Musim durian sedang hebat melanda negara sekarang. Dengan wabak COVID-19 yang belum reda, ramai memilih untuk mendapatkan bekalan raja buah ini secara dalam talian. Tetapi sudah ada kisah penipuan melibatkan pembelian dalam talian muncul.
Bagi memberi ketenangan minda buat pembeli dalam talian, Shopee mengumumkan kerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk melancarkan kempen Durian e-Fiesta. Ia akan memperkasa para petani dan penjual durian yang sah untuk mencebur diri menjual dalam talian, di samping memudahkan pembeli mendapatkan buah yang mereka idamkan.
Shopee akan melindungi semua transaksi yang dibuat menerusi platform e-dagang mereka menerusi Jaminan Shopee. Ia adalah sebuah polisi untuk melindungi pengguna di mana Shopee akan memegang bayaran pengguna buat sementara sehingga pengguna mengesahkan pembelian mereka tulen dan telah diterima. Setelah disahkan pembeli, barulah Shopee melepaskan bayaran ini kepada penjual. Jadi pembeli tidak perlu bimbang dengan durian yang dibeli di Shopee.
Diskaun, Diskaun & Durian
Kempen Durian e-Fiesta bersama FAMA di Shopee akan berlangsung dari 10 hingga 31 Julai 2021. Ia menyediakan baucar diskaun sehingga 50%, diskaun RM15 dengan pembelanjaan minimum RM60, serta diskaun RM30 dengan pembelanjaan minimum RM100 yang boleh dituntut menerusi laman mikro eFAMAPLACE.
Di samping itu, penjual-penjual eFAMAPLACE di Shopee akan mengadakan Jualan Kilat Shocking Sale setiap hari dari 4 hingga 31 Julai. Di mana durian Musang King, D24 dan durian kampung dijual daripada harga serendah RM0.77 pada jam 12 tengah malam setiap hari dalam kuantiti terhad.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) FAMA Abdul Rashid Bahri berkata, “Kami sedang membantu para petani durian untuk mengelak daripada lambakan durian sepanjang kemuncak musim durian ini. Oleh itu, kerjasama dengan Shopee untuk menawarkan baucar yang boleh dituntut dan digunakan akan memanfaatkan para penjual dan juga pengguna. Kami juga telah memastikan pelbagai jenis durian popular boleh didapati seperti Musang King, Udang Merah, XO, D101, durian kampung dan lain-lain.”
Beliau menambah bahawa sebagai salah satu platform e-dagang terbesar di Malaysia, Shopee merupakan pihak yang paling sesuai untuk merealisasikan impian FAMA dalam membantu usahawan agro makanan dalam pemasaran secara atas talian.
“Berdasarkan rekod kempen-kempen yang diusahakan bersama sebelum ini, kolaborasi antara FAMA dan Shopee mencatatkan peningkatan Pulangan Pelaburan sehingga 8 kali ganda yang secara langsung memanfaatkan para petani dan penjual durian. Suasana ekonomi semasa menjadikan perniagaan atas talian sebagai strategi business survival yang perlu diambil oleh usahawan bimbingan FAMA. Oleh itu, FAMA sentiasa berusaha untuk mentransformasikan kaedah pemasaran para usahawan kami, supaya seiring dengan keperluan dan situasi semasa,” kata Abdul Rashid.
Pada masa yang sama, Kenneth Soh, Pengurus Kanan (Pemasaran), Shopee Malaysia berkata, “Kami berterima kasih kepada FAMA kerana melibatkan kami dalam program mereka dan memberi peluang kepada kami untuk menyokong usaha mereka. Secara bersama, kami telah mendigitalkan 211 penjual durian dan telah membantu dalam persediaan mereka menjelang kempen Durian e-Fiesta. Kami memahami bahawa sejak kebelakangan ini terdapat banyak kes penipuan berkaitan durian di media sosial. Kami berada di sini untuk memberi jaminan kepada para pengguna agar mereka tidak berasa bimbang kerana semua transaksi di Shopee dilindungi oleh polisi Jaminan Shopee kami. Oleh itu, kami berharap kempen dan kerjasama bersama FAMA ini dapat membantu mengatasi segala kerisauan anda dan membolehkan anda menikmati durian kegemaran anda tanpa sebarang kebimbangan.”