Penantian peminat Asus akan berakhir apabila Asus Malaysia mengumumkan bahawa telefon pintar gaming terhebat mereka, Asus ROG Phone 5 Ultimate akan dijual di Malaysia bulan ini. Bersempena itu, tempahan awal turut dibuka dan ia menyediakan hadiah percuma bernilai lebih RM1,000.
Tempahan awal Asus ROG Phone 5 Ultimate akan dibuka antara 8-21 Ogos 2021, sementara stok masih ada. Mereka yang berminat, boleh membuat tempahan secara eksklusif dalam talian, di Stor Rasmi Asus di Lazada dan Shopee.
Hadiah percuma yang disediakan Asus kali ini berupa fon kepala Asus ROG Strix Go Core (Moonlight White) serta kotak hadiah Asus ROG berisi pelbagai cenderahati seperti topi, tuala, lencana dan lain-lain, semuanya bernilai RM1,099.
ROG Phone 5 Ultimate hanya datang dalam warna putih. Untuk rujukan, harga jualan ROG Phone 5 Ultimate dan edisi lain adalah seperti berikut:
- ROG Phone 5 Ultimate (RAM 18GB + Storan 512GB) – RM4,999
- ROG Phone 5 Pro (RAM 16GB + Storan 512GB) – RM4,499
- ROG Phone 5 (RAM 16GB + Storan 256GB) – RM3,799
- ROG Phone 5 (RAM 8GB + Storan 128GB) – RM2,999
Spesifikasi
Walaupun menggunakan nama yang sama, ROG Phone 5 Ultimate memiliki beberapa kelebihan berbanding ROG Phone 5 biasa. Edisi Ultimate masih dikuasakan cip yang sama, Snapdragon 888 tetapi dengan RAM LPDDR5 18GB dan storan UFS 3.1 seluas 512GB.
Asus juga menambah skrin di belakang versi Ultimate, yang dipanggil ROG Vision. Ia boleh memaparkan pelbagai perkara seperti notifikasi dan animasi peribadi.
Di samping itu, versi Ultimate turut menerima butang sentuh tambahan di belakang selain butang sensor Ultrasonik AirTrigger 5 di sisi. Ini memberi fungsi tambahan seperti butang L2/R2 di gamepad konsol, untuk pengguna yang memerlukan lebih banyak kawalan.
Terdapat aksesori tambahan yang diberikan khas buat versi Ultimate dan tiada di versi biasa, iaitu kiaps penyejuk AeroActive Cooler 5.
Selain ini, lain-lain perkara adalah sama untuk versi Ultimate. Skrinnya dari jenis AMOLED tanpa takuk dan lubang berukuran 6.78-inci, dengan kadar penyegaran 144Hz dan resolusi HD Penuh. Ia dilapisi kaca terbaik Corning, iaitu Gorilla Glass Victus yang lebih tahan lasak. Pengimbas capjari terdapat di dalam skrin.
Kapasiti bateri sebesar 6,000mAh dan mampu mengeacs pantas sehingga 65W, dengan pengecas 65W turut diberikan di dalam kotak. Untuk mengecas, pengguna masih diberikan pilihan untuk mengecas melalui port USB-C di bawah telefon, atau di sisi telefon yang lebih mesra digunakan semasa bermain game.
Terdapat 3 kamera di belakang, gabungan kamera utama 64MP F1.8 yang menggunakan sensor Sony IMX686, kamera ultra lebar 13MP F2.4 dan kamera makro 5MP F2.0. Kamera hadapan yang terletak di bingkai di atas skrin, memiliki resolusi 24MP F2.45.
Sistem bunyi stereo yang menembak terus ke muka masih kekal di ROG Phone 5 dan Asus mengembalikan semula jek audio 3.5mm yang hilang pada ROG Phone 3. Telefon ini juga menyokong WiFi 6E yang lebih pantas, Bluetooth V5.2 dengan Qualcomm aptX Adaptive, serta NFC.