[Artikel ini dibawakan oleh TNB]
Cuaca panas dan duduk lebih lama di rumah, boleh membuatkan bil elektrik meningkat berbanding sebelum ini. Untuk itu, adalah penting bagi pengguna mengetahui cara penggunaan elektrik yang efisien sebagai langkah penjimatan.
Fahami bil anda terlebih dahulu
Sebelum melaksanakan langkah-langkah penjimatan, adalah penting untuk pengguna memahami bil elektrik mereka terlebih dahulu.
Jumlah tenaga yang anda gunakan diukur menggunakan kWj (kilowatt jam). Satu kilowatt jam merujuk kepada jumlah tenaga yang diperlukan untuk menjalankan alat 1,000 watt selama 1 jam.
Sebagai contoh, anda perlu menjalankan peranti 500 watt selama 2 jam untuk dikira penggunaan 1 kWj. Jika anda menggunakan peranti 2000 watt selama 30 minit, anda juga akan dikenakan penggunaan tenaga 1 kWj.
Oleh itu, jika anda menggunakan lebih banyak peralatan di rumah yang menggunakan watt yang lebih tinggi, maka anda akan menggunakan lebih banyak elektrik berdasarkan tempoh masa penggunaan peralatan.
Secara ringkas, lebih banyak elektrik digunakan maka lebih tinggi bil yang diterima. Tetapi ada satu perkara yang perlu diketahui tentang caj elektrik, iaitu tahap caj yang berbeza mengikut jumlah penggunaan.
Untuk pengguna domestik di rumah, terdapat lima blok tarif yang ditetapkan oleh kerajaan dan dilaksanakan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) iaitu:
Blok Jumlah Penggunaan Tenaga | Kadar tarif (tiada perubahan semenjak 1 Jan 2014) | |
1 | 200 kWj pertama (1 – 200kWj) | 21.80sen/kWj |
2 | 100 kWj seterusnya (201 – 300kWj) | 33.40sen/kWj |
3 | 300 kWj seterusnya (301 – 600 kWj) | 51.60sen/kWj |
4 | 300 kWj seterusnya (601 – 900 kWj) | 54.60sen/kWj |
5 | kWj seterusnya (901 kWj dan ke atas) | 57.10sen/kWj |
Seterusnya, cukai perkhidmatan (ST) 6% akan dikenakan untuk penggunaan melebihi 600 kWj dan tempoh bil melebihi 28 hari, sementara caj KWTBB (Kumpulan Wang Tenaga Boleh Baharu*) sebanyak 1.6% akan dikenakan sekiranya penggunaan melebihi 300kWj. Penggunaan di bawah 600kWj tidak dikenakan ST. Contohnya, sekiranya jumlah penggunaan anda ialah 800kWj, hanya 200kWj akan dikenakan ST sebanyak 6% jika tempoh bil melebihi 28 hari dan caj KWTTB sebanyak 1.6% akan dikenakan berdasarkan penggunaan 800kWj.
*Caj KWTBB adalah caj yang dikumpulkan oleh Kerajaan melalui penggunaan elektrik pengguna. Pengumpulan ini akan digunakan untuk mempromosikan pertumbuhan penjanaan elektrik dari sumber tenaga yang boleh diperbaharui.
Untuk kefahaman lebih mudah, kita beri contoh 3 senario pengguna di rumah.
1. Pasangan warga emas di rumah teres – Mereka tinggal berdua di rumah yang tidak menggunakan banyak penyaman udara, menghabiskan masa di rumah dengan berkebun dan membaca. Aktiviti yang tidak banyak menggunakan elektrik ini dianggarkan penggunaannya sekitar 150kWj/bulan.
2. Tiga lelaki bujang di apartmen kecil – Pada waktu biasa mereka kurang menggunakan elektrik di rumah. Tetapi sepanjang tempoh PKP mereka terpaksa bekerja dari rumah dengan penyaman udara digunakan lebih lama. Penggunaan dijangka meningkat sebanyak 450kWj/bulan.
