Google telah rangkumkan 10 carian popular pada bulan Februari 2022. Dapat dilihat, carian mengenai sukan pasti ada dalam hampir setiap senarai carian popular. Ini menandakan bahawa ramai rakyat Malaysia menyukai sukan dan ingin tahu tentangnya. Ada 3 sukan tersenarai pada bulan lepas iaitu, sukan kriket, bola sepak dan juga acara Olimpik Musim Sejuk 2022.
Selain itu, ada 4 laman web yang sering dilayari pengguna berada di dalam senarai. Iaitu Katapat, Unsent Project, APOD NASA calendar dan Wordle. 2 daripada 4 laman web ini adalah halaman permainan, manakala baki 2 lagi merupakan laman web mengenai pengetahuan dan bacaan santai.
Di samping itu, 2 filem antarabangsa turut berada dalam carian popular. Hal ini mungkin kerana ramai yang menantikan dua buah filem ini ditayangkan. Berikut merupakan perincian 10 carian popular Google bagi Februari 2022.
1. Winter Games 2022 Medals
Olimpik Musim Sejuk 2022, ialah acara pertandingan pelbagai sukan musim sejuk antarabangsa, yang diadakan antara 4 dan 20 Februari 2022 di Beijing, China. Malaysia juga ada menghantar wakil untuk pertandingan ini iaitu Jeffrey Webb dan Aruwin Idami Salehhuddin. Masing-masing mewakili untuk acara Ski Alpine. Pastinya peminat lakukan carian untuk ketahui perkembangan atlet Malaysia dan pemenang bagi sukan yang dipertandingkan.
Selain itu, ada juga isu boikot timbul dalam acara ini. Ekoran berlakunya perkara yang melibatkan hak asasi manusia di China seperti pembunuhan beramai-ramai terhadap etnik Uighur beragama Islam di Xinjiang, terdapat pihak yang menggesa negara-negara Barat agar memboikot edisi Sukan Olimpik ini. Ada juga yang mengharapkan pemimpin dan pegawai kerajaan negaranya untuk melakukan boikot diplomatik dengan tidak menghadiri Beijing 2022.
2. India vs West Indies
India melengkapkan kemenangan 3-0 menentang West Indies dalam siri T20 yang diadakan di Eden Gardens, Kolkata. India menewaskan West Indies dengan lebih 17 larian. Pertama kali India menentang West Indies adalah pada November 2018. Mereka memenangi tiga perlawanan di Kolkata, Lucknow dan Chennai. Pastinya carian mengenai pertandingan kriket ini dilakukan oleh peminat pasukan India dan West Indies untuk ketahui siapa pula yang bakal jadi pemenang.
3. Unsent Project
Laman web ini telah mengumpulkan lebih 4 juta mesej peribadi yang tidak dihantar kepada cinta pertama mereka. Ia merangkumi kekasih, kawan baik, bekas kekasih, ibu bapa, adik beradik dan juga haiwan peliharaan. Mesej ini dikongsikan daripada individu di seluruh dunia kepada Unsent Project secara anonymous. Kandungan mesej adalah luas merangkumi hampir setiap emosi. Unsent Project diwujudkan untuk menyediakan saluran emosi bagi mereka yang memerlukannya.
4. APOD NASA calendar
Orang ramai menggunakan laman web ini untuk melihat gambar yang diambil oleh NASA setiap hari, dari bulan Jun, 1995 hingga ke hari ini. Sekiranya anda tertanya-tanya gambar apa diperolehi NASA pada hari tertentu, contohnya pada hari lahir anda, anda boleh tekan di sini.
5. Uncharted
Uncharted ialah filem aksi-pengembaraan berdasarkan siri video permainan. Ia mengisahkan tentang Nathan Drake dan Victor ‘Sully’ Sullivan yang mencari harta karun. Dalam masa yang sama, Nathan juga sedang berusaha mencari abangnya yang telah terpisah.
Carian mengenai filem ini mungkin dilakukan kerana peminat ingin tahu tarikh tayangan perdananya Malaysia. Antara pelakon Uncharted ialah Tom Holland dan Mark Wahlberg.
6. Katapat
Katapat merupakan permainan Wordle versi Bahasa Melayu. Melaluinya, pemain dikehendaki teka perkataan 5 huruf berdasarkan petunjuk yang diberi. Hanya 6 peluang diberikan untuk pemain teka perkataan. Selain itu, perkataan yang ada akan ditukar pada setiap hari. Permainan ini mencabar, lebih-lebih lagi apabila kuota untuk meneka perkataan tinggal sedikit, tapi pertunjuk masih tidak cukup untuk dapatkan jawapan yang betul. Permainan Katapat sebenarnya menyeronokkan dan anda harus cuba.
7. UEFA Champions League / Champions League*
Perlawanan dalam Liga Juara-Juara Eropah bulan lepas menyaksikan Paris-Saint Germain menang 1-0 ke atas Real Madrid. Jaringan gol Kylian Mbappe itu membuatkan PSG mara ke peringkat seterusnya. Selain itu perlawanan antara Atletico Madrid dan Manchester United pula berakhir dengan seri.
8. Moonfall
Moonfall merupakan sebuah filem dengan tema bencana. Ia mengisahkan tentang sekumpulan angkasawan yang ditugaskan untuk selamatkan manusia, dengan menghalang bulan daripada terhempas ke bumi. Filem ini dilakonkan oleh Halle Berry dan Patrick Wilson.
9. Wordle
Cara untuk bermain Wordle sama seperti Katapat. Anda wajib cubanya jika anda gemar bermain Katapat. Pada awal bulan lalu, laman web Wordle telah dibeli oleh New York Times. Setakat ini, ia masih boleh dimain secara percuma. Tapi ia mungkin akan dikenakan bayaran pada masa akan datang. Jika bukan kerana keuntungan, mana mungkin NYT mahu beli Wordle pada harga jutaan USD.
10. Lunar New Year
Tahun Baharu Cina 2022 merupakan tahun Harimau. Ia telah disambut pada 1 Februari bersamaan hari selasa. Carian ini dilakukan mungkin kerana orang ramai ingin tahu SOP perayaan, berita mengenainya, promosi jualan bersempena perayaan itu dan perkara lain yang berkaitan.