Sibuk dengan aktiviti harian adakalanya membuatkan individu tidak sempat menyelesaikan tugasan rumah, terutamanya tugas membersih dan mengemop lantai. Oleh itu, penggunaan vakum robot pintar amat diperlukan, kerana ia akan membantu menyelesaikan tugasan tersebut dengan sekelip mata sahaja.
Tetapi, wujudkah vakum robot pintar yang boleh melakukan semua itu, sambil memberikan bau penyegar udara sepanjang ia bekerja dan bergerak dengan bunyi yang senyap? Saya ada menerima vakum robot Deebot T9, vakum ini dinyatakan boleh melakukan semua perkara itu melalui arahan pada telefon pintar sahaja dan ia akan kembali ke dok pengecas apabila semua tugasnya selesai.
Oleh itu, saya sudah cuba robot vakum ini untuk lihat sejauh mana keberkesanannya.
Fizikal Deebot T9
Deebot T9 memiliki ketinggian 3.2cm dan ia dikatakan boleh melakukan kerja sehingga 200 minit dengan satu kali pengecasan. Dari rupa luar, di bahagian atas ia terdapat sensor ketinggian dan di sebelahnya pula ada satu butang kuasa.
Manakala pada bahagian bawah, Deebot T9 mempunyai berus utama berwarna kuning yang akan mengumpul habuk dan sampah, tiga roda, serta dua berus di sisi.
Apabila dibuka penutup di atas, di dalamnya pula ada ruang sampah, pisau dan berus untuk membersihkan robot, butang WiFi serta butang kuasa utama.
Pada bahagian hadapan ia terdapat True Detect 2.0, yang berfungsi untuk mengesan dan mengelak halangan dalam masa nyata.
Pada bahagian belakang pula, ia terdapat satu slot untuk menempatkan penyegar udara. Di dalam gambar di bawah, saya sudah meletakkan kapsul penyegar udara pada tempatnya iaitu di sebelah kanan.
Deebot T9 ini juga disertakan dengan dok pengecas, palam kuasa 2 pin dan palam kuasa 3 pin, built-in Ozmo Pro 2.0 untuk mop, pad pengelap micro fiber dan kapsul penyegar udara.
Pengalaman menggunakan Deebot T9
Dari segi penyediaan, untuk mengawal vakum ini dari telefon pintar ianya amat mudah. Saya hanya perlukan WiFi, muat turun aplikasi Ecovacs Home sama ada melalui App Store atau Google Play Store, kemudian langkah seterusnya boleh dilakukan berpandukan pada paparan telefon.
Selain itu, di dalam aplikasi ini juga ada disertakan peta 2D dan 3D. Melaluinya, saya boleh pantau dan kawal pergerakan vakum melalui telefon sahaja. Mudah, sebab saya selalu duduk di dalam bilik dan biarkan vakum robot lakukan kerjanya di ruang tamu. Untuk pastikan vakum sudah bersihkan di bahagian bawah meja, bawa sofa atau bawah rak TV, saya hanya perlu lihat pada peta sahaja.
Seterusnya, apabila menggunakan vakum untuk menyedut debu, saya boleh mengawal bunyi dan kekuatan vakum ini dari telefon pintar sahaja. Ada 4 tahap kuasa yang boleh dipilih iaitu Quiet, Standart, Max dan Max+. Apabila menggunakan kuasa yang paling rendah, bunyi yang dihasilkan adalah perlahan, manakala kuasa yang tinggi pula akan menghasilkan bunyi yang kuat.
Jika vakum sedang berada di lantai, saya akan menggunakan kuasa yang paling rendah iaitu Quiet, kerana vakum mudah bergerak dan debu juga mudah disedut. Tambahan lagi, kuasa ini juga sesuai digunakan pada waktu malam, kerana bunyinya tidak mengganggu.
Tetapi, apabila di atas lantai terdapat kekotoran seperti bedding haiwan dan cebisan kertas, saya akan naikkan kuasanya kepada Standard supaya tidak ada saki baki sampah yang tertinggal.
Vakum ini secara automatik boleh meningkatkan kuasanya sendiri apabila ia naik ke atas permukaan karpet, cuma saya lebih suka kawalnya sendiri. Saya akan ubah kuasanya kepada Max atau Max+, bagi memastikan kekotoran di atasnya mampu disedut. Contohnya seperti kotoran cebisan benang, bulu haiwan, sisa makanan kering dan kapas.
