Maxis Home Fibre kini hadir dengan router mesh WiFi 6 secara percuma

Kecanggihan teknologi harus dimanfaatkan sepenuhnya. Sewaktu bekerja dan belajar dari rumah menjadi norma baharu, keperluan internet dari rumah yang pantas dan stabil menjadi penting. Bagi memenuhi permintaan WiFi rumah berkualiti, Maxis hari ini mengumumkan tawaran baru untuk pelanggan fiber di rumah dengan pemberian router yang menyokong WiFi 6.

Dengan penggunaan router WiFi 6, pengguna boleh menikmati kelajuan internet yang bukan sahaja pantas, tetapi lebih stabil dan liputan yang lebih meluas di dalam rumah. Malah, ia juga mampu menyokong lebih banyak sambungan peranti dalam masa yang sama, tanpa menjejaskan kualiti sambungan.

Menurut Maxis, mereka mendapatkan kerjasama dari Kaon, pengeluar router dari Korea Selatan bersama Huawei, untuk mengedarkan router WiFi 6 kali ini. Maxis tidak menyatakan dengan jelas tentang model yang mana, tetapi dipercayai ia adalah router Kaon Wifi 6.

Dari laman produk, router Kaon Wifi 6 menyokong MU-MIMO 2×2 di 2.4Ghz dan 4×4 di 5GHz. Ia memiliki 4 port Gigabit LAN dan 1 port USB 3.0. Ia juga dilabel sebagai router AX3000, bermakna sokongan WiFi 6 sehingga 3,000Mbps atau 3Gbps.

Selain itu, router ini turut menyokong EasyMesh untuk sambungan nod router secara mesh dengan mudah. Hanya padankannya dengan model router yang sama dan ia akan memberikan liputan WiFi lebih meluas tanpa menjejaskan kualiti internet.

“Tidak diragui lagi bahawa penggunaan data dan jumlah peranti yang disambungkan di rumah telah meningkat terutamanya pada situasi kini. Penyambungan fiber kediaman memainkan peranan penting dalam kehidupan kita. Keperluan untuk WiFi kediaman yang berkualiti dan boleh dipercayai amat diperlukan kini bagi menyesuaikan gaya hidup dan tingkah laku pengguna kami. Di Maxis, kami terus menilai keperluan pelanggan, dan kami ingin memastikan bahawa mereka mempunyai pengalaman fiber terbaik dengan penawaran router WiFi 6 terkini. Ini adalah contoh yang jelas dari komitmen kami untuk menyatukan teknologi terbaik untuk membolehkan pelanggan kami sentiasa maju dalam dunia yang berubah,” kata Arjun Varma, Ketua Pengguna Maxis.

Sehingga dua router mesh WiFi 6 percuma

Maxis memberikan router WiFi 6 ini secara percuma kepada semua pelanggan baru mulai 18 Februari 2021, yang mendaftar pelan Fibre 100Mbps dan ke atas. Untuk pelanggan sedia ada, Maxis turut menawarkan peningkatan router Wifi 6. Mereka akan dihubungi secara berperingkat untuk urusan peningkatan.

Bagi mengoptimumkan sambungan internet dan Wifi di rumah, pakar internet khusus Maxpert akan menyediakan pemasangan router secara percuma.

Maxis memberikan satu router percuma untuk pelan 100Mbps dan 300Mbps, serta dua router percuma untuk sambungan mesh bagi pelan 500Mbps dan 800Mbps. Pelanggan boleh menambah router mesh menerusi pelan Zerolution, iaitu RM25/bulan. Atau membeli terus dari Maxis pada harga RM300 sebuah.

Pelanggan Maxis Home Fibre juga boleh mendapatkan pelbagai tawaran lain bersama pelan mereka. Maxis menyediakan pakej Apple TV untuk menonton filem dan siri, TV Samsung 4K 65” dari hanya RM1/bulan, serta pakej gandingan bersama Astro untuk pelbagai kandungan dalam dan luar negara.

Untuk mendaftar atau mengetahui lebih lanjut lawati laman Maxis Home Fibre.