Google telah mengeluarkan senarai 10 carian popular di Malaysia untuk bulan Oktober 2021. Dapat dilihat, sebahagian besar dalam senarai ini dibarisi oleh pelbagai acara sukan. Ini menunjukkan ramai penduduk di Malaysia sangat minat dan ingin mengetahui perkembangan sukan seperti bola sepak Liga Perdana, kejohanan badminton Terbuka Denmark dan juga kriket.
Selain itu, dalam carian ini juga ada tersenarai mengenai WhatsApp, aplikasi permesejan kegemaran rakyat Malaysia. Gangguan pada WhatsApp mengakibatkan ramai orang sukar menghubungi orang lain.
Selain WhatsApp, ada 2 lagi carian popular yang tidak berkaitan dengan sukan iaitu isu dokumen Pandora Papers dan jenama Farm Fresh. Berikut merupakan perincian 10 carian teratas yang dikongsikan:
1. Denmark Open 2021 / Uber Cup 2021
Pertandingan ini tentu sekali menjadi perhatian peminat sukan Badminton lebih-lebih lagi apabila ada wakil dari Malaysia menyertainya. Antara atlet yang mengambil bahagian ialah Lee Zii Jia, Kisona Selvaduray, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan. Kejohanan badminton tahunan ini berlangsung di Odense Sports Park, Denmark dari 19 hingga 24 Oktober 2021.
2. Chelsea vs Southampton
Pertembungan dua pasukan ini dapat dilihat menerusi sukan bola sepak Liga Perdana. Chelsea memperoleh kemenangan 3-1 menentang Southampton. 3 gol itu dijaringkan oleh Trevoh Chalobah, Timo Werner dan Ben Chilwell. Manakala satu jaringan dari Southampton pula disumbat oleh James Ward-Prowse.
3. Malaysia vs Jordan
Carian ini dilakukan ramai, mungkin kerana ada yang ingin melihat pasukan Negara berakasi dalam perlawanan persahabatan antrabangsa. Namun, melalui pertandingan yang diadakan di Stadium King Abdullah II, Amman, Jordan ini, skuad Harimau Malaya dibenam Jordan 4-0. Jelas, Jordan bukanlah pasukan yang mudah ditandingi dalam perlawanan ini.
4. PSG vs Angers
Pertembungan pasukan Paris Saint-Germain dengan pasukan Angers di stadium Stadion Parc des Princes berakhir 2-1. Kemenangan diperolehi oleh pasukan PSG setelah ahli pasukannya, Kylian Mbappe berjaya menendang gol penalti pada minit ke 87.
5. WhatsApp Problem (Masalah WhatsApp)
Apabila ramai yang mengalami gangguan perkhidmatan WhatsApp pada 4 Oktober, sudah tentu ramai pengguna mencari puncanya melalui Google. Bukan sahaja di Malaysia, masalah ini telah melanda di kebanyakan tempat di dunia. Pada waktu itu, bukan sahaja aplikasi WhatsApp yang terganggu, malah ia turut memberi kesan kepada Facebook, Instagram dan Messenger. Pasti ramai pengguna yang berasa resah ketika itu.
Pada waktu itu, pengguna WhatsApp mengalami masalah gangguan perkhidmatan dan menyukarkan mereka menghubungi individu lain. Ada yang menyuarakan masalah ini menerusi Twitter dan ada juga yang merungut di platform lain pada keesokan harinya. Namun, ada juga yang tidak sedar perkara ini berlaku kerana kejadiannya adalah pada waktu tengah malam.
6. Pandora Papers
Pandora Papers dikatakan mengandungi 11.9 juta dokumen bocor yang mendedahkan nama pemimpin dunia, jutawan, ahli politik dan orang kenamaan yang menyembunyikan wang dan pelaburan mereka. Lebih mengejutkan apabila ada nama individu daripada Malaysia tersenarai dalam dokumen itu. Mungkin kerana perkara ini merupakan satu isu baharu, maka ramai yang tertarik untuk mencari lebih lanjut tentangnya.
7. Spain vs France
Kemenangan Liga Negara UEFA memihak kepada Perancis apabila mereka berjaya mengalahkan Sepanyol 2-1 pada perlawanan akhir di Stadium San Siro di Itali pada 10 Oktober. Penjaring gol daripada Sepanyol disumbang Oyarzabal, manakala gol Perancis dijaringkan oleh Benzema dan Mbappe.
8. Scotland vs Bangladesh / DC vs CSK
Dalam sukan kriket, Piala Dunia T20 ini menyaksikan Scotland mengalahkan Bangladesh dengan 6 larian, manakala dalam Liga Perdana India, kemenangan berpihak kepada Chennai Super Kings, yang mengalahkan Delhi Capitals dengan 4 wiket.
9. Vitesse vs Tottenham
Vitesse berjaya menewaskan Tottenham 1-0 dalam Liga Persidangan Eropah. Gol kemenangan mereka dijaringkan oleh Maximilian Wittek. Perlawanan ini berlangsung di stadium GelreDome, Arnhem, Belanda.
10. Farm Fresh IPO
Farm Fresh Bhd, syarikat perladangan tenusu bersepadu tempatan yang dimiliki oleh Khazanah Nasional Bhd bakal memasuki senarai Pasaran Utama Bursa Malaysia. Ia dijangka akan didedahkan kepada umum dalam separuh pertama 2022. Aktiviti perniagaan utama Farm Fresh Bhd adalah ternakan lembu tenusu dan penjualan susu lembu tenusu. Menerusi anak-anak syarikatnya, Farm Fresh terbabit dalam perniagaan perladangan, pengeluaran dan pengedaran pelbagai produk tenusu dan berasaskan tumbuhan.