Bagi memutuskan rantaian pandemik Covid-19, pasti ada dalam kalangan anda yang gemar membeli belah secara dalam talian bagi mengurangkan pergerakan fizikal ke premis perniagaan.
Tetapi, sebelum membuat pembelian, anda perlu pastikan bahawa anda membeli dari sumber yang dipercayai agar tidak tertipu. Berikut merupakan tips yang anda boleh jadikan rujukan untuk membeli-belah secara selamat dalam talian.
1. Ketahui peniaga dan reputasi mereka
Jika anda tahu mengenai peniaga dan kedai tersebut, anda boleh berkunjung ke kedainya untuk mendapatkan bantuan sekiranya ada masalah mengenai produk anda.
Selain itu, anda boleh yakin dengan kualiti laman perniaga tersebut dengan melihat kepada reputasi mereka. Kebanyakan kedai palsu biasanya baru dibangunkan dan hampir tiada penilaian dan ulasan pembeli.
Sekiranya kedai tidak diulas atau tidak mempunyai ulasan yang baik, elak dari membuat pembelian darinya.
Paling mudah, anda beli sahaja dari kedai rasmi atau penjual ‘preferred’, contohnya di Lazada, mereka melabel kedai rasmi sebegini di bawah nama LazMall. Manakala di Shopee dipanggil Shopee Mall.
2. Jaga-jaga dengan harga terlampau murah
Mana-mana e-kedai yang memaparkan harga terlampau rendah adalah mencurigakan, kerana ini merupakan taktik yang sering digunakan penjual barangan tiruan. Contohnya, jika harga sebuah telefon yang baru dilancarkan adalah RM3,000, adalah mustahil untuk penjual meletakkan harga di bawah RM500. Ini adalah petunjuk awal penipuan.
3. Cipta kata laluan yang unik
Apabila anda diminta untuk mencipta kata laluan untuk akaun e-kedai sebelum membuat pembelian, pastikan kata laluan anda unik dan kuat.
Contohnya, cipta kata laluan yang panjang dan kompleks dengan meletakkan huruf besar, huruf kecil, nombor dan simbol. Selain itu, elak dari menggunakan maklumat peribadi pada kata laluan kerana ia akan mudah diteka oleh penggodam.
Sebagai pilihan, anda boleh gunakan password manager untuk bantu anda mencipta kata laluan yang kuat untuk beberapa akaun.
4. Pastikan laman web itu selamat
Sebelum memasukkan sebarang maklumat kad peribadi atau kad kredit ke laman membeli-belah, periksa dahulu sama ada alamat web di halaman itu bermula dengan “https:”atau “http:”.
“https:” menunjukkan bahawa laman web itu selamat dan sulit untuk melindungi maklumat anda.
5. Gunakan kad kredit
Pembayaran menggunakan kad kredit boleh memberi anda perlindungan keselamatan sekiranya timbul sebarang masalah. Ia akan meninggalkan rekod anda pada bank dan sentiasa dilindungi daripada pembayaran yang tidak sah atas akaun anda.
Jika anda gunakan kad debit atau perbankan online, duit akan terus ditolak dan ambil masa untuk dapatkan wang anda semula jika berlaku penipuan.
Wujudkan satu kad kredit hanya untuk membeli-belah. Dengan cara ini, jika kad itu terganggu, anda boleh mematikannya dengan cepat tanpa memberi kesan kepada transaksi lain. Tetapi, anda perlu ingat, jangan guna kad kredit melebihi kemampuan sampai berhutang, kerana nilai faedahnya tinggi.
Namun, jika anda ditipu oleh peniaga dalam talian, anda boleh membuat aduan ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk mereka lakukan tindakan lanjut.
[Sumber: Webroot]
[Sumber gambar: Malaysiakini]