Menjadi satu perkara yang mustahil untuk mencegah kanak-kanak membuka aplikasi lain ketika menggunakan telefon. Lebih-lebih lagi apabila mereka kurang faham dengan arahan, kerana umur yang sangat kecil.
Oleh itu, ada satu ciri khusus untuk pengguna iPhone, yang membolehkan anda kawal skrin sentuh dan mengunci skrin yang sedang ditonton. Maksudnya, anak anda hanya boleh akses satu aplikasi sahaja untuk satu masa. Mereka tidak boleh buka aplikasi lain melainkan dengan kata laluan dari anda.
Kawal Youtube dengan Guided Access
Contohnya, anda bagi anak anda yang berusia 3 tahun tonton YouTube cerita Didi and Friends di iPhone. Anda tak nak dia tertukar video lain, atau tertekan apa-apa sahaja yang boleh mengganggu tontonan itu. Jadi anda perlu kuncikan skrin, supaya dia boleh tonton dengan baik walaupun anak anda tekan mana-mana bahagian skrin.
Untuk aktifkannya, anda boleh ikut langkah di bawah:
- Buka tetapan dan pilih Accessibility
- Pilih Accessibility Shortcut
- Kemudian di Guided Access, hidupkan ciri itu
- Kemudian, buka Youtube dan pastikan video yang anda pilih itu sedang berjalan
- Tekan butang power 3 kali
- Seterusnya tekan options
- Ada 6 kawalan, hidupkan kawalan yang anda rasa sesuai. Contohnya volume buttons untuk benarkan anak anda laraskan audio dan motion untuk memudahkan visual berputar mengikut kedudukan peranti.
- Tekan done
- Masukkan kata laluan untuk hidupkannya
Fungsi 6 kawalan yang ada itu ialah:
- Side Button – Untuk mematikan butang Sleep/Wake pada peranti anda di bahagian atas kanan.
- Volume button – Untuk laraskan audio pada peranti
- Motion – Untuk menghadkan peranti bertindak balas terhadap gerakan. Contohnya, skrin anda tidak akan bertindak balas ketika digoncang, dan skrin tidak akan berpusing tidak kira bagaimana anda memegangnya.
- Keyboards – Untuk taip, matikan papan kekunci supaya ia tidak muncul
- Touch – Matikan ia jika anda mahu peranti anda abaikan sentuhan skrin
- Time limit – Had masa skrin, boleh hidupkan ia jika anda ingin tetapkan had tertentu.
Jika anda matikan 6 fungsi ini, apa-apa sahaja sentuhan pada skrin tidak tidak akan mengganggu video yang sedang anak anda tonton. Malah, audio juga tidak boleh dilaraskan. Apabila video yang mereka tonton habis, secara automatik Youtube akan mainkan video yang lain. Jadi anda tidak perlu matikan ciri itu semata-mata untuk mainkan video yang lain untuk mereka.
Tetapi jika anda hanya benarkan anak anda tonton Youtube selama 15 minit sahaja, anda boleh tetapkan ia di time limit. Maka, selesai 15 minit, akan keluar paparan pada di skrin tertulis Time Expired dan anda perlu masukkan kata laluan untuk benarkan anak anda tonton YouTube semula. Ciri ini juga sesuai digunakan untuk menghadkan waktu skrin kepada anak-anak.
Cara matikan Guided Access
Untuk matikan ciri ini, anda hanya perlu tekan butang power 3 kali, masukkan kata laluan dan tekan end. Kebaikan mengaktifkan guided access di Youtube ialah, ia dapat mencegah anak anda daripada tertekan video lain yang belum sesuai untuk usia mereka.
Guided Access di permainan
Anda boleh juga aktifkan guided access ini jika anak anda bermain permainan di dalam iPhone. Sekurang-kurangnya mereka akan terkawal daripada membuka aplikasi lain di telefon anda.
Cara hidupkannya sama seperti di YouTube, cuma bezanya setelah tekan options anda tidak perlu matikan semua kawalan. Ada 3 kawalan anda perlu hidupkan iaitu motion, keyboards dan touch. Kalau anda nak hadkan masa skrin, anda boleh tetapkan di time limit. Dengannya, anak anda tidak boleh keluar dari aplikasi permainan itu, sehingga anda sendiri yang masukkan kata laluan untuk tamatkan kawalan.
[Sumber: Athomewith.shannon]
[Sumber gambar: MacRumors]