Galaxy S21 Ultra: Harapan Samsung untuk leburkan badi lagxynos

Tengok saja pada kotak Samsung Galaxy S21 Ultra ini tentu déjà vu akan tercetus. Bukankah dulu pengeluar ini mengutuk pesaingnya kerana tak sediakan blok pengecas? Walau apapun, ini adalah jalan menuju ke depan dan kita pengguna terpaksa telannya dan beradaptasi.

Jadi inilah dia Samsung Galaxy S21 Ultra. Set yang kami terima ini bukanlah set Malaysia, jadi ada sedikit berbeza daripada segi slot SIM nanti. Tapi, sebahagian besarnya adalah sama.

Buka kotak paling minimalistik

Dalam kotak memang minimalistik habis. Inilah pengalaman buka kotak paling ringkas selepas iPhone 12. Dalam kotak cuma ada telefon, kabel USB-C ke USB-C, dokumen ringkas, dan satu pengumpil talam SIM.

Telefon ini terasa berat dan memang premium bila berada dalam tangan. Perubahan paling ketara adalah pada modul kamera belakangnya. Bonggolan kamera telah diperluas ke bahagian pinggir telefon. Memanglah cantik, tapi ia cumalah menyumbang kepada aestetik semata-mata.

Galaxy S21 Ultra sokong S Pen

Anda tak salah baca. Samsung menyertakan sokongan S Pen bersama-sama Galaxy S21 Ultra. Malangnya, ia dijual secara berasingan dan anda perlukan casing khas untuk tempatkan S Pen tak macam siri Galaxy Note yang boleh disumbat dalam lubang khas.

Tapi, S Pen pada Galaxy S21 Ultra tidaklah secanggih siri Galaxy Note. Ia seperti stailus ringkas yang boleh anda temui pada Galaxy Note generasi awal. Ia tiada super kapasitor, butang, giroskop, dan akselerometer.

Makanya, tiada Air Gesture dan Remote Command seperti yang biasa anda lihat pada Galaxy Note yang lebih moden.

Skrin paling padu

Samsung tetap Samsung. Paparan Dynamic AMOLED 2X sebesar 6.8” telefon ini adalah yang terbaik pernah saya lihat. Warnanya pekat, hitamnya dalam. Naik taraf yang pengeluarnya bawakan pada telefon ini berbanding S20 Ultra ialah pada resolusi WQHD+, tetapan 120Hz masih boleh digunakan.

Bagi menjimatkan bateri, sistem akan memilih sendiri bilakah masa perlu gunakan 120Hz. Refresh rate paparan ini boleh turun sehingga 11Hz untuk lebih jimatkan bateri.

Badi Lagxynos lebur?

Galaxy S21 Ultra kali ini menggunakan SoC Exynos pertama dihasilkan melalui proses 5nm. Exynos 2100 ini katanya setanding dengan Snapdragon 888. Malah teaser mereka sewaktu ingin lancarkan Exynos 2100 menggunakan frasa “Exynos is back” yang melambangkan mereka sedar yang SoC ini berada dalam bayang-bayang Snapdragon.

Namun, ulasan penuh, saya perlu menggunakannya untuk beberapa ketika sebelum membuat keputusan.

Samsung mengumumkan beberapa konfigurasi RAM dan storan untuk telefon ini. Untuk pasaran Malaysia, kita terima yang:

  • RAM 12GB + Storan 256GB
  • RAM 16GB + Storan 512GB

Ini sudah kira bagus sebab siri terdahulu cuma hadir dengan storan dalaman 128GB sahaja.Storan tersebut boleh diperluas melalui slot jenis hibrid yang terdapat padanya.

Masih tiada Dual Pixel Autofocus pada kamera utama

Bunyi macam gempak. Galaxy S21 Ultra ada kamera 108MP. Sensor ini telahpun digunakan dalam Galaxy S20 Ultra dan Note20 Ultra. Bila guna sensor yang sama, sudah tentu permasalahannya juga sama.

Semasa S20 Ultra dulu, pengguna mengadu yang sistem autofokusnya tidak boleh diharap. Di Note20 Ultra Samsung katanya telah menambah baik daripada segi firmware sensor itu. Tapi ia masih tak boleh menandingi kehebatan Dual Pixel Autofocus (DPAF) daripada segi kepantasan dan kejituan membidik fokus.

Hasilnya, kamera 108MP ini bergantung harap pada sistem autofokus laser dan juga phase detection. Nasib baiklah tiga kamera lain ada DPAF. Pada edisi kali ini, Samsung tidak sertakan kamera 3D ToF sebaliknya meletakkan dua kamera telefoto.

Kamera telefoto pertama miliki lensa periskop yang ada 10 kali zum optikal dan memanfaatkan sensor 10MP manakala kamera kedua turut gunakan sensor yang sama, bezanya ia ada lensa berjarak fokal 3 kali optikal.

