Jika anda mengetahui tentang Setel di Petronas, maka anda oleh memahami dengan mudah tentang Caltex Go. Ia adalah aplikasi mudah alih yang membolehkan pembayaran untuk mengisi minyak di Caltex, dibuat secara terus di telefon pintar. Sama seperti Setel.
Kini, Caltex Malaysia dilihat akan memperkenal aplikasi Caltex Go di Malaysia. Perkara ini belum diumumkan secara rasmi, tetapi laman web yang menyatakan kesediaanya telah dimuat naik dan terdapat di laman web Caltex Malaysia.
Caltex Go boleh dimuat turun di Apple Appstore dan Google Playstore. Buat masa ini, ia mungkin tidak dapat digunakan di Malaysia tetapi sudah boleh dimuat turun. Dari penerangan aplikasi, Caltex Go tidak memerlukan pengguna menambah nilai dompet elektronik, sebaliknya bayaran boleh dicaj terus dari kad debit atau kredit (MasterCard atau Visa). Sehingga 2 kad boleh disimpan dan mata ganjaran BPoints boleh diterima jika menghubungkan kad Journey ke dalam aplikasi.
Sebelum memulakan pembayaran, GPS di telefon haruslah diaktifkan dahulu untuk mengesan lokasi stesen minyak. Seterusnya, pilih nombor pam dan sahkan. Selepas selesai mengisi minyak, tiada resit fizikal dikeluarkan tetapi pengguna akan menerima resit digital.
Perlu diambil perhatian, pembayaran menggunakan kad debit dan kredit akan dikenakan caj pra-kebenaran sebanyak RM200, dan akan dipulangkan bakinya dalam masa 3 hari.
Ringkasnya, Caltex Go berfungsi seperti aplikasi Setel. Pengguna Caltex Go hanya dibenarkan menggunakan aplikasi di dalam kenderaan. Caltex juga menasihatkan pengguna untuk meninggalkan telefon pintar di dalam kenderaan, kerana ia adalah punca tertinggi pengguna tidak fokus semasa mengisi minyak.
Buat masa ini, Caltex Go hanya membenarkan pembelian minyak petrol dan diesel sahaja, tidak boleh digunakan untuk pembayaran di dalam kedai serbaguna.
Dari ruangan soalan lazim FAQ, penunggang motosikal tidak dibenarkan mengguna telefon pintar di atas motosikal mereka, tetapi boleh menggunakannya di dalam kedai serbaguna. Ada juga notis menyatakan bahawa pengguna kereta dengan bumbung boleh dibuka, supaya menutup bumbung mereka terlebih dahulu sebelum menggunakan telefon pintar, atau menggunakan telefon pintar di dalam kedai serbaguna.
Setakat 1 April 2021, terdapat 58 stesen minyak Caltex di Malaysia yang menyokong pembayaran melalui Caltex Go, dan lebih banyak stesen lagi akan menyokongnya tidak lama lagi. Anda boleh menyemak senarai penuh stesen minyak Caltex terlibat di sini.
Aplikasi Caltex Go telah dilancarkan di Singapura pada tahun 2018 dan ia turut menyokong pembayaran GrabPay di sana. Dari maklumat yang kami terima, Caltex Malaysia akan melancarkann di sini secara rasmi tidak lama lagi. Terima kasih KevinNgTK.
[Sumber: SoyaCincau, Caltex]