SKMM akan hantar pasukan ke lokasi dalam 24 jam selepas aduan diterima

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek menyatakan bahawa pasukannya akan memberi maklum balas kepada aduan gangguan rangkaian jalur lebar dalam tempoh 24 jam. Perkara ini dijelaskan oleh beliau dalam wawancara bersama Bernama.

Dr Fadhlullah menerangkan bahawa SKMM sentiasa mendengar aduan orang ramai dan mereka akan bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk menyediakan penyelesaian. Dia mengakui bahawa tidak semua masalah boleh diselesaikan serta merta dan mereka perlu menyediakan jangkamasa untuk menyelesaikannya. Beberapa masalah mengambil masa yang lebih lama untuk dibaiki dan mereka akan memaklumkan pengguna tentang apa yang akan dilakukan.

Beliau berkata, pengguna masih boleh menerima jika mereka tahu aduan mereka sedang diambil perhatian tetapi pastinya marah jika tiada apa dimaklumkan. Pengerusi SKMM ini menyatakan, pasukannya yang berada di setiap negeri akan melawat kawasan dalam masa 24 jam selepas menerima aduan.

Orang ramai menggunakan pelbagai saluran untuk membuat aduan dan SKMM turut menerima aduan yang ditimbulkan di media sosial. Dr Fadhlullah memberi contoh seperti di Tanah Merah, di mana seorang bapa membuat khemah di atas bukit supaya anaknya menerima signal yang baik untuk pembelajaran dalam talian. Selepas keadaan ini dilaporkan di berita, SKMM telah menghantar pasukan ke lokasi tersebut dalam masa 24 jam.

Dalam masa kurang dari 3 minggu, Celcom telah membangunkan menara pemancar baharu yang menyediakan liputan 4G di kampung itu. Penyelesaian pantas ini dibolehkan dengan kerjasama SKMM dan pihak berkuasa tempatan yang mempercepatkan kelulusan berkaitan.

Kepada pengguna yang masih mempunyai masalah, beliau menasihatkan agar mereka membuat aduan rasmi menerusi portal Aduan SKMM. Syarikat telekomunikasi akan diberi masa selama 3 hari untuk membalas aduan tersebut dan jika mereka gagal menyediakan laporan, mereka akan dikenakan denda kerana melanggar Standard Mandatori Kualiti Perhidmatan.

[Sumber: Malay Mail]