ASUS Malaysia hari ini melancarkan tiga laptop baru di bawah jenama ZenBook mereka. Kesemua laptop ini menggunakan kuasa Intel Core generasi ke-11 terbaru, pemproses grafik terkini, serta skrin OLED serba baharu.
Tiga model laptop baharu yang dilancarkan hari ini adalah:
- ZenBook Duo 14 (UX482)
- ZenBook Flip 13 OLED (UX363)
- ZenBook Flip S OLED (UX371)
ZenBook Duo 14 (UX482)
Meneruskan keunikan dua skrin di laptop, ZenBook Duo menampilkan skrin penuh berukuran 14-inci dan skrin kedua boleh laras, ScreenPad Plus di atas papan kekunci. Kedua-dua skrin ini ada fungsi sentuhan dan boleh menggunakan pen stailus di atasnya. Skrin ini juga memiliki bingkai NanoEdge yang sangat nipis, dengan resolusi HD Penuh dan tahap kecerahan setinggi 400 nits.
Skrin ini saling berhubung dan boleh digunakan antara satu sama lain. Skrin kedua turut boleh berfungsi sebagai papan kawalan, seperti Touch Bar di MacBook Pro tetapi dengan lebih banyak pilihan dan ruang lebih luas.
Kuasa pemproses ZenBook Duo kini diperkasa cip Intel Core generasi ke-11, dengan pilihan antara Core i5-1135G7 dan Core i7-1165G7. RAM pula dari jenis LPDDR4x sehingga 16GB dan storan SSD M.2 512GB. Grafik digerakkan oleh cip NVIDIA GeForce MX450.
Sambungan berwayar lengkap diberikan di ZenBook Duo baru ini. Ia ada 2 port USB-C ThunderBolt 4, 1 port USB-A 3.2 Gen 1, port HDMI, jek audio 3.5mm dan slot kad mikroSD. Untuk wayarles, pengguna boleh menikmati sambungan WiFi 6 dan Bluetooth 5.0.
ZenBook Flip 13 OLED (UX363)
ASUS menggelar ia sebagai laptop boleh ubah 13-inci paling nipis di dunia, dengan port bersaiz penuh dan diikitraf platform Intel Evo. Seperti namanya, ia memiliki paparan sentuh OLED HD Penuh berukuran 13.3-inci dengan bingkai NanoEdge yang sangat nipis. Dengan OLED, ia menampilkan warna yang lebih cerah dan bertenaga berbanding LCD biasa.
Paparan ini boleh dikilas 360-darjah, menjadikan ia pelbagai guna mengikut keperluan semasa. Pengguna juga boleh mengaktifkan kekunci nombor di TrackPad, dengan satu butang pengaktifan mudah.
ZenBook Flip 13 OLED memiliki hayat tenaga sehingga 14 jam dengan sekali cas. Ia hadir dengan pengecas USB-C 65W dan boleh mengecas sehingga 60% dalam masa 49 minit. Dengan USB-C, pengguna boleh mengecas laptop ini dengan pelbagai pengecas lain, termasuk powerbank.
ASUS memberi dua pilihan untuk kuasa pemproses, di antara Core i7-1165G7 atau Core i5-1135G7. RAM pula ditetapkan pada 8GB dari jenis LPDDR4x, bersama storan SSD M.2 512GB. Pemproses grafik diuruskan oleh cip grafik Intel Iris Xe yang baharu.
ZenBook Flip S OLED (UX371)
Ini satu lagi laptop berkuasa tinggi yang baru dari ASUS, digelar sebagai laptop 4K OLED boleh ubah ternipis di dunia. Ia juga ada fungsi sentuhan dan menyokong pen stailus dengan 4,096 tahap tekanan. ZenBook Flip S OLED memiliki ketebalan hanya 13.9mm dan berat 1.2kg sahaja.
Paparan ini memiliki resolusi tinggi Ultra HD 4K, dengan tahap kecerahan 500 nits dan nisbah kontras 1,000,000:1. Ini boleh menghasilkan warna hitam yang lebih hitam dan tenaga warna 1.6x lebih baik dari LCD biasa.
Prestasi tinggi boleh dijangka di ZenBook Flip S OLED kerana ia dilengkapi pemproses Intel Core i7-1165G7, RAM LPDDR4x 16GB dan storan SSD M.2 1TB. Grafik diuruskan oleh cip grafik Intel Iris Xe yang baharu.
Harga dan Tarikh Jualan
Kesemua model laptop ASUS yang baru dilancarkan ini dijual di Malaysia bermula 12 Mac 2021. Ia boleh dibeli dari pengedar sah ASUS di seluruh Malaysia.
Harga jualan dan varian adalah seperti berikut:
- ZenBook Duo 14 UX482 [i5, RAM 8GB, SSD 512GB] – RM 5,499
- ZenBook Duo 14 UX482 [i7, RAM 16GB, SSD 512GB] – RM 6,499
- ZenBook Flip 13 OLED UX363 [i5, RAM 8GB, SSD 512GB] – RM 4,699
- ZenBook Flip 13 OLED UX363 [i7, RAM 8GB, SSD 512GB] – RM 5,199
- ZenBook Flip S OLED UX371 [i7, RAM 16GB, SSD 1TB] – RM 6,799