ASUS ROG Phone 5 tiba merajai takhta telefon gaming terhebat dunia

Tahun ini, ASUS bertindak lebih pantas dari biasa apabila melancarkan telefon pintar gaming terbaik mereka, ROG Phone 5 hari ini. Ia lebih cepat 4 bulan berbanding tahun lepas, di mana ROG Phone 3 dilancarkan pada bulan Julai.

Kali ini, ASUS menampilkan tiga model untuk siri ini iaitu ROG Phone 5, ROG Phone 5 Pro serta ROG Phone 5 Ultimate. Selain prestasi lebih tinggi, ASUS juga membezakan ketiga-tiga model ini dengan keunikan di bahagian belakang telefon.

Prestasi Tertinggi

Untuk menggerakkan kuasa ROG Phone 5, ASUS melengkapinya dengan kuasa pemproses Snapdragon 888 5nm. Menurut ASUS, telefon ini turut disertakan teknologi Snapdragon Elite Gaming untuk bermain game di tahap tertinggi, serta Qualcomm Game Quick Touch yang memberikan 20% tindak balas sentuhan untuk permainan yang lancar.

Di samping itu, ROG Phone 5 dipasang dengan RAM LPDDR5 sehingga 18GB. Walaupun ASUS mengatakan RAM 18GB ini adalah yang pertama di dunia, tetapi Nubia lebih awal melancarkan telefon Red Magic 6 Pro dengan RAM 18GB di China minggu lepas. Storan pula dari jenis UFS 3.1 sehingga 512GB, memastikan ruang yang bukan sahaja luas tetapi membaca dan menulis data dengan pantas.

Skrin besar berkualiti tinggi dikekalkan pada ROG Phone 5. Ia masih menggunakan skrin AMOLED tanpa takuk dan lubang berukuran 6.78-inci, dengan kadar penyegaran 144Hz dan resolusi HD Penuh. Ia dilapisi kaca terbaik Corning, iaitu Gorilla Glass Victus yang lebih tahan lasak.

Kapasiti bateri juga masih kekal sebesar 6,000mAh. Tetapi ia kini menyokong teknologi pengecasan MMT di mana dua keping bateri 3,000mAh digunakan dan mampu mengeacs pantas sehingga 65W. Rekaan dwi-sel ini juga menjadikan pengecasan lebih sejuk berbanding biasa, selain menjadikan ia boleh disusun lebih seimbang di dalam badan telefon untuk pengaliran haba lebih efisyen.

Untuk mengecas, pengguna masih diberikan pilihan untuk mengecas melalui port USB-C di bawah telefon, atau di sisi telefon yang lebih mesra digunakan semasa bermain game. Port USB-C ini juga serasi digunakan untuk sambungan HDMI, fon kepala USB-C dan lebih penting lagi, kipas penyejuk AeroActive Cooler 5.

AeroActive Cooler 5 bukan sahaja berfungsi sebagai kipas penyejuk, tetapi ia kini ditambah dengan dua butang fizikal di belakang. Ini boleh menambah pengalaman bermain game tanpa perlu pad sisi. Terdapat juga jek audio 3.5mm dan ‘kickstand’ padanya, membolehkan telefon berdiri tanpa dipegang, berguna sewaktu menonton video.

Tidak lengkap telefon gaming jika tidak memiliki butang bahu terbina padanya. ASUS masih menggunakan butang bahu ultrasonic yang terletak di atas dan bawah sisi kanan telefon. Butang ini dipanggil sebagai AirTrigger 5, dinaik taraf agar lebih sensitif dan boleh digunakan di luar game untuk arahan pantas.

Sistem bunyi juga memainkan peranan penting untuk telefon gaming. Di ROG Phone 5, ia memiliki speaker stereo yang menembak terus ke muka, terletak di atas dan bawah skrin. Bunyinya juga sangat lantang, menggunakan 7-magnet 12×16 dan diperkasa cip Mono Amplifier Cirrus Logic CS35L45. Ia diperkasa lagi dengan pemproses signal digital Dirac yang menghasilkan bunyi lebih luas, jelas dan mendalam.

Lebih menarik lagi, ASUS mengembalikan jek audio 3.5mm yang telah hilang pada ROG Phone 3. Jek audio ini dipadankan dengan teknologi DAC Hyperstream II QUAD dan amplifier ESS Sabre Class G, untuk menggerakkan kuasa setinggi 2Vrms yang diperlukan fon kepala berkualiti tinggi.

