Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan tahun ini, ada dalam kalangan individu mengalami kesulitan seperti kehilangan pekerjaan dan pendapatan. Hal itu membuatkan ada antara mereka yang terputus kewangan untuk membeli keperluan seperti makanan. Malah, laporan bunuh diri atau cubaan bunuh diri juga meningkat dalam fasa yang sangat mencabar ini.
Oleh kerana itu, rakyat Malaysia meminta mereka memasang bendera putih sebagai satu cara untuk meminta bantuan. Inisiatif masyarakat ini juga menggunakan slogan #BenderaPutih dan #RakyatJagaRakyat.
Berikut merupakan beberapa inisiatif yang dilakukan oleh masyarakat, individu dan badan bukan kerajaan (NGO) beberapa jam selepas slogan #BenderaPutih menjadi topik yang popular di media sosial:
A. PEK MAKANAN DAN BANK MAKANAN
1. 99 Speedmart
Pasaraya mini 99 Speedmart melancarkan kempen Bendera Putih untuk mereka yang memerlukan di kawasan perumahan berhampiran cawangan 99 Speedmart. Ia berlangsung dari 1 Julai hingga 14 Julai. Kempen ini menyediakan 1,000 bungkusan bekalan makanan asas setiap hari.
Individu yang melihat bendera putih di kawasan berhampiran kedai 99 Speedmart boleh memberitahu mereka melalui Whatsapp ke 010-500 0099 atau melalui pesanan peribadi ke akaun Facebook Speedmart 99 dan sertakan gambar rumah serta lokasi tersebut.
2. Happy Bank Crew
Seterusnya NGO Happy Bank Crew, mengadakan kempen #TengokJiranKita untuk memberikan bantuan makanan kepada individu yang terkesan dengan pandemik Covid-19.
Bantuan yang telah dilakukan akan dikongsikan di media sosial dengan menyatakan lokasi, jumlah individu yang dibantu dan sedikit latar belakang penerima.
Happy Bank Crew juga melancarkan kempen Minda Over Matter bekerjasama dengan organisasi kesihatan mental untuk memberikan kaunseling dan sokongan kewangan jika diperlukan.
3. We Listen Malaysia
Selain itu, NGO We Listen Malaysia menjalankan kempen dengan menyampaikan pakej bernilai antara RM50 hingga RM100 setiap satu kepada keluarga dan individu B40 dan M40 yang terjejas. Pakej akan diberikan mengikut keperluan individu tersebut.
4. Hunger Hurts Malaysia
NGO Hunger Hurts Malaysia juga membantu memenuhi sebarang keperluan termasuk makanan, komputer riba serta data mudah alih. Mereka juga mencipta satu inisiatif terbaru yang disebut #OneMeal. Inisiatif ini dapat membantu peniaga kecil makanan untuk bertahan, dengan membeli makanan dari mereka dan diberikan secara percuma kepada masyarakat yang kurang mampu.
5. Runchit.KL
Pasar raya Runchit.KL di Seksyen 10, Wangsa Maju bekerjasama dengan syarikat kecantikan, 8to8.my untuk menubuhkan bank makanan. Mereka menawarkan keperluan asas seperti beras, telur, minyak masak dan susu terhad kepada 50 individu.
6. Yuva Pret-A-Porter
Peruncit pakaian India Yuva Pret-A-Porter juga menyertai inisiatif #BenderaPutih dengan menawarkan penggunaan GrabMart untuk menyampaikan bekalan bayi atau barang runcit kepada mereka yang memerlukan.
7. Vits
Syarikat Vits juga mengambil bahagian dalam kempen bendera putih ini. Khusus untuk penduduk 10km sekitar Rawang, mereka yang memerlukan hanya perlu kibarkan bendera putih di hadapan rumah. Kemudian Vits Rangers akan membuat rondaan pada 2 Julai dan 3 Julai 2021 jam 10 pagi sehingga 4 petang, untuk memberikan bantuan.
Selain itu, individu yang memerlukan juga boleh mengambil bahan makanan kering yang diperlukan dari kedai berikut:
- Restoran Kenny’s Food Cart di Aman Suria, Petaling Jaya
- Restoran Temerloh Catering, Seksyen 15 Shah Alam
- Temerloh Catering, TTID
B. MAKANAN PERCUMA
1. Kedai Makan Abang Tukang Masak
Lokasi kedai ini ialah di Plaza Suria, Jalan PJU 10/4c, Damansara Damai. Pada setiap hari, mereka menyediakan makanan yang sudah siap di masak di luar restoran dan individu yang memerlukan boleh mengambilnya tanpa perlu memakai baju putih atau mengibarkan bendera putih.
2. Restoran Flypod
Restoran Flypod di Kota Kinabalu, Sabah menyediakan 100 makanan percuma setiap hari dari 1 Julai hingga 10 Julai, bersamaan 1000 bungkus makanan. Penderma boleh memilih untuk membeli makanan dan makanan itu akan ditambahkan kepada 1,000 bungkusan tersebut.
3. Nasi Bajet Shima
Sebuah gerai di tepi jalan yang dikenali sebagai Nasi Bajet Shima di hadapan Surau Al-Falah di Seksyen 6, Kota Damansara mengatakan, sesiapa sahaja yang tidak mempunyai wang untuk membeli makanan boleh mengambilnya percuma di gerai tersebut. Ia dibuka pada hari Isnin hingga Jumaat bermula jam 5.30 petang.
4. Tanah Aina Cafe
Terletak di Batu Tiga, Shah Alam, kafe ini menyediakan pemberian makanan percuma setiap hari Isnin, Rabu dan Jumaat. Ada dua slot tersedia, iaitu 11 pagi hingga 1 petang dan 6 petang hingga 8 malam.
5. Jane’s Nem Hanoi Authentic Spring Roll
Berada di Seksyen 17, Petaling Jaya, restoran ini menawarkan makanan percuma setiap hari tetapi perlu ditempah sehari lebih awal. Makanan itu boleh diambil antara jam 3 petang hingga 6 petang di restoran tersebut.
6. 9Lakes Garden Restaurant Negeri Sembilan
Untuk individu yang menetap berdekatan dengan Taman Desajaya, Negeri Sembilan, mereka boleh mengambil makanan tengah hari dari restoran ini jika amat memerlukan. Hanya 20 set makanan disediakan pada setiap hari.
C. TUISYEN PERCUMA
Projek Didik merupakan inisiatif oleh organisasi belia Hands for Education. Melaluinya, kelas tuisyen dalam talian percuma disediakan pada setiap minggu kepada pelajar SPM dari keluarga B40 yang mendaftar untuk subjek Matematik, Biologi, Kimia, Sejarah, Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.
Manakala pelajar SPM dari keluarnga M40 dan T20 perlu membayar masing-masing RM25 dan RM50 untuk setiap mata pelajaran bagi menanggung kos seperti Zoom Pro bulanan. Tetapi, kelas Matematik disediakan percuma untuk semua pelajar, tanpa mengira kategori pendapatan mereka.
[Sumber: MalayMail]