Deebot T9 dikatakan mempunyai daya sedutan 3000Pa, kerana itulah ia dengan mudah boleh menyedut habuk dari celah karpet.
Kemudian, yang menariknya vakum ini, ia disertakan dengan penyegar udara. Saya boleh pilih untuk hidupkan penyegar udara atau tidak melalui aplikasi sahaja. Sambil vakum, sambil mengeluarkan bau wangi. Baunya tidak kuat, tetapi masih boleh dihidu meskipun vakum berada dalam jarak sekitar 3 sehingga 4 meter dari saya.
Bagi fungsi mop pula, saya perlu keluarkan bahagian ruang penyegar udara tadi dan gantikannya dengan fungsi Ozmo Pro 2.0. Untuk lakukan serentak fungsi vakum dan mop, saya tidak boleh hidupkan fungsi penyegar udara pada masa yang sama.
Ruang untuk simpanan air sabun juga besar, untuk rumah saya berukuran 813 sqft, saya tidak perlu mengisi semula air sabun untuk fungsi mop. Air sentiasa cukup.
Melalui aplikasi, saya boleh kawal penggunaan air untuk mop ini. Ada 4 tahap aliran air disediakan iaitu Low, Medium, High dan Ultra High. Saya gunakan Low jika lantai hanya ada sedikit debu, Medium pula saya gunakan sekiranya terdapat kesan tapak kaki pada lantai. Manakala tahap High saya akan guna apabila robot berada di dapur dan Ultra High saya gunakan apabila robot melalui lantai yang melekit kerana terdapat sisa air jus yang tumpah.
Menariknya, walaupun saya guna fungsi Ultra High, penggunaan air tidaklah sehingga lantai menjadi basah dan licin, ia cukup sekadar menghilangkan kesan kotoran. Robot ini juga boleh mengesan karpet ketika sedang vakum dan mop. Jadi, fungsi mop secara automatik tidak digunakan apabila ia membersihkan kawasan karpet.
Selain itu, melalui aplikasi, saya boleh pilih untuk robot melakukan quick scrubbing (sentalan cepat) atau deep scrubbing (sentalan dalaman) ketika mop. Kedua-dua fungsi ini saya akan pilih mengikut keadaan lantai, jika terlalu kotor saya akan guna deep scrubbing.
Jika dibandingkan dengan mop secara manual, bagi saya menggunakan mop pada Deebot T9 lebih menjimatkan masa. Robot ini boleh menghilangkan kotoran degil pada lantai dengan sekali lalu sahaja, lebih-lebih lagi apabila saya menetapkan kuasa yang tinggi melalui aplikasi. Tetapi jika saya menggunakan mop manual, saya perlu mop berulang kali pada tempat yang sama dan sudah tentu saya perlu mengeluarkan banyak tenaga.
Malah, apabila menggunakan mop manual, keadaan lantai akan menjadi sangat licin dengan air dan sabun selepas selesai mop. Dengan Deebot T9, lantai tidak licin seperti itu, ia hanya lembab dan tidak berbahaya untuk anak-anak saya yang suka berlari.
Rumusan
Robot ini sangat membantu saya untuk membersihkan lantai, cuma ia tidak boleh melalui kawasan yang lebih rendah daripadanya. Jadi di situ, saya perlu menggunakan penyapu. Selain itu, bekas sampah yang disediakan di dalamnya juga kecil, jadi apabila lantai penuh dengan habuk dan sampah kecil, saya perlu kembalikan robot pada dok pengecas, bersihkan bekas itu dahulu sebelum tugaskan ia bekerja semula.
Tetapi, saya paling suka dengan bunyinya yang senyap kerana ia langsung tidak mengganggu, dibandingkan dengan vakum yang biasa, bunyinya amat bising. Malah keupayaan Deebot T9 untuk mop lantai yang kotor dan melekit juga sangat mengkagumkan, kerana ia boleh bersihkannya dengan satu pusingan sahaja.
Jika anda berminat, anda boleh dapatkan vakum robot Deebot T9 ini menerusi Lazada dan Shopee dengan harga asalanya RM3,999. Untuk maklumat lanjut mengenai produk ini, anda boleh layari Facebook Ecovacs Robotics atau layari laman sesawang rasmi Ecovacs di sini.