3. Keluarga dengan 5 anak di rumah teres 2 tingkat – Ibu bapa bekerja dari rumah dan anak-anak pula belajar dari rumah secara PdPR. Aktiviti memasak, mencuci pakaian dan mengemas rumah serta penggunaan penyaman udara yang kerap akan meningkatkan penggunaan elektrik. Ini dianggarkan mencapai 950kWj/bulan.
Dari 3 senario di atas, bil yang akan diterima mereka adalah:
Senario 1, Jumlah penggunaan tenaga 150kwj/bulan: 150kWj x RM0.218 = RM32.70
Senario 2, Jumlah penggunaan tenaga 450kWj/bulan: (200kWj x RM0.218) + (100kWj x RM0.334) + (150kWj x RM0.516) = RM154.40 + (RM154.40 x 1.6%) = RM156.87
Senario 3, Jumlah penggunaan tenaga 950kWj/bulan: (200kWj x RM0.218) + (100kWj x RM0.334) + (300kWj x RM0.516) + (300kWj x RM0.546) + (50kWj x RM0.571) = RM424.15 + (192.35 x 6%) + (RM424.15 x 1.6%) = RM442.48
Pengiraan di atas menunjukkan penggunaan yang lebih tinggi akan dikenakan kadar tarif yang lebih tinggi. Ini untuk mendorong tabiat penggunaan yang baik dan mengurangkan pembaziran. Kadar 300kWj ke atas adalah 2x lebih mahal dari kadar 100kWj pertama. Selain itu, kadar penggunaan melebihi 300kWj akan dikenakan caj KWTBB sebanyak 1.6%.
Selepas memahami sistem blok penggunaan tarif yang digunakan, maka kita akan tahu mengapa pentingnya menggunakan elektrik dengan efisien, untuk mengelakkan pembayaran berlebihan.
Tip menggunakan elektrik dengan efisien
Bagi memudahkan pengguna di rumah, TNB telah berkongsi beberapa langkah yang boleh diamalkan untuk menggunakan elektrik dengan efisien.
1. Keringkan pakaian dengan cahaya matahari – Menggunakan tenaga semula jadi sangat sesuai untuk mengeringkan pakaian berbanding mesin pengering, apatah lagi dengan cuaca Malaysia yang panas.
2. Tutup suis yang tidak digunakan – Bukan semua peralatan perlu dihidupkan sepanjang masa, seperti TV, komputer dan kipas. Seperti manusia, peralatan juga perlukan rehat agar tahan lebih lama. Ia boleh mengurangkan penggunaan elektrik.
3. Gunakan peralatan jimat tenaga – Antara peralatan jimat tenaga ialah lampu LED. Ia menggunakan tenaga yang rendah tetapi memancarkan cahaya yang sama cerah. Selain itu, semak juga label penjimatan tenaga apabila mahu membeli mesin basuh, peti sejuk dan penyaman udara. 5 bintang adalah yang terbaik.
4. Kumpul dan basuh baju dalam kuantiti yang banyak sekali gus – Kumpul kuantiti pakaian yang banyak untuk sekali cucian. Jangan cuci dengan separuh kapasiti mesin basuh. Jangan lupa juga untuk keringkan pakaian di bawah cahaya matahari tanpa menggunakan mesin pengering. Anda boleh menjimatkan masa, air dan elektrik serentak.
5. Tutup semua pintu dan tingkap apabila menggunakan penyaman udara – Untuk memastikan suasana dalam rumah dingin seperti yang dimahukan, tutup semua tingkap dan pintu. Ini membantu penyaman udara menyejukkan suasana dalam rumah lebih cepat dan efisien.
6. Tutup lampu di siang hari – Gunakan cahaya semula jadi bagi menerangkan suasana. Ia juga lebih baik untuk kesihatan mata.
Ini hanyalah beberapa tip yang dikongsikan oleh TNB untuk kita guna. Kalau guna 1 tip pun dah jimat, ikut lebih banyak tip pasti lebih banyak penjimatan.
Ada lebih banyak tip penggunaan elektrik secara efisien yang dikongsikan di laman web TNB. Muat turun aplikasi myTNB untuk mula pantau penggunaan elektrik di rumah anda.