Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 telah dijadualkan untuk berlangsung pada 22 Februari 2021. Pelbagai reaksi dapat dilihat daripada pelajar dan ibu bapa, di mana rata-rata menginginkan agar peperiksaan itu segera dijalankan.
Namun, kebimbangan atas keselamatan para pelajar, guru dan semua pihak yang akan terlibat semasa peperiksaan dijalankan semakin memuncak ekoran peningkatan jumlah kes Covid-19 yang masih tidak menunjukkan penurunan.
Pujian harus diberikan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia kerana telah memperkenalkan alternatif kepada proses pengajaran dan pembelajaran yang boleh dijalankan dari rumah. Namun, garis panduan yang terperinci berkenaan peperiksaan SPM yang akan berlangsung pada bulan Februari ini masih belum dijelaskan.
Kami percaya bahawa kerajaan akan sedaya upaya memastikan semua pihak yang terbabit akan mematuhi Prosedur Operasi Standard semasa pelaksanaan peperiksaan nanti, ini termasuklah memastikan bilik dan bangunan sentiasa disanitasi, pengaliran udara yang baik di dalam dewan peperiksaan, menghadkan bilangan pelajar di dalam dewan peperiksaan, memastikan pematuhan jarak fizikal, meletakkan cecair pembersih tangan di sekitar kawasan sekolah, pematuhan pemakaian pelindung muka pada setiap masa dan memastikan para guru dan pengawas peperiksaan adalah terlatih dengan pengamalan prosedur operasi standard yang betul.
Pekeliling mengenai Prosedur Operasi Standard yang jelas perlulah dikeluarkan dengan segera supaya tidak menimbulkan kegusaran dalam kalangan guru, ibu bapa serta pelajar. Contohnya, apakah yang perlu dilakukan sekiranya pelajar dan pekerja di kawasan sekolah disahkan positif?
Selain daripada itu, peperiksaan yang akan diduduki oleh pelajar SPM kali ini perlu mengambil kira lanskap proses pengajaran dan pembelajaran mereka sebelum ini. Terdapat pelbagai kekangan dan cabaran semasa PdPR, terutama sekali disebabkan oleh ketiadaan kelas yang berjalan sempurna sepanjang tahun. Malah isu seperti ketiadaan akses kepada internet dan gajet, kesediaan guru untuk mengajar secara dalam talian, masalah kemurungan dan kesihatan mental juga boleh memberi kesan signifikan kepada calon peperiksaan.
Kami berharap agar Kementerian Pendidikan Malaysia telah pun mempunyai Pelan B dan Pelan C sekiranya peperiksaan pada bulan Februari ini berhadapan dengan kekangan yang lain supaya peperiksaan dapat berjalan dengan lancar. Contohnya dengan mengadakan peperiksaan tambahan pada tahun ini bagi membolehkan pelajar maju ke peringkat seterusnya. Selain daripada itu, kementerian juga boleh mempertimbangkan penggunaan sistem peperiksaan dalam talian dengan menggunakan pengawasan maya (virtual proctoring) dan menganugerahkan sijil profesional bagi setiap mata pelajaran. Pengawasan maya adalah sebuah sistem yang membolehkan peperiksaan dilakukan secara dalam talian dan diawasi secara maya dengan menggunakan teknologi.
Sementelahan itu, bagi pelajar yang tidak mempunyai peranti atau akses haruslah dibantu misalnya menggunakan kemudahan di Pusat Internet 1 Malaysia dan menggunakan data internet dan gajet daripada ahli keluarga, sanak saudara dan sesiapa sahaja yang ingin membantu. Keadaan ini seharusnya dijadikan peluang oleh kita semua untuk sedia membantu mereka yang memerlukan.
Kementerian lain seperti MCMC, agensi kerajaan seperti MDEC, syarikat telekomunikasi dan teknologi serta badan bukan kerajaan perlu mencari penyelesaian jangka masa panjang bagi membantu negara dalam memastikan kelangsungan pelajaran anak-anak bangsa.
Kita perlu mencari dan mengadaptasi inovasi, keadilan dan empati dalam mencari penyelesaian yang terbaik untuk memastikan peperiksaan awam yang penting seperti SPM boleh dijalankan pada tahun ini.
Umum diketahui bahawa peperiksaan bukanlah penentu kepada kejayaan dalam hidup seseorang pelajar. Namun, ianya boleh menjadi satu titik penghalang kepada mereka untuk meneruskan kelangsungan akademik mereka. Oleh itu, perlu ada inisiatif segera daripada kita untuk mengatasi cabaran semasa pandemik ini berlaku.
Kebanyakan negara dan badan peperiksaan antarabangsa membenarkan pelajar mereka untuk melangkah ke peringkat pendidikan seterusnya melalui pelbagai teknik ujian dan peperiksaan. Diharapkan pihak kerajaan dan badan peperiksaan di Malaysia juga sedang giat mencari kaedah yang sesuai dengan lebih serius untuk menyelesaikan permasalahan ini. Kita haruslah memastikan bahawa kita berupaya untuk membolehkan para pelajar meneruskan pelajaran mereka dengan lancar demi masa depan mereka.
Selain itu, Kementerian Pendidikan Tinggi dan institusi pendidikan swasta harus berfikiran terbuka mencari kaedah kemasukan ke institusi pendidikan tinggi yang lebih holistik berbanding sebelum ini, terutama sekali untuk kemasukan pelajar lepasan SPM dan STPM pada tahun ini. Contohnya, menggunakan keputusan peperiksaan-peperiksaan lain yang telah diambil oleh calon dan juga menemuduga calon sebagai salah satu syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi atau penerimaan biasiswa.
Portal Pendidikan SPMflix yang telah dibiayai oleh BAC Education telah dilayari dan digunakan lebih daripada 70,000 orang pelajar secara percuma. Namun, masih terdapat banyak inisiatif lain yang boleh dilakukan untuk membantu para pelajar kita, sekaligus memastikan masa depan modal insan kita ini terjamin demi pembangunan negara.
Kita haruslah giat mencari jalan penyelesaian dan memberi bantuan yang bersasar bagi membantu mereka yang benar-benar memerlukan. Kita harus saling berganding bahu dan bekerjasama bagi membolehkan ini semua berlaku.
Kita juga harus menjadi kreatif, inovatif, kolaboratif dan menerima perubahan pada hari ini daripada terus melakukan sesuatu yang telah dilakukan sejak lebih 50 tahun dahulu. Ini perlu berlaku demi anak-anak bangsa dan negara, supaya kita menjadi sebuah negara yang lebih makmur.
Hantarkan maklum balas dan soalan anda ke [email protected]
Raja Singham
BAC Education Group, Managing Director
6 February 2021