Kamera telefoto pertama miliki lensa periskop yang ada 10 kali zum optikal dan memanfaatkan sensor 10MP manakala kamera kedua turut gunakan sensor yang sama, bezanya ia ada lensa berjarak fokal 3 kali optikal.

Kamera keempat ialah untuk gambar bersudut pandang lebar. Ia ada jarak fokal 0.5 kali berbanding kamera utama dan menggunakan sensor 12MP. Untuk selfie, anda gunakan kamera 40MP yang tersemat pada paparan Infinity-O.

Bateri tidak berubah, tapi jangkakan prestasi lebih baik

Tiada perbuahan saya cerap pada jabatan tenaga. Ia masih gunakan bateri berkapasiti 5,000mAh. Kemudian, ia menyokong pengecasan pantas PD 3.0 sehingga 45W 25W dan 15W jika menggunakan kaedah tanpa wayar.

Kalau nak mengecas keluar, ada fungsi pengecasan berbalik pada kadar 4.5W.

Tapi saya jangkakan hayat penggunaan Galaxy S21 Ultra lebih panjang daripada S20 Ultra berlandaskan dua sebab. Sebab pertama adalah ia gunakan SoC 5nm yang lebih cekap tenaga dan sebab kedua paparan Dynamic AMOLED 2X telefon ini boleh diturunkan kadar refresh rate-nya ke 11Hz.

Apa cerita dengan Samsung Galaxy S21+ dan Galaxy S21?

Selain Galaxy S21 Ultra, Samsng turut perkenalkan Galaxy S21+ dan Galaxy S21. Strategi ini adalah yang sama digunakan untuk siri Galaxy Note20 yang terdahulu.

Varian paling rendah, Galaxy S21 kini menggunakan plastik berbanding kaca pada Galaxy S20 yang dulu. Saya dapat rasakan kecaman yang bakal tiba daripada warganet bila Samsung mengumumkan Galaxy S21.

Galaxy S20 dilancarkan pada harga bermula RM3,599. Kalau harga  Galaxy S21 masih kekal pada paras itu, sudah tentu ia mengundang tanggapan negatif. Walau bagaimanapun, pengguna perlu ingat yang ini adalah telefon 5G sedangkan Galaxy S20 di Malaysia adalah 4G sahaja.

Mujurlah Galaxy S21+ menggunakan materi kaca seperti saudara besarnya. Secara kasar, Galaxy S21+ dan Galaxy S21 miliki fizikaliti macam Galaxy S21 Ultra.

Inginkan telefon kompak? Gunalah Galaxy S21

Kalau anda nak gunakan telefon bersaiz kompak, Galaxy S21 ada paparan 6.2” manakala S21+ pada 6.7”, sedikit kecil berbanding S21 Ultra. Dalam pasaran Malaysia, kedua-dua mereka ditawarkan dalam varian RAM 8GB dengan storan 256GB.

Di jabatan pengimejan, dua bersaudara ini juga berkongsi komponen. Ia ada tiga kamera belakang dengan kamera utama 12MP, telefoto 64MP, dan ultralebar 12MP. Saya rasakan konfigurasi ini lebih praktikal berbanding kamera 108MP yang tiada DPAF. Keperluan berselfie boleh dipenuhi dengan kamera 10MP.

Galaxy S21 miliki bateri terkecil

Bateri berkapasiti 4,000mAh hadir pada Galaxy S21, kapasiti yang sama dengan Galaxy S20 yang dulu. Galaxy S21+ pula miliki tangka 4,800mAh yang lebih besar.

Ia tidak menyokong pengecasan sepantas Galaxy S21 Ultra, tapi cukup pantas untuk isinya pada kadar yang munasabah pada pendapat saya. Ia boleh tambung tenaga sehingga 25W ataupun 15W kalau gunakan pengecasan wayarles. Pengecasan berbalik pun ada pada kadar 4.5W.

Rumusan

Itulah dia keluarga Galaxy S21. Naik taraf yang diberikan adalah dialu-alukan dan dijangka. Penggunaan SoC 5nm dan teknologi Adaptive Refresh Rate tentu sekali menjimatkan bateri. Tapi jangan lupa, ini adalah Galaxy S pertama Samsung yang datang tanpa kepala pengecas dalam kotak.

Walau apapun, mereka menampilkan rekaan yang lebih segar untuk tahun 2021.

Namun penggunaan sensor 108MP masih mengundang persepsi negatif dek dihujani reviu negatif pengguna sejak pengenalannya pada S20 Ultra. Mujurlah di lain-lain bahagian kamera, ada naik tarafnya yang tersendiri.

Berikut adalah harga jualan siri Samsung Galaxy S21:

  • Galaxy S21 5G (8+256) – RM3,699
  • Galaxy S21+ 5G (8+256) – RM4,299
  • Galaxy S21 Ultra (12+256) – RM5,299
  • Galaxy S21 Ultra (16+512) – RM5,899