Salah satu peranti baru yang diumumkan Huawei sewaktu pelancaran sistem operasi (OS) Harmony OS 2.0 adalah tablet Huawei MatePad Pro 12.6-inci. Tablet berkuasa tinggi ini turut hadir dengan aksesori baru iaitu M-Pencil generasi kedua dan papan kekunci fizikal.
Prestasi tinggi tablet ini digerakkan oleh cip keluaran Huawei iaitu Kirin 9000E dilengkapi modem 5G terbina di dalamnya. Skrinnya daripada jenis OLED berukuran 12.6-inci, dengan resolusi tajam 2560×1600 dan kadar penyegaran 60Hz.
Skrin ini tiada lubang atau takuk kerana Huawei meletakkan kamera di dalam bingkai di tengah skrin. Ini menjadikan panggilan video lebih normal di tengah, apabila tablet diletakkan secara mendatar, biasanya dengan papan kekunci dipasang.
Kamera hadapannya ada satu dan kamera belakang pula ada 3 termasuk kamera pengesan kedalaman 3D. Pengalaman hebat menggunakan tablet ini ditambah lagi dengan lapan pembesar suara serta empat mikrofon terbina di dalam.
Bateri berkapasiti 10,000mAh dipasang di dalam MatePad Pro 12.6-inci dan ia menyokong pengecasan pantas 40W, serta pengecasan wayarles 27W. Ia juga boleh mengecas wayarles terbalik 10W.
Dengan Harmony OS 2.0, Huawei menjadikan tablet MatePad Pro 12.6-inci boleh digunakan seperti sebuah komputer. Apabila dipadankan dengan tetikus, kursor boleh menunjukkan previu aplikasi. Muka utama memiliki susunan dok aplikasi dan widget yang lebih kemas, bersama panel kawalan di bahagian tepi.
Terdapat juga mod Mirror yang menghubungkan tablet ini dengan laptop Huawei yang menggunakan Windows, menjadikan skrin tablet sebagai papan melukis untuk aplikasi seperti Photoshop. Ia juga boleh dijadikan paparan kedua untuk meluaskan lagi ruang kerja laptop pengguna.
Huawei juga mengekalkan kebolehan kerjasama antara pelbagai peranti Huawei, di mana fail dan dokumen boleh dihantar mudah seperti menarik dari skrin telefon kepada skrin tablet. Panggilan dan SMS juga boleh dilihat terus dari skrin tablet.
Huawei turut mengumumkan aksesori baru iaitu M-Pencil generasi kedua, serta papan kekunci khas buat tablet ini.
Tablet Huawei MatePad Pro 12.6-inci akan mula dijual di China pada 10 Jun 2021, dengan harga bermula dari RMB 4,999. Varian yang ditawarkan untuk pasaran China adalah seperti berikut:
- MatePad Pro 12.6″ (WiFi 128GB) – RMB 4,999 (~RM3,224)
- MatePad Pro 12.6″ (WiFi 256GB) – RMB 5,499 (~RM3,547)
- MatePad Pro 12.6″ (WiFi 256GB, M-Pencil, Papan Kekunci) – RMB 6,699 (~RM4,321)
- MatePad Pro 12.6″ (5G 256GB, M-Pencil, Papan Kekunci) – RMB 7,999 (~RM5,159)
- M-Pencil gen-2 – RMB 599 (~RM386)
- Papan Kekunci – RMB 799 (~RM515)
- Casing – RMB 249 (~RM160)
Menariknya, tablet ini turut akan tiba di Malaysia tidak lama lagi. Tempahan awalnya akan dibuka pada 10 Jun 2021 tetapi harganya masih belum diberitahu. Pasti ia akan diumum tidak lama lagi. Harganya pasti lebih mahal dari China, tetapi boleh dianggarkan tidak terlalu jauh.