Walaupun kamera tidak penting di telefon gaming, ASUS tidak mengabaikannya dengan meletakkan 3 kamera di belakang. Ia gabungan kamera utama 64MP F1.8 yang menggunakan sensor Sony IMX686, kamera ultra lebar 13MP F2.4 dan kamera makro 5MP F2.0. Kamera hadapan yang terletak di bingkai di atas skrin, memiliki resolusi 24MP F2.45.

Melengkapi kehebatan ROG Phone 5 adalah sokongan WiFi 6E yang lebih pantas, Bluetooth V5.2 dengan Qualcomm aptX Adaptive, serta NFC. Pengimbas capjari terdapat di dalam skrin. Ia menerima dua kad sim 5G tetapi tiada slot kad mikroSD.

Satu lagi tarikan utama di telefon gaming adalah lampu RGB. Di ROG Phone 5, belakang telefon dihiasi dengan logo ROG yang kini tampil dengan dua tona warna dengan efek gradien yang menarik. Ia juga menggunakan titik dot matrix untuk rupa lebih unik.

Pro dan Ultimate melampaui batas

Dari segi prestasi, versi Pro dan Ultimate memiliki perkakas yang sama denga model biasa seperti cip Snapdragon 888, RAM LPDDR5 dan storan UFS 3.1. Tambahan yang diletakkan ASUS kepadanya adalah seperti skrin kedua di belakang yang dipanggil ROG Vision. Ia boleh memaparkan pelbagai perkara seperti notifikasi dan animasi peribadi.

Selain itu, ASUS juga menambah butang sentuh tambahan di bahagian belakang tersembunyi, di mana ia boleh berfungsi seperti butang L2/R2 di gamepad konsol. Ini memberi fungsi tambahan untuk pengguna yang memerlukan lebih banyak kawalan.

Harga dan Tarikh Jualan di Malaysia

ASUS mengumumkan bahawa ROG Phone 5 akan dijual di Malaysia seperti model sebelumnya. Model biasa ROG Phone 5 akan mula dijual pada bulan April 2021, manakala versi Pro dan Ultimate akan tersedia di Malaysia pada bulan Mei 2021.

Warna yang disediakan untuk ROG Phone 5 adalah Hitam dan Putih, satu pembaharuan di mana ROG Phone sebelum ini hanya berwarna hitam. Versi Pro pula hanya ada dalam warna Hitam, manakala versi Ultimate berwarna Putih sahaja.

Harga jualan dan variannya adalah seperti berikut:

  • ROG Phone 5 (RAM 8GB + Storan 128GB) – RM2,999
  • ROG Phone 5 (RAM 16GB + Storan 256GB) – RM3,799
  • ROG Phone 5 Pro (RAM 16GB + Storan 512GB) – RM4,499
  • ROG Phone 5 Ultimate (RAM 18GB + Storan 512GB) – RM4,999

Bakal pemilik perlu mengambil perhatian bahawa ASUS tidak lagi memberikan aksesori yang sama di dalam kotak. Walaupun pengecas 65W diberikan untuk semua model, kipas penyejuk AeroActive Cooler 5 hanya terdapat untuk versi Pro dan Ultimate sahaja. ASUS juga menambah hadiah berupa Ultimate Fan Gift box untuk pembeli versi Ultimate berisi cenderahati seperti topi ROG, kain ROG, topeng muka ROG dan sebagainya.

Ultimate Fan Gift box

Aksesori yang terdapat untuk ROG Phone dan harganya pula adalah seperti berikut:

  • AeroActive Cooler 5 – RM149 (April 2021)
  • LIGHTING ARMOR CASE (ROG5) – RM199 (Mei 2021)
  • ROG Kunai 3 Gamepad dengan Bumper – RM499 (April 2021)
  • ROG Kunai 3 BUMPER – RM69 (April 2021)
  • Kabel ROG 1.8M USB-C ke USB-C – RM59 (Mei 2021)
  • ROG STRIX GO core – RM319 (belian bersama telefon RM249)
  • ROG Cetra II – RM499 (Mei 2021)
  • ROG Cetra II core – RM199 (Mei 2021)