Realme bakal membuka lembaran baru apabila akan melancarkan laptop pertama keluaran mereka, Realme Book. Laptop ini akan diperkenalkan kepada orang ramai di majlis pelancaran Realme GT Master Edition peringkat antarabangsa.
Pelancaran kedua-dua produk ini akan diadakan pada hari Rabu, 18 Ogos 2021. Peminat di Malaysia boleh turut sama menyaksikan majlis pelancaran ini menerusi Facebook Realme Malaysia, bermula pukul 8 malam.
Dalam acara yang sama, Realme juga akan melancarkan Realme Fan Festival 2021, satu acara penghargaan buat peminat yang membantu menaikkan nama Realme di persada antarabangsa. Peminat boleh menjangkakan pelbagai produk Realme ditawarkan dengan harga diskaun sepanjang festival ini. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang tawaran yang disediakan, nantikan laporan kami dari majlis pelancaran ini.
Spesifikasi Realme GT Master Edition
Telefon pintar yang diberi sentuhan pereka industri terkenal dari Jepun, Naoto Fukasawa, menampilkan kemasan beg bagasi dilapisi kulit vegan. Ia diperkasa cip kelas pertengahan, Snapdragon 778 5G dengan tenaga daripada bateri berkapasiti 4,300mAh dan kuasa mengecas 65W.
Paparan di telefon ini seluas 6.43-inci, jenis Super AMOLED 120Hz HD Penuh. Di belakang, ia dilengkapi kamera utama 64MP, kamera ultra lebar 8MP dan kamera makro 2MP. Di hadapan, ia menggunakan kamera 32MP di dalam lubang di atas skrin. Telefon ini juga memiliki speaker mono sahaja.
Di China, Realme GT Master Edition dijual daripada harga RMB 2,399 (~RM1,569) dengan RAM 8GB dan storan 128GB.
Spesifikasi Realme Book
Walaupun masih belum dilancarkan, Realme telah berkongsi banyak perkara mengenai laptop ini. Antaranya adalah ia akan dikuasakan cip terbaru keluaran Intel, iaitu Core-i generasi ke-11. Paparan skrin ini dalam nisbah 3:2, berbeza daripada nisbah biasa 16:9. Paparan ini juga memiliki nisbah skrin-ke-badan sebanyak 90%, dengan 100% warna gamut gred profesional serta resolusi tinggi 2K.
Laptop ini menampilkan rupa yang sangat nipis, seberat 1.38kg dan memiliki hanya empat port padanya. Port tersebut adalah Thunderbolt 4, USB-C 3.2 Gen 2, USB-A 3.1 Gen-1 dan jek audio 3.5mm. Tiada port LAN, HDMI mahupun pembaca kad memori. Dari sini juga dapat dilihat tiada port kuasa khas, bermakna ia akan menggunakan port USB-C atau Thubderbolt 4 untuk menerima kuasa.
CEO Realme India, Madhav Sheth turut berkongsi beberapa fungsi menarik yang akan ada di Realme Book, iaitu Realme Connect. Ia sangat serupa dengan Huawei Share di mana telefon pintar atau tablet yang serasi, boleh berhubung dengan pantas dan bertukar fail mahupun digunakan sebagai skrin kedua dengan laptop.
The upcoming #realmeBook Slim features the option of PC Connect for seamless connectivity. #DesignedToEmpower, it allows users to mirror their #realme smartphone screens on realme books for easy navigation and transfer of files thereby enhancing the quality of user experience. pic.twitter.com/vHVnOtZXYy
— Madhav Sheth (@MadhavSheth1) August 16, 2021
Dalam satu laporan lain, harga Realme Book dikatakan telah diketahui apabila terdapat peniaga yang telah memasang poster yang menyenaraikan spesifikasi penuh Realme Book. Ia tertulis bahawa Realme Book dengan cip Core-i5, RAM 16GB dan storan 512GB dijual pada harga RMB 4,699 (~RM3,073). Harganya pasti lebih mahal di Malaysia, dianggarkan di bawah RM3,500 untuk spesifikasi yang sama.
Lebih banyak maklumat pasti diketahui semasa majlis pelancarannya pada 18 Ogos nanti. Nantikan laporan kami mengenai produk baru Realme ini nanti.