Sebelum ini, apabila MySejahtera mengesan anda sebagai kontak kasual bagi kes positif COVID-19, status di aplikasi akan bertukar kepada kontak kasual berwarna kuning. Tapi bermula 1 Mac 2022, tiada lagi perubahan status di aplikasi MySejahtera. Sebaliknya, anda akan menerima notifikasi daripada MySejahtera untuk diberitahu mengenai hal tersebut.
YB Khairy Jamaluddin dalam perkongsiannya di Twitter ada menyatakan bahawa sekiranya individu mengalami gejala, mereka dikehendaki asingkan diri dan lakukan ujian kendiri TRIIS.
Sebelum ini apabila MySJ Trace/Check-in mengesan anda sebagai Kontak Kasual kes +ve, status di MySj akan bertukar kepada Kontak Kasual (kuning). Kini tiada lagi perubahan status. Tetapi anda akan menerima notifikasi. Jika bergejala, asingkan diri & lakukan ujian kendiri. #TRIIS pic.twitter.com/yS388WNFKH
— Khairy Jamaluddin 🇲🇾🌺 (@Khairykj) March 1, 2022
TRIIS membawa maksud:
- Uji (Test)- lakukan ujian saringan saringan COVID-19 secara kendiri
- Lapor (Report)- laporkan ujian saringan di aplikasi MySejahtera
- Asing (Isolate)- Lakukan kuarantin dan pengasingan diri kendiri dengan segera
- Maklum (Inform)- Maklumkan kepada kontak rapat sekiranya keputusan ujian positif dan segera maklumkan kepada pihak berwajib jika kesihatan diri semakin merosot semasa kuarantin di rumah.
- Cari (Seek) – Dapatkan rawatan segera di pusat perubatan atau CAC berhampiran jika alami gejala berat seperti sesak nafas dan suhu badan terlalu tinggi.
Di samping itu, tiada sekatan akan dikenakan kepada individu berstatus kontak kasual. Tapi, jika sekarang anda mempunyai status kontak kasual di profil MySejahtera, status itu akan bertukar kepada “Risiko Rendah” tiga hari selepas ia diberikan kepada anda.
STATUS KONTAK KASUAL
— MySejahtera (@my_sejahtera) March 1, 2022
Bermula 1 Mac 2022, tiada perubahan status risiko di profil MySejahtera bagi mereka yang dikesan sebagai kontak kasual. Notifikasi akan dihantar sekiranya anda disahkan sebagai kontak kasual. #mysejahtera#mysejahteratrace #reopeningsafely pic.twitter.com/T0gvryy75g
Jika ada yang belum tahu, kontak kasual bermaksud individu yang berada dekat dengan anda berkemungkinan terdedah kepada kes COVID-19 tanpa diketahui. Individu ini berisiko rendah dijangkiti, berbanding kontak rapat. Oleh itu, jika selepas ini anda ada terima notifikasi yang berkaitan dengan kontak kasual, anda perlulah bertanggungjawab menjalani ujian saringan kendiri jika bergejala dan asingkan diri dari individu lain.
Bermula 1 Mac juga, nampaknya KKM memberi kelonggaran kepada individu yang telah menerima dos penggalak. Kontak rapat yang telah menerima dos penggalak tidak perlu lakukan kuarantin. Mereka hanya perlu lakukan ujian RTK (Ag) kendiri pada hari pertama dan ketiga sahaja. Jika bergejala, mereka perlu jalani tempoh kuarantin selama 5 hari.
Namun, untuk kontak rapat yang lengkap divaksinasi, mereka perlu jalani kuarantin selama 5 hari meskipun tidak bergejala. Untuk yang tidak lengkap atau tidak divaksinasi, tempoh kuarantin yang perlu dijalani ialah 7 hari sekiranya menjadi kontak rapat.
Bermula 1 Mac 2022, berikut adalah prosedur pengurusan kes positif dan kontak rapat kes COVID-19 mengikut status vaksinasi COVID-19. pic.twitter.com/U9wjLtAEwY
— KKMalaysia🇲🇾 (@KKMPutrajaya) February 28, 2022
Sebagai langkah berjaga-jaga, anda digalakkan untuk dapatkan vaksin COVID-19 dan terima dos penggalak dengan segera. Bahkan, kini kanak-kanak berusia 5 tahun ke atas juga sudah boleh menerima vaksin COVID-19 melalui program PICKids.
[Sumber: BH]