Lenovo merupakan salah satu pengeluar yang aktif menghasilkan tablet dan dijual di Malaysia. Kini mereka mengumumkan kedatangan dua model tablet berprestasi tinggi, Lenovo Tab P11 Pro dan Lenovo Tab P11 Plus.
Bersempena kedatangan tablet baru ini, Lenovo turut menyediakan promosi khas. Bagi pembeli yang membuat tempahan awal Lenovo Tab P11 Plus di Lenovo Exclusives Store (LES) antara 15 hingga 31 Disember 2021, akan menerima hadiah percuma bernilai RM288, berupa 1 tahun perlindungan kerosakan tambahan (ADC) dan fon telinga Lenovo True Wireless Earbuds.
Dua tablet baru Lenono ini juga ada dijual dalam talian di Lazada dan Shopee. Harga jualan rasminya di Malaysia adalah seperti berikut:
- Lenovo Tab P11 Pro (RAM 6GB + Storan 128GB) – RM2,499
- Lenovo Tab P11 Plus (RAM 4GB + Storan 64GB) – RM1,399
Di Lenovo.com, Tab P11 Pro datang bersama papan kekunci dan pen stailus. Malah, ia juga ada diskaun RM180 dan boleh ditambah penjimatan 5% lagi menggunakan kod “SHOPPINGSPREE”, menjadikan harga akhirnya RM2,203.05 sahaja.
Spesifikasi Lenovo Tab P11 Pro
Dengan harga melebihi RM2,000, pastinya Tab P11 Pro datang dengan spesifikasi berkuasa tinggi. Ia memiliki cip Snapdragon 730G, RAM LPDDR4x 6GB dan storan dalaman UFS 2.1 128GB. Ia tiada sokongan kad SIM dan ada WiFi 802.11ac serta Bluetooth 5.0.
Paparannya sangat menarik, menggunakan skrin OLED 11.5-inci dengan resolusi tinggi 2K (2560×1600). Kadar penyegaran cuma 60Hz dan ia menyokong teknologi Dolby Vision dan HDR10, dengan kecerahan setinggi 350nits.
Sistem bunyi dihasilkan menerusi empat pembesar suara stereo jenama JBL dan serasi Dolby Atmos. Pembesar suara ini menembak di hadapan terus ke muka pengguna, pastinya memberikan pengalaman bunyi yang sangat menarik.
Dua kamera terdapat di hadapan dan dua lagi di belakang. Kamera hadapan adalah gabungan kamera utama 8MP dan kamera infra merah 8MP, digunakan untuk pengecaman wajah di suasana malap. Kamera belakang pula gandingan kamera utama 13MP dan kamera ultra lebar 5MP.
Kapasiti bateri sebesar 8,600mAh terdapat di dalamnya, dengan sokongan pengecasan pantas 20W melalui USB-C. Pengimbas capjarinnya terdapat di butang kuasa di sisi.
Spesifikasi Lenovo Tab P11 Plus
Tablet ini boleh dilabel sebagai peranti kelas pertengahan kerana ia dikuasakan cip Mediatek Helio G90T, bersama RAM LPDDR4x 4GB dan storan dalaman 64GB. Tiada sokongan LTE di tablet ini dan ia bersambung ke internet secara WiFi.
Skrinnya berukuran 11-inci, jenis LCD IPS dengan resolusi 2K (2000×1200). Kadar penyegaran cuma 60Hz dan tahap kecerahan setinggi 400nits.
Terdapat empat pembesar suara di Tab P11 Plus, memberikan bunyi stereo disokong Dolby Atmos. Di atas bingkai skrin, terdapat kamera utama 8MP dan sensor ToF untuk mengukur jarak kedalaman. Hanya satu kamera belakang iaitu kamera 13MP.
Dengan bateri 7,700mAh di pasang di dalamnya, Lenovo menyatakan ia memiliki hayat penggunaan sehingga 15 jam. Kuasa pengecas pula sehingga 20W menerusi USB-C.
Direka untuk kegunaan kanak-kanak, Tab P11 Plus datang dengan Google Kids Space yang menyediakan aplikasi dan games yang disahkan lebih 10,000 guru untuk kegunaan kanak-kanak. Ia juga menyediakan ratusan buku digital percuma untuk bacaan anak muda.