Perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026 semakin hampir, dan selepas Argentina berjaya menumpaskan England di pusingan separuh akhir, mereka kini akan berdepan dengan Sepanyol dalam pertarungan untuk merebut gelaran juara dunia.
Perlawanan akhir itu dijadual berlangsung pada Isnin, 20 Julai 2026, dengan sepak mula pada jam 3 pagi waktu Malaysia. Walaupun semua rakyat Malaysia boleh menonton secara percuma melalui RTM Klik atau Unifi TV, pastinya lebih seronok kalau layan aksi final ni dalam suasana meriah beramai-ramai.
Jadi kalau anda sedang mencari port untuk tonton bersama keluarga atau kawan-kawan, ini kami senaraikan lokasi sekitar Kuala Lumpur dan Selangor yang menawarkan tayangan percuma. Malah, ada lokasi yang turut sediakan aktiviti menarik, hadiah, baucar makanan dan banyak lagi.
1. Dataran Merdeka, Kuala Lumpur

Merupakan antara lokasi terbesar yang menyediakan tayangan skrin besar untuk perlawanan akhir ini. Sebelum sepak mula jam 3:00 pagi, kawasan ini akan dimeriahkan dengan acara konsert mini yang dijadualkan bermula sekitar jam 9:00 malam, pelbagai aktiviti sampingan untuk pengunjung, serta barisan gerai jualan makanan.
2. KL Festival Park, Jalan Hang Tuah


Terletak berhadapan dengan pusat beli-belah LaLaport BBCC, lokasi ini membawakan paparan skrin LED terbesar dalam senarai ini. Selain tayangan perlawanan, tapak ini turut menyediakan beberapa persembahan, aktiviti santai, dan gerai jualan makanan. Pengunjung boleh mengakses lokasi ini dengan mudah menaiki LRT ke stesen Hang Tuah.
3. WOW Plaza, LaLaport BBCC
Bagi anda yang mahukan kawasan tontonan yang berbumbung tetapi mengekalkan pengudaraan terbuka, WOW Plaza yang terletak di dalam LaLaport BBCC menyediakan ruang separuh terbuka (semi-outdoor) yang dilengkapi dengan skrin besar.
4. JioSpace, Petaling Jaya

Dianjurkan oleh BJAK Malaysia, watch party ini menawarkan tayangan skrin besar bersama mini game, snek, minuman serta barangan eksklusif. Penyertaan adalah percuma, namun tempat adalah terhad dan anda perlu membuat pendaftaran terlebih dahulu menerusi Google Form ini.
5. Unifi Arena, Bukit Jalil

Dianjurkan bersama oleh Kementerian Belia dan Sukan, tayangan ini menawarkan suasana tontonan di dalam stadium tertutup (indoor). Sebelum perlawanan bermula, terdapat juga acara menarik disediakan, selain barisan trak makanan (food truck) di luar stadium. Kemasukan adalah percuma.
6. The Paddock, Petaling Jaya

The Paddock PJ bertempat di X-Park Sunway Serene, menyediakan ruang tontonan kasual dengan skrin besar. Menariknya, pihak penganjut turt menawarkan baucar RM20 untuk 300 peserta terawal, pelbagai aktiviti permainan menarik, serta sesi beramah mesra bersama legenda bola sepak tempatan.
7. IKEA Damansara, Selangor

IKEA Damansara turut membuka ruang kafe mereka untuk menayangkan perlawanan akhir ini pada skrin besar. Kemasukan adalah percuma untuk semua pengunjung, dan gerai makanan kafe IKEA akan beroperasi bagi menyediakan jualan menu makanan serta minuman mereka, termasuk pemberian kopi percuma.
8. Restoran Hakim, Seksyen 7, Shah Alam

Restoran mamak terkenal di Shah Alam ini menambah beberapa unit skrin besar di kawasan parkir luar untuk pengunjung menonton perlawanan akhir. Sambil menikmati makanan dan minuman, pengunjung juga berpeluang menyertai aktiviti sampingan yang menawarkan hadiah cabutan bertuah bernilai keseluruhan lebih RM10,000.
9. Aneka Walk, Shah Alam

Sebagai sebuah pusat komuniti yang baharu dibuka pada awal tahun ini, Aneka Walk turut mengambil inisiatif menyediakan kemudahan skrin besar bagi memudahkan penduduk sekitar Shah Alam berkumpul dan menonton aksi final.
10. Dataran Selangor (The Selangor Square), Shah Alam

Dianjurkan oleh Kelab Shah Alam Selangor, kawasan dataran ini akan menempatkan sebuah skrin gergasi untuk tontonan umum. Masuk adalah percuma dan terdapat penyediaan gerai makanan yang menawarkan harga kadar menu restoran mamak.
11. Gobox Concept, Heritage Valley

Kawasan medan selera berkonsepkan kabin kontena ini menyediakan skrin projektor bersaiz besar di bahagian tengah ruang makan. Pengunjung boleh membeli pelbagai pilihan makanan moden sambil menonton perlawanan. Memandangkan ruang tempat duduk adalah terhad, pengunjung perlu daftar menerusi borang Google Form ini terlebih dahulu.






