Prism+ ialah jenama pengeluar monitor dan TV pintar daripada Singapura. Saya perasan yang mereka banyak menghantar monitor kepada ramai influencer terkenal untuk di-review. Kami ada seunit Prism+ X240 untuk dipandu uji tapi sebelum pergi lebih mendalam, memang kami dihantar monitor ini.
Monitor melengkung termurah Prism+
Prism+ X240 adalah model termurah dalam barisan penawaran mereka dan inilah satu-satunya monitor bawah RM1,000 sedangkan yang lainnya atas RM1,000.
Kenapa perlu Curve monitor?
Kalau anda perlu menatap monitor dalam jangka masa panjang dalam sehari, monitor melengkung adalah lebih baik daripada yang flat.
Mari saya jelaskan.
Bila anda guna monitor jenis flat, jarak mata anda dengan titik di tengah monitor tak sama dengan titik di pinggir monitor. Jadi bila jarak tak sama, mata perlu lakukan pemfokusan semula bila anda melihat sepanjang paparan.
Otot mata jadi letih dan mungkin anda pening. Mungkin anda tak perasan kesannya dalam jangka masa pendek, tapi jangka masa panjang, anda tentu sekali akan merasainya. Bagi mengurangkan bebanan terhadap mata, permukaan monitor yang melengkung sangat berguna.
Prism+ X240 ada nilai R pada 1200. Ia bermakna lengkungannnya miliki radius 1200mm. Seandainya anda duduk pada jarak 1.2mm daripada titik tengah monitor, jarak anda dengan permukaan monitor adalah malar di sisi kiri dan kanan monitor.
Gaming pada Prism+ X240
Di bahagian belakang monitor ini, anda dihidangkan dengan 2 port HDMI 1.4, DisplayPort, dan jek audio 3.5mm. Bahagian muka pula, anda diberikan panel VA sebesar 24”.
Pada saya, saiz monitor ini sesuai untuk ruang kecil dengan jarak anda dengan paparan kurang daripada 1.5m. Merujuk kepada saranan Sony berkaitan saiz TV yang sesuai berbanding jarak menonton, mereka menyarankan paparan 26” untuk jarak tontonan 1 meter.
Apabila menonton dalam jarak yang optimum, mata penonton tidak perlu berusaha keras untuk memfokus apabila melihat kandungan di pinggir kiri, tengah, dan kanan paparan.
Menggunakan konsep yang sama, monitor 24” dengan R1200, saya letakkan kerusi supaya jarak mata dengan monitor pada 1.2m dan saya rasa selesa. Duduk terlalu hampir pun tak guna sebab panelnya cuma FHD. Kesan pixelation agak ketara pada jarak dekat.
Gamers tentu suka dengan fungsi refresh rate 165Hz pada monitor ini. Walau bagaimanapun, tak dapat ujinya disebabkan fungsi tersebut Cuma boleh dinikmati melalui DisplayPort dan kami tiada mesin yang keluarkan ouput melalui Display Port.
Apabila anda menggunakan port HDMI, refresh rate boleh pergi sehingga 120Hz. Pada saya, ia sangat baik untuk kegunaan kasual. Sekilas pandang, penghasilan warnanya baik. Ia mungkin manfaat panel yang ada cakupan sRGB 120%.
Namun untuk kerja-kerja kreatif, saya tidak sarankan monitor ini kerana kualiti gambar yang terhasil berubah mengikut sudut pandang anda.
WFH dengan Prism+ X240
Untuk kerja-kerja yang tak melibatkan kejituan warna, monitor ini cemerlang menjalankan tugasnya.
Jika dibandingkan dengan keluasan laptop saya, kehadiran aksesori tambahan ini sangat-sangat membantu untuk beri lebih banyak ruang kerja. Kerja-kerja multitetingkap menjadi mudah walaupun diletakkan sebelah menyebelah.
Refresh rate 120Hz juga membantu daripada segi animasi di atas UI yang lebih lancar.
Kecerahan yang dilaporkannya ialah 320 nits. Angka ini setara dengan banyak monitor lain di luar sana. Pada kecerahan itu, tiadalah fungsi HDR pada monitor ini.
Namun, kalau nak layan kandungan multimedia daripada Netflix ataupun servis-servis penstriman lain melalui Android Box, anda boleh gunakan port HDMI kedua untuk tujuan tersebut. Walau bagaimanapun, monitor ini tidak didatangkan dengan stereo. Anda boleh gunakan jek audio 3.5mm di bahagian belakang ataupun gunakan saja set TWS Bluetooth untuk ditambat pada Android Box.
Berbaloi tak monitor ini?
Prism+ X240 boleh didapati dalam pasaran Malaysia pada harga RM799. Pada harga sekitar itu, apa yang kita ada? Berikut adalah beberapa alternatif yang saya temui dalam talian:
- Acer Gaming Monitor 24” – RM748
- Acer AOpen 27HC5RP 27″ – RM839
- HP X24c Gaming Monitor – RM739
Boleh saya katakan adalah harganya kompetetif dengan yang lain. Makanya, jenama ini perlu bekerja keras untuk bersaing dengan pemain-pemain yang sedia ada dalam pasaran. Mereka perlulah sekurang-kurangnya sama baik daripada segi servis selepas pembelian agar mereka beroleh pelanggan yang setia dalam kalangan pembeli.
Saya harapkan yang ketinggian monitor ini boleh diubah ke paras yang lebih tinggi kerana tetapan default-nya agak rendah. Mungkin ia bagi tujuan mempromosikan produk tangan pemegang monitor yang mereka jual pada harga bermula RM269.