Google telah kongsikan 10 carian paling popular di Malaysia pada bulan Mei 2021. Dapat dilihat, kebanyakan carian dalam senarai ini ada kaitan dengan isu semasa, contohnya mengenai isu kemanusiaan di Palestin, SOP PKP 3.0 dan roket China. Tidak ketinggalan juga carian maklumat berkaitan Raya Aidilfitri.
Namun, rakyat Malaysia nampaknya kurang mencari peranti, kerana tiada langsung carian mengenai telefon pintar dalam 10 carian teratas. Walhal, sepanjang bulan Mei, ada banyak telefon pintar baru yang diperkenalkan, contohnya Asus Zenfone 8, Redmi Note 10S dan Samsung Galaxy M12.
Berikut merupakan senarai terperinci 10 carian paling popular Google di Malaysia pada bulan Mei 2021:
1. Bendera Palestin / Iron Dome / Save Palestine
Carian ini boleh dikaitkan dengan isu mengenai krisis antara Israel dan Palestin. Ramai dalam kalangan pengguna mencari maklumat mengenai bendera Palestin, ia mungkin kerana bendera Negara Palestin kelihatan hampir sama dengan bendera Sudan.
Selain itu, ada juga carian mengenai Iron Dome, iaitu sistem pertahanan udara milik Israel. Carian ini akan membawa pengguna kepada maklumat mengenai Iron Dome dan cara ianya berfungsi.
Bukan itu sahaja, pengguna juga mahu menunjukkan solidariti mereka terhadap Palestin dengan melakukan carian Save Palestine. Melalui carian ini, pengguna akan dibawa kepada gambar berkaitan save Palestin (selamatkan Palestin) dan NGO yang membantu Palestin.
2. Jaringan Prihatin Digi / Jaringan Prihatin Celcom / Jaringan Prihatin Maxis / Jaringan Prihatin U Mobile
Digi, Celcom, Maxis dan U Mobile merupakan telco yang terlibat dengan pemberian subsidi Jaringan Prihatin. Subsidi ini akan diberi melalui pembelian pelan data atau pakej peranti syarikat telekomunikasi yang telah dipilih oleh penerima subsidi. Ia disasarkan kepada golongan berpendapatan rendah kategori B40. Pendaftaran telah dibuka dari 5 Mei 2021.
3. Niat Puasa 6 / Niat Puasa Enam
Puasa enam hari di bulan Syawal boleh dilakukan seawal-awalnya pada hari kedua Syawal, bersamaan 14 Mei 2021. Carian ini bukan sahaja akan membawa pengguna kepada niat puasa enam, tetapi ia juga akan mencadangkan artikel tentang hukum gabung puasa enam dengan puasa ganti.
4. SOP PKP 3.0 / MCO 3.0 SOP
Pada 28 Mei 2021, kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan total lockdown fasa pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari, bermula 1 Jun 2021 hingga 14 Jun 2021. Tentunya, individu mahu mengetahui tentang SOP yang dikuatkuasakan bagi mengelakkan daripada dikenakan kompaun.
5. Takbir Raya PDF / Khutbah Raya 2021
Tentu ada dalam kalangan umat Islam menyambut Aidilfitri tahun ini dengan membaca takbir dan mendengar khutbah khas secara langsung dari rumah sendiri. Hal ini kerana, ada SOP disediakan untuk menghadkan individu ke Masjid bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri serta mendengar khutbah dan membaca takbir raya.
SOP yang berbeza disediakan untuk kawasan PKPP, PKPB, PKP dan PKPD.
6. Koyak
Koyak juga merupakan carian yang berkaitan dengan krisis Israel dan Palestin. Menurut Urban Dictionary, ia membawa definisi tersinggung atau kecewa. Perkataan ini mula menjadi fenomena apabila rakyat Malaysia menulisnya kepada individu Israel dan mereka membalasnya.
7. Chelsea vs Arsenal / Burnley vs Liverpool / MU vs Liverpool
Carian ini adalah berkaitan dengan perlawanan bola sepak Liga Perdana kumpulan yang paling popular. Chelsea tewas kepada Arsenal 0-1, Liverpool memperoleh kemenangan 3-0 menentang Burnley serta mengalahkan Man United 4-2.
8. China Rocket
Bahagian teras roket Long March 5B milik China yang dijangka terhempas ke muka bumi ketika itu menjadi satu kebimbangan buat masyarakat. Tetapi pada awal bulan Mei, roket keluaran China itu dilaporkan telah jatuh di Lautan Hindi.
9. HIDE List Malaysia
Pada 8 Mei, kerajaan telah mengeluarkan senarai pertama premis yang ditanda sebagai lokasi titik panas penularan Covid-19, menerusi sistem amaran awal Pengecaman Lokasi Panas untuk Libat Urus Dinamik (HIDE). Pusat beli-belah terkemuka, pasar raya besar, pasar awam, rangkaian pasar mini terkenal serta bazar Aidilfitri tersenarai sebagai 151 lokasi titik panas ini.
10. Lee Da-in
Lee Da-in merupakan pelakon wanita Korea. Pada hujung bulan Mei, peminat Lee Seung-gi terkejut apabila mengetahui khabar bahawa dia mempunyai hubungan dengan pelakon wanita tersesbut. Rata-rata peminat membantah hubungan mereka.