Setiap tahun, bulan Februari disambut sebagai bulan keselamatan internet. Sempena itu, Google menganjurkan sesi meja bulat ‘Safer With Google‘, bertemakan keselamatan dalam talian, untuk membekalkan para ibu bapa dengan tip, peralatan, dan petua bagi memastikan keselamatan dalam talian anak mereka.
Panel ini dianggotai oleh Ketua Pendidikan Keselamatan Dalam Talian Google, Lucian Teo dan Pengurus Kanan Bahagian Jangkauan dan Pembangunan Kapasiti CyberSecurity Malaysia, Lt Kol (Bersara) Mustaffa bin Ahmad.
Lucian Teo berkongsi tentang tinjauan oleh kumpulan Trust Research di Google yang meliputi rantau Asia Pasifik, menunjukkan bahawa ibu bapa dengan anak menghadiri pembelajaran dalam talian, lebih bimbang tentang keselamatan dalam talian berbanding ibubapa dengan anak yang menghadiri sesi persekolahan secara bersemuka. Di Malaysia, 72% ibu bapa yang ditemu ramah dengan anak yang menghadiri sesi pembelajaran dalam talian menyatakan kebimbangan ini, lantaran pembelajaran dan pengajaran dari rumah beralih kepada dalam talian semasa pandemik Covid-19.
“Salah satu cerapan yang muncul dari kajian tersebut adalah bagaimana 1/3 daripada ibu bapa, tidak pernah membincangkan isu-isu keselamatan dalam talian bersama anak-anak mereka. Pada pendapat kami, ini merupakan sesuatu yang harus dilakukan dengan lebih kerap. Kita mungkin menganggap bahawa perkara ini perlu dididik oleh guru-guru atau orang lain, namun ia sebuah perbualan yang harus dilakukan oleh setiap ibu bapa bersama anak-anak mereka kerana semakin ramai dari mereka kini menggunakan internet di rumah,” kongsi Lucian.
Lucian juga menambah bahawa 38% peratus dari para ibu bapa di Malaysia telah menyenaraikan isu-isu berikut sebagai kebimbangan utama mereka:
- Keselamatan maklumat anak yang merangkumi isu-isu seperti penipuan dan penggodaman akaun.
- Anak-anak mereka menerima perhatian yang tidak diingini dari orang yang tidak kenali.
- Anak-anak menonton kandungan dalam talian yang tidak sesuai.
Lt Kol Mustaffa pula berkongsi antara cabaran-cabaran paling besar yang dihadapi kanak-kanak Malaysia, sambil berkongsi inisiatif-inisiatif yang dikelolakan CyberSecurity Malaysia, bagi membantu para ibu bapa dalam zaman digital ini.
“Salah satu masalah yang diperhatikan di kalangan kanak-kanak remaja atau yang lebih berusia adalah penggunaan internet yang tidak diselia, yang mendorong kepada penyertaan mereka dalam perbincangan dan forum yang tidak sesuai untuk umur mereka. Ini akan mendorong mereka untuk memikirkan hal-hal seperti persahabatan, perhubungan, dan juga perhubungan seksual, yang telah juga mendorong kepada berlakunya penganiayaan fizikal selepas mereka berkongsi maklumat peribadi atau berjumpa secara bersemuka dan mempertaruhkan keselamatan mereka dan keluarga mereka,” kongsi Lt Kol. Mustaffa.
“Risiko lain adalah peningkatan purata waktu skrin bagi kanak-kanak ketika pandemik ini. Kami pernah menyaksikan purata sebanyak 5-8 jam sehari sebelum ini, namun ia kini telah meningkat sehingga 12 jam sehari. Kebergantungan yang melampau pada peranti mereka boleh mendorong kepada tingkah laku antisosial dan kanak-kanak juga tidak dapat berinteraksi dengan baik dalam dunia sebenar,” tambah beliau.
Bagi membantu mengurangkan risiko-risiko tersebut, CyberSecurity Malaysia telah melancarkan inisiatif CyberSAFE yang mengetengahkan isu-isu sosial dan teknologi yang dialami pengguna Malaysia, berkongsi amalan-amalan terbaik dan juga panduan untuk menggunakan internet secara selamat dan positif. Mereka juga menganjurkan CyberSAFE Awareness Talks (CSAT) yang merangkumi pelbagai topik-topik khas yang berkaitan.
Lt Kol Mustaffa juga berkongsi bagaimana ibu bapa boleh menggalakkan anak mereka untuk membentuk penilaian mereka sendiri mengenai apa yang mungkin boleh menjadi ancaman dalam talian. Antaranya adalah mendidik anak-anak mengenai pelbagai jenis ancaman dalam talian dan menunjukkan contoh teladan yang baik sebagai seorang pengguna internet yang bertanggungjawab.
Hari Keselamatan Internet disambut serata dunia dan kebiasaannya pada suatu tarikh di bulan Februari, tetapi Google mendedikasikan tempoh sebulan ke arah mempromosikan sebuah internet yang selamat untuk semua. Untuk tip-tip keselamatan bagi semua, ikuti laman rasmi Twitter Google Malaysia sepanjang bulan ini. Ibu bapa yang mempunyai anak-anak remaja boleh melihat sumber-sumber Google dan ASEAN Foundation menerusi ASEAN Online Safety Academy yang direka untuk menyajikan suatu pengalaman dalam talian yang selamat dan positif untuk belia di seluruh rantau ini.
Lawati laman rasmi CyberSecurity Malaysia untuk statistik berguna dan maklumat tentang ancaman dan isu-isu siber yang membelenggu warga Malaysia.
Tonton ulang tayang penuh siaran langsung Safer with Google di bawah ini.