Proton R3 dikenali sebagai kereta legenda berprestasi tinggi, Iriz R3 & Saga R3 tidak tergolong di dalamnya

Proton hari ini melancarkan empat model istimewa untuk barisan kenderaan sedia ada mereka. Dua daripadanya dipanggil sebagai Black Edition dan dua lagi membawakan nama lagenda bahagian permotoran terkemuka dari Proton, R3 Edition.

Proton Persona dan Proton Exora menerima kemaskini Black Edition, menampilkan warna hitam di luar serta dalam kenderaan. Manakala Proton Saga dan Proton Iriz, membawa logo R3 Edition dengan kemasan hitam bersama garisan kuning di beberapa bahagian kenderaan. Semua model akan didatangkan besama penapis kabin N95.

Edisi R3 tanpa peningkatan prestasi

Walaupun membawa nama R3 iaitu Race, Rally, Research, kedua-dua model yang membawa logo R3 kali ini tidak diberikan sebarang naik taraf prestasi. Ini berbeza dengan model yang dilancarkan sebelum ini, Proton Satria R3 dan Proton Satria Neo R3.

Proton Satria R3 dan Proton Satria Neo R3 sebelum ini menampilkan peningkatan prestasi dari segi enjin, pengurangan berat badan, kerusi ‘bucket’ Recaro, ekzos ditala khas dan pelbagai perkara lain. Tetapi untuk Proton Iriz dan Saga R3 Edition kali ini, tiada peningkatan prestasi diberikan.

Apa yang Proton berikan hanyalah warna hitam bersama sentuhan warna kuning, di dalam dan luar kenderaan. Serta logo dan pelekat R3 ditampal di beberapa tempat. Proton turut menyediakan bodykit R3 sporty pada luaran, bersama rim aloi 16-inci untuk Iriz dan rim aloi 15-inci bagi Saga.

Dalam kata lain, pembeli Proton Saga dan Proton Iriz R3 Edition menambah sedikit wang untuk mendapatkan kereta berwarna hitam, besama logo dan pelekat R3 padanya. Tidak ada perubahan pada prestasi dan pengalaman memandu berbanding model biasa tertinggi.

Harga dan tempahan

Berikut adalah harga jualan empat model baru, tanpa insuran tetapi bersama cukai jualan SST:

  1. Proton Persona Black Edition – RM 55,600
  2. Proton Exora Black Edition – RM 69,800
  3. Proton Saga R3 Edition – RM 42,800
  4. Proton Iriz R3 Edition – RM 53,700

Sempena pengumuman kerajaan yang mengecualikan cukai jualan untuk pembelian kenderaan sehingga Jun 2021, harga jualan untuk 4 model ini tanpa cukai SST adalah seperti berikut:

  1. Proton Persona Black Edition – RM 54,700
  2. Proton Exora Black Edition – RM 67,800
  3. Proton Saga R3 Edition – RM 42,300
  4. Proton Iriz R3 Edition – RM 52,900
Harga tanpa cukai SST sehingga Jun 2021

Sebagai edisi terhad, Proton hanya menghasilkan 2,000 unit untuk Proton Sage R3 Edition, dan hanya 500 unit untuk Proton Persona Black Edition, Proton Exora Black Edition dan Proton Iriz R3 Edition. Tempahan telah dibuka sekarang dan boleh dilakukan menerusi laman web tempahan Proton, atau mengunjungi pusat pameran Proton berhampiran.