Samsung baru melancarkan siri Galaxy S21 dengan memperkenalkan 3 model iaitu Galaxy S21, Galaxy S21+ dan Galaxy S21 Ultra. Dua darinya, Galaxy S21 dan S21+ serba-serbi serupa dalam semua spesifikasi, kecuali saiz skrin dan kapasiti bateri. Tetapi Galaxy S21 Ultra, berbeza dalam banyak perkara.
Salah satu dari kelebihan di Galaxy S21 Ultra yang tiada di Galaxy S21 dan S21+ adalah sokongan WiFi 6E. Ia juga adalah telefon pintar pertama di dunia menyokong format WiFi terbaru ini. tetapi sebagai peranti pertama, maka ia tidak dapat menggunakan kelebihan ini sepenuhnya kerana tiada sokongan persekitaran.
Kenapa?
Apa kelebihan WiFi 6E berbanding WiFi 6
Menggunakan nama yang sama dengan tambahan ‘E’ sahaja, WiFi 6E mewarisi semua perkara yang sedia ada di WiFi 6 iaitu prestasi lebih tinggi, rendah kependaman dan kadar penghantaran data lebih pantas. Apa yang berbeza adalah penggunaan spektrum 6GHz.
Di dalam WiFi 5 dan WiFi 6 sebelum ini, ia menyokong sambungan peranti menerusi spektrum 2.4GHz dan 5GHz. Dengan WiFi 6E, ia menambah satu lagi spektrum untuk digunakan, iaitu 6GHz. Pendek kata, WiFi 6E adalah WiFi 6 dengan sokongan spektrum 6GHz.
Spektrum 6GHz
Sebelum ini, spektrum 6GHz adalah jalur yang digunakan secara tidak berlesen dan jarang digunakan. Dengan jalur yang jarang digunakan perkakas atau peranti lain, ini membolehkan jalur 6GHz memberi kelajuan data lebih tinggi dan kependaman lebih rendah, kerana kurang gangguan dan trafik. Ini sesuai untuk kegunaan peranti IoT yang memerlukan sambungan masa nyata yang tepat, tanpa lengah masa.
Bagaimanapun dengan jalur pantas bermakna capaian lebih terhad. Jalur 6GHz boleh digunakan dengan baik dalam jarak terhad, seperti di dalam bilik yang sama. Dalam hal ini, penggunaan router mesh dalam setiap bilik boleh membantu memaksimakan capaian WiFi 6E.
Bila boleh digunakan?
Sama seperti WiFi 5 dan WiFi 6, kebolehan tertinggi WiFi 6E boleh dinikmati jika semua sistem menyokong format WiFi 6E. Selain dari telefon pintar yang menyokong WiFi 6E seperti Galaxy S21 Ultra, router juga haruslah menyokong WiFi 6E untuk menggunakan jalur 6GHz yang baru dibuka ini.
Jika tidak, telefon anda akan tersekat dengan sokongan tertinggi router anda, sama ada WiFi 5 atau WiFi 6.
Buat masa ini, sokongan WiFi 6E di Galaxy S21 Ultra bukanlah perkara yang penting untuk menjadi sebab pembeliannya. Tetapi ini menjadikannya ia bersedia untuk digunakan di masa hadapan, apabila WiFi 6E mula terdapat secara meluas.
[Sumber: GizChina, WiFi Alliance]