Antara berita yang diketengahkan dalam video kali ini, Program Imunisasi Kebangsaan kini melakukan lebih daripada 250,000 vaksinasi setiap hari dan akhirnya orang dewasa di bawah 60 tahun mula mendapat suntikan. Bagaimana untuk meminta vaksinasi awal jika anda ingin ke luar negara untuk belajar? dan banyak lagi isu lain yang dikupaskan.
1. Suntikan vaksin mencapai jumlah lebih 250,000 sehari
Kini, Program Imunisasi Kebangsaan telah mencipta rekod baru pemberian vaksin dengan jumlah tertinggi iaitu 250,529 dos vaksin diberikan pada 22 Jun 2021. Kadar vaksinasi meningkat kerana terdapat lebih banyak bekalan vaksin dan banyak pusat vaksinasi dibuka di seluruh Malaysia.
Malaysia kini berhasrat untuk meningkatkan sasarannya dengan mencecah 300,000 suntikan sehari dalam bulan Julai dan 400,000 sehari menjelang Ogos.
2. Fasa 3 dilancarkan di Lembah Klang
Suntikan fasa ke 3 di Lembah Klang ini dilancarkan bersempena dengan pembukaan pusat pemberian vaksin (PPV) di stadium Bukit Jalil. PPV itu mampu menampung pemberian vaksinasi sehingga 10,000 orang setiap hari. Menurut JKJAV, mereka telah menghantar lebih daripada 757,747 janji temu untuk tempoh antara 21 hingga 30 Jun 2021.
3. Sebahagian besar warga emas sudah menerima vaksin atau janji temu
Menurut JKJAV, 99% warga emas di Kuala Lumpur dan 88% warga emas di Selangor telah menerima sekurang-kurangnya dos pertama vaksin atau mendapat janji temu. YB Khairy berkata negeri boleh memulakan Fasa 3 apabila 90% individu yang berdaftar untuk fasa 2 telah mendapat satu dos vaksin atau janji temu.
4. Pelajar SPM dan STPM dapatkan suntikan di sekolah
Suntikan di bawah Fasa 5 akan diutamakan kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan khususnya pelajar SPM dan STPM. YB Khairy mengatakan sebelumnya bahawa Program Imunisasi Kebangsaan mensasarkan untuk mula memberikan vaksin kepada pelajar pada awal bulan Julai.
Vaksinasi mereka tidak akan dilakukan di PPV biasa dan ia dirancang untuk dilakukan di sekolah mereka sendiri. Menteri Pendidikan, Datuk Mohd Radzi telah menawarkan sekolah kebangsaan untuk dijadikan pusat vaksinasi untuk membantu mempercepat usaha vaksinasi.
5. 5,621 mendapat persetujuan untuk vaksinasi awal
JKJAV telah meluluskan sebanyak 5,621 permintaan untuk vaksinasi awal. Mereka merupakan individu yang akan melanjutkan pelajaran ke luar negara. Sekiranya anda akan pergi ke luar negara untuk tujuan tersebut, anda boleh menghantar permintaan untuk mendapatkan suntikan lebih awal melalui e-mel ke [email protected]
6. Tarikh luput vaksin di MySejahtera
Sekiranya anda mendapat vaksinasi, anda mungkin akan melihat tarikh luput di aplikasi MySejahtera. Vaksin juga mempunyai jangka hayat dan itulah sebabnya penting untuk melakukan vaksinasi sebanyak mungkin kepada individu sebaik sahaja bekalan tiba.
7. Periksa aplikasi MySejahtera anda untuk janji temu vaksin
Berikutan ada masalah yang berterusan dengan aplikasi MySejahtera, adalah penting untuk anda memeriksa aplikasi tersebut secara berkala untuk ketahui janji temu anda. Ada beberapa individu tidak mendapat notifikasi atau SMS dan mereka hanya mengetahui tentang janji temu vaksin ketika mereka memeriksa aplikasi MySejahtera secara manual.
Sekiranya lokasi vaksinasi itu terlalu jauh, anda boleh membatalkannya dan pilih “kemudahan kesihatan yang diperuntukkan terlalu jauh” sebagai alasan. Kemudian masukkan nombor negeri dan poskod anda.
8. Status vaksinasi dan Pendaftaran
Pada 22 Jun jam 11.59 malam, Malaysia telah memberikan lebih daripada 6.3 juta dos vaksin dan lebih dari 1.7 juta telah menyelesaikan vaksinasi mereka dengan 2 dos. 14% penduduk Malaysia telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin. Selangor mempunyai vaksinasi paling lengkap dengan dua dos, ia melibatkan 226,093 individu.
Dari segi pendaftaran, lebih 15.4 juta individu telah mendaftar dan itu merupakan 65.9% daripada populasi yang disasarkan. Selangor memiliki jumlah pendaftaran tertinggi dengan lebih dari 3.7 juta individu.