Sebulan selepas melancarkan Mi 11 di China, Xiaomi kini melancarkan peranti flagship tersebut di pentas antarabangsa. Bagaimanapun, ada 1 perkara penting yang berbeza di pelancaran kali ini. Kepala pengecas ada disertakan di dalam kotak Mi 11.
Di China, Mi 11 memiliki kotak yang nipis dan tidak menyertakan kepala pengecas di dalamnya. Tetapi Xiaomi masih memberikan kepala pengecas percuma bersama pembelian Mi 11 di China. Kepala pengecas yang diberi bersama Mi 11 berkuasa 55W dari jenis GaN.
Di pentas pelancaran antarabangsa ini, Xiaomi mempromosi Mi 11 sebagai peranti pakar filem. Menurut Xiaomi, Mi 11 adalah studio filem bersaiz poket, menjadikan pengguna amatur dan peminat video sebagai pengarah filem, menggunakan kehebatan kamera Mi 11.
Terdapat tiga kamera belakang di Mi 11. Ia gabungan kamera utama 108MP F1.85 dengan penstabil imej optikal, kamera ultra lebar 13MP F2.4 dan kamera telemakro 5MP F2.4 untuk fokus seperti mikroskop. Kamera hadapannya 20MP F2.4, terletak di dalam lubang di sudut atas skrin.
Prestasi Mi 11 berkelas flagship kerana ia dilengkapi cip terbaik Qualcomm, Snapdagon 888 5nm dengan modem X60 5G terbina di dalam. Kuasa ini dipadankan dengan RAM LPDDR5 3200Mhz 8GB dan storan dalaman UFS 3.1 sehingga 256GB.
Skrin di Mi 11 juga berkelas flagship. Ia menggunakan skrin AMOLED seluas 6.81-inci dengan resolusi tinggi 2K WQHD. Kadar penyegaran pula setinggi 120Hz bersama kadar sentuhan 480Hz, nilai yang sangat tinggi untuk peminat game di telefon pintar. Kaca terbaik Corning masakini iaitu Gorilla Glass Victus, dijadikan lapisan luar skrin untuk menahan calar.
Speaker stereo dipasang di Mi 11 dan sistem bunyi ini ditala oleh pakar audio terkenal, Harman Kardon. Logo besar Harman Kardon sangat jelas kelihatan di tepi jeriji bunyi.
Kuasa Mi 11 hadir dari baterinya sebesar 4,600mAh yang menyokong pengecasan pantas berwayar 55W, dan tanpa wayar 50W. Di samping itu, ia juga boleh mengecas tanpa wayar terbalik sehingga 10W. Seperti yang dimaklumkan awal tadi, Xiaomi memberi kepala pengecas GaN 55W di dalam kotak Mi 11, untuk versi antarabangsa.
Kuasa tinggi yang terdapat di Mi 11 digandingkan dengan sistem operasi MIUI 12.5 yang dikemaskini agar lebih lancar dan cekap tenaga. Antara ciri terbaru yang terdapat padanya ialah kebolehan membuang semua aplikasi yang datang bersama sistem. Ini adalah satu perkara menarik kerana Xiaomi terkenal dengan iklan yang bertimbun di dalam aplikasi. Dengan ini, pengguna boleh membuang aplikasi yang terlalu berat dengan iklan dan menggantikannya dengan aplikasi yang lebih mesra pengguna.
Harga dan Tarikh Jualan
Walaupun pelancaran ini di peringkat antarabangsa, jualannya di luar Eropah masih tidak diumumkan dengan jelas, termasuk di Malaysia. Di Eropah, Mi 11 akan dijual dengan harga dan varian seperti berikut:
- Mi 11 (RAM 8GB + Storan 128GB) – EUR 749 (~RM3,672)
- Mi 11 (RAM 8GB + Storan 256GB) – EUR 799 (~RM3,917)
Xiaomi juga memberikan jaminan lebih panjang pada Mi 11, dengan jaminan selama 2 tahun serta jaminan keretakan skrin 1 kali dalam tahun pertama.
Apa yang boleh dipastikan, harga jualan di Malaysia kelak pasti lebih rendah dari harga jualan di Eropah. Persoalannya, bilakah Xiaomi Malaysia akan melancarkannya di sini? Kena tunggu pula pengumuman rasmi mereka.