Visa GoPayz-MAIPk (Ta’awun) baru ini, pelanggan kami yang beragama Islam di Perak bukan sahaja dapat menunaikan ibadah mereka dengan lebih mudah, tetapi juga boleh berbelanja di semua premis yang mempunyai terminal kad VISA di dalam dan luar negara. Sejak dilancarkan, kad ini menerima sambutan yang amat baik dan menggalakkan. Kami berbangga dengan peluang untuk berkerjasama dengan MAIPk,” katanya.

Menurut Shahrul Azam pula, “Majlis Agama Islam Perak sentiasa komited untuk memperkasa pembangunan ekonomi dan sosial umat Islam khususnya menerusi medium zakat dan wakaf. Inisiatif baharu ini memfokuskan kepada semangat ta’awun (bantu-membantu) di mana MAIPk dan masyarakat saling bekerjasama secara tidak langsung untuk mengumpulkan dana wakaf tunai dan mewujudkan projek wakaf yang berdaya saing. Setiap perbelanjaan di premis terpilih akan membolehkan pelanggan mengumpul mata ganjaran yang akhirnya akan ditukarkan kepada hasil wakaf tunai. MAIPk seterusnya akan membangunkan projek-projek wakaf yang bersesuaian untuk kembali dimanfaatkan oleh masyarakat dalam negeri Perak. Pelancaran produk ini juga tepat pada masanya, di mana kita berusaha meminimakan pergerakan fizikal dengan mengutamakan transaksi dalam talian,” katanya.

Kemudahan kad GoPayz

Kad Ta’awun Prabayar Visa boleh dimohon ini dalam bentuk fizikal dan maya, melalui aplikasi GoPayz, laman web GoPayz, atau di pejabat MAIPk. Ia boleh digunakan di dalam dan luar negara, di mana-mana premis yang mempunyai kemudahan pembayaran Visa. Kad ini juga membenarkan pengeluaran wang tunai di terminal ATM tempatan dan antarabangsa.

Dengannya, pelanggan boleh membayar zakat, wakaf tunai dan derma melalui pelbagai saluran, seperti laman web dan aplikasi GoPayz, terminal pembayaran MAIPk dan kios pembayaran MAIPk. Aplikasi GoPayz turut dilengkapi dengan kalkulator Zakat yang memudahkan pengiraan Zakat untuk pelanggan.

Setiap RM25 yang dibelanjakan zakat, wakaf tunai dan derma dengan MAIPk menggunakan kad ini, pelanggan akan menerima 1 GoPointz.

Sebagai kad “Mesra Muslim”, sebarang transaksi yang tidak patuh syariah akan disekat, seperti perjudian dan pembelian minuman keras.

Promosi

Sebagai promosi pengenalan, 2,500 pelanggan pertama yang memohon Kad Ta’awun ini di mana-mana cawangan atau pejabat MAIPk di Perak, dari sekarang hingga 31 Disember 2020 akan mendapat kad ini secara percuma. Manakala 1,500 pelanggan pertama yang memohon Kad Ta’awun ini melalui aplikasi atau laman web GoPayz, akan menikmati pulangan tunai 100% untuk bayaran kad berjumlah RM16 setiap kad.

Selain itu, pemegang Kad Ta’awun baru akan mendapat perlindungan insurans Takaful keluarga percuma selama 2 bulan dan juga layak untuk semua promosi GoPayz yang sedang berlangsung. Manakala mulai sekarang sehingga 4 Januari 2021, pelanggan yang membayar zakat kepada MAIPk melalui aplikasi atau laman web GoPayz dengan menggunakan Kad Prabayar Visa GoPayz-MAIPk (Ta’awun) juga berpeluang memenangi e-baucar Petronas bernilai RM100.

Muat turun aplikasi GoPayz di Apple Appstore, Google Playstore dan Huawei AppGallery. Untuk maklumat lanjut, layari lamanweb www.gopayz.com.my atau www.maiamp.gov.my.