Ramai ibubapa menggunakan iPad sebagai cara untuk mendidik anak-anak di rumah. Adakalanya ia juga digunakan untuk mengawal anak-anak agar tidak membuat bising atau bermain di luar rumah. Tetapi kawalan yang ketat harus dikenakan semasa menggunakan iPad kerana anak-anak yang tidak mengetahui banyak perkara, mungkin akan tersilap membeli-belah.
Perkara ini terjadi kepada keluarga Jessica Johnson, yang menetap di Connecticut, Amerika Syarikat. Dia mempunyai seorang anak lelaki berusia 6-tahun, yang diberi nama George.
Berbelanja lebih USD16,000 di App Store untuk cincin emas
Bermula bulan Julai lepas, Jessica menemui beberapa perbelanjaan kad kreditnya di Apple Appstore. Terdapat pelbagai jumlah perbelanjaan dibuat, dari serendah USD1.99 sehingga USD99.99. Pernah terjadi dalam satu hari sahaja, lebih USD2,500 telah dibelanjakan.
Akhirnya, sejumlah USD16293.10 (~RM66,011) dibelanjakan hanya di Apple AppStore.
Merasakan terdapat penyalahgunaan kad kreditnya, Jessica membuat laporan kepada bank yang mengeluarkan kad kreditnya, Chase. Setelah diselidik, Chase menyatakan bahawa semua transaksi tersebut adalah sah dan meminta dia menghubungi Apple untuk maklumat lanjut.
Jessica seterusnya menghubungi Apple berkenaan isu ini dan Apple telah menyemak semua jenis caj yang dikenakan dan mengesahkannya bersama Jessica. Sehinggalah pada satu transaksi, Jessica melihat ikon permainan video Sonic dan barulah dia menyedari. Semua perbelanjaan ini dibuat oleh anak lelakinya, George.
Selepas meneliti isu tersebut dan mendapati tiada penipuan berlaku, Apple menyatakan mereka tidak akan memulangkan wang yang dicaj kerana laporan tidak dibuat dalam masa 60 hari selepas caj dikenakan. Jessica menyatakan, dia tidak melaporkan kepada Apple pada awalnya kerana Chase memberitahu, transaksi tersebut mungkin berkait dengan penipuan.
Khidmat sokongan pelanggan Apple terus mencurah minyak apabila mereka tidak menghiraukan rayuan Jessica yang menyatakan dia tidak akan mampu membayar pinjaman rumah kerana masalah ini. Pegawai tersebut menambah, ada tetapan di dalam iPad yang boleh digunakan untuk menghalang perkara ini terjadi dan dia sepatutnya tahu mengenainya.
Laporan ini bagaimanapun tidak menjelaskan kenapa ibubapa tersebut tidak mengetahui tentang caj ini. Kerana Apple pastinya menghantar emel atau notis apabila caj dikenakan melalui Apple Appstore. Secara lalai, pengguna perlu memberi kebenaran bersama kata laluan, sebelum pembelian boleh dibuat tanpa memerlukan kebenaran.
Jessica turut menuduh Sega, pembangun permainan Sonic Forces sebagai sangat jahat kerana menghasut anaknya untuk membeli cincin emas maya. Jika orang dewasa, pastinya tidak akan berbelanja sebanyak itu untuk perkara yang tidak wujud.
Tetapkan had untuk anak-anak
Sebagai pengajaran, ibubapa boleh mengawal penggunaan iPhone dan iPad menerusi tetapan Screen Time. Di dalamnya, terdapat tetapan Downtime untuk memberi kebenaran masa menggunakan peranti. App Limits pula boleh mengehadkan aplikasi yang boleh digunakan.
Tetapan paling penting adalah Content & Privacy Restrictions. Di sini ibubapa boleh mengehadkan pemasangan aplikasi dari App Store, serta sebarang pembelian menerusi App Store. Kata laluan juga boleh ditetapkan untuk pembelian dibenarkan di App Store. Apple ada menerangkan lebih lanjut tentang kawalan ini di laman mikro Apple Families.
Inilah pentingnya ibubapa untuk menjadi lebih pintar dari peranti pintar. Walaupun ia telah dilengkapi pelbagai fungsi pintar, jika tidak ambil berat dan ambil tahu, beginilah padah yang diterima.
[Sumber: Apple Insider]