Anda pernah tak terfikir buah tembikai boleh dijual dengan harga mencecah RM500? Realitinya, di Jepun ada satu jenis tembikai di dijual dengan harga 15,000 yen bersamaan RM570. Tembikai itu dikenali sebagai muskmelon.
Apa yang eksklusif sangat tembikai muskmelon itu sampai dijual begitu mahal? Jika anda teringin nak rasainya, tak perlu pegi Jepun sebab di Malaysia ada satu pasukan yang mengusahakan buah tembikai itu.
Muskmelon Malaysia
Mono Premium Melon merupakan satu kumpulan di Malaysia yang hanya memfokuskan pengkhususan tanaman muskmelon tempatan. Kebunnya terletak di Putrajaya. Setiap buah yang ditanam adalah daripada biji benih Muskmelon Arus iaitu tembikai yang dianggap termahal di dunia dan datangnya dari Jepun.
Pengasas bersama syarikat ini datang dari pelbagai latar belakang. Antaranya ialah Mohd Sofian B Ali (kejuruteraan pertanian), Yeo Chen Swee (pengurusan agrokimia, perosak & penyakit), Seh Cheng Siang (pakar hidroponik dan baja) serta Michael (tiada dalam gambar) (penjualan dan pemasaran).
Penjagaan Muskmelon
Menurut Seh, antara cabaran menanam muskmelon di Malaysia ialah mereka perlu pemilihan variasi tembikai yang serasi dengan cuaca di Malaysia. Mereka sudah cuba menanam 100 jenis variasi tembikai, ia dipilih berdasarkan kesesuaiannya untuk tumbuh dalam cuaca tropika, tahan terhadap penyakit, kualiti makan dan jangka hayat.
Menariknya, di Malaysia tembikai ini dapat tumbuh hingga lima musim setahun dibandingkan Negara beriklim sederhana hanya 2 sehingga 3 kitaran tembikai setahun.
Untuk capai tahap premium, mereka hanya akan simpan satu biji buah dari satu pokok untuk memusatkan nutrient yang diserap. Selain itu, Muskmelon ini juga ditanam dirumah hijau sepenuhnya. Ia disiram dan dibaja oleh sistem hidroponik berasaskan tumbuhan yang disebut Autopot.
Setiap biji buah akan dijaga dengan baik. Khasnya, buah ini akan diperdengarkan muzik yang digubah, ia dikatakan untuk merangsang pertumbuhan mereka. Setiap buah digilap dan di urut dengan kain khusus pembersih wajah 3M Nexcare. Penjagaannya sangat teliti, patutlah harganya mahal.
Tempahan awal
Mono akan melancarkan kumpulan pertama 200 tembikai muskmelon untuk dijual dan Pra-jualan buah ini akan dibuka di halaman Facebook. Oleh itu, sekiranya anda mahu ambil peluang menuai sendiri di Putrajaya anda akan dapat harga RM168 untuk sebiji tembikai eksklusif ini. Murah jika dibandingkan dengan harga di Jepun.
Selepas membuat bayaran tempahan, sebiji tembikai akan diperuntukkan untuk setiap pembeli. Jadi pembeli akan berpeluang menyaksikan pertumbuhan tembikai mereka dan menuai tembikai itu sendiri semasa lawatan pertanian.
Tembikai yang dibeli akan dibungkus dalam kotak hadiah kayu buatan tempatan. Ia kemudian akan melalui pembungkusan akhir Furoshiki iaitu balutan kain.
Penuaian untuk kumpulan pertama dijadualkan pada pertengahan April. Apabila penuaian pertama selesai, syarikat itu merancang untuk menambah jumlah jenis tembikai yang mereka tanam dalam masa terdekat.
Seh juga berkongsi mengatakan bahawa mereka akan mengimport dua jenis biji benih tembikai premium lagi dari Jepun pada masa akan datang.
[Sumber: Malaymail, Mono Premium Melon]