Siri Redmi Note 10 datang dengan ciri paling ditunggu, AMOLED 120Hz di bawah RM1,000

Xiaomi hari ini telah melancarkan siri Redmi Note 10 di pentas antarabangsa. Menariknya, pelancaran ini turut melibatkan jualan hari pertama dan harga jualan rasmi di Malaysia.

Terdapat 4 model yang diketengahkan dalam pelancaran kali ini, tetapi hanya dua model yang akan dijual di Malaysia iaitu Redmi Note 10 dan Redmi Note 10 Pro. Dua lagi model lain adalah Redmi Note 10s dan Redmi Note 10 5G.

Di sini, kita akan memberi fokus kepada model yang akan dijual di Malaysia.

Redmi Note 10

Xiaomi akhirnya membawakan paparan AMOLED untuk siri Redmi. Redmi Note 10 dilengkapi skrin AMOLED 6.43-inci HD Penuh, dengan kadar penyegaran 60Hz. Tetapi walaupun dengan skrin AMOLED, Xiaomi meletakkan pengimbas capjari di sisi, bergabung dengan butang kuasa.

Untuk kamera belakang, ia menggabungkan kamera utama 48MP F1.79, kamera ultra lebar 8MP, kamera makro 2MP dan kamera potret 2MP F2.4. Kamera hadapan dimuatkan di dalam lubang kecil, di bahagian atas skrin.

Kuasa penggerak utama Redmi Note 10 adalah cip Snapdragon 678. Ia digandingkan bersama RAM LPDDR4x sehingga 6GB dan storan UFS 2.2 sehingga 128GB.

Tenaga pula disalurkan dari bateri berkapasiti 5,000mAh dan ia menyokong pengecasan pantas 33W melalui USB-C. Xiaomi turut memberi pengecas 33W di dalam kotak.

Tambah menarik di Redmi Note 10 adalah sistem bunyi stereo, terletak di bawah dan atas telefon. Ia juga masih memiliki jek audio 3.5mm dan pemancar infra merah. Xiaomi juga memasang motor penggetar paksi-Z, dikatakan memberi pengalaman lebih baik untuk pengguna.

Terdapat tiga warna disediakan untuk Redmi Note 10 iaitu Kelabu, Putih dan Hijau.

Redmi Note 10 Pro

Penambahan pada versi Pro ini jauh lebih menarik. Ia bukan sahaja memiliki skrin AMOLED berukuran 6.67-inci, tetapi dengan kadar penyegaran 120Hz. Cuma, pengimbas capjari turut diletakkan di sisi, digabungkan bersama butang kuasa.

Kamera belakangnnya juga dipertingkat, kini dengan kamera utama 108MP F1.9. Selain itu, ia turut dilengkapi kamera ultra lebar 8MP F2.2, kamera telemakro 5MP F2.4 dengan autofokus serta kamera potret 2MP F2.4. Kamera hadapannya 16MP F2.45, terletak di dalam lubang kecil di atas skrin.

Cip pemproses Snapdragon 732G yang sama seperti Poco X3 NFC turut digunakan di Redmi Note 10 Pro. RAM pula boleh didapati sehingga 8GB dari jenis LPDDR4X, bersama storan UFS 2.2 seluas 128GB.

Bateri di dalam Redmi Note 10 Pro sebesar 5,020mAh, juga dengan pengecasan pantas 33W dan kepala pengecas 33W disertakan di dalam kotak. Sistem bunyi juga stereo, masih memiliki jek audio 3.5mm dan pemancar infra merah.

Warna yang boleh dipilih untuk Redmi Note 10 Pro adalah Kelabu, Biru dan Gangsa.

Harga dan Tarikh Jualan

Xiaomi Malaysia akan menjual Redmi Note 10 dan Redmi Note 10 Pro dengan varian dan harga seperti berikut:

  • Redmi Note 10 (RAM 4GB + 64GB) – RM 699
  • Redmi Note 10 (RAM 6GB + 128GB) – RM 799
  • Redmi Note 10 Pro (RAM 6GB + 128GB) – RM 999
  • Redmi Note 10 Pro (RAM 8GB + 128GB) – RM 1,099

Orang ramai boleh membeli Redmi Note 10 bermula 8 Mac 2021, di Stor Online Xiaomi di Lazada, serta di semua Mi Stores dan pengedar sah Xiaomi di seluruh Malaysia.

Manakala untuk Redmi Note 10 Pro, ia akan mula dijual di Malaysia pada 15 Mac 2021, juga di Stor Online Xiaomi di Lazada, serta di semua Mi Stores dan pengedar sah Xiaomi di seluruh Malaysia.

Tiada promosi dilaporkan oleh Xiaomi untuk pembeli terawal, tetapi spesifikasi dan harga yang ditawarkan oleh Redmi Note 10 memang luar biasa berbaloi.

KEMASKINI 9.30PM: Promosi Jualan Kilat Redmi Note 10

Facebook Xiaomi Malaysia baru memuat naik promosi jualan awal untuk Redmi Note 10. Pada 8-9 Mac 2021 di Stor Rasmi Xiaomi di Lazada sahaja, orang ramai boleh membeli Redmi Note 10 64GB dengan diskaun RM50. Menjadikan harganya cuma RM649.