Jika anda mencari telefon pintar flagship yang baru, anda sangat beruntung kerana bulan Mac dibanjiri dengan banyak pelancaran peranti. Telefon pintar yang dikuasakan cip terbaik masakini, Snapdragon 8 Gen 1 telah hadir satu persatu ke Malaysia. Yang terbaru adalah Realme GT2 Pro.
Bermula dengan siri Samsung Galaxy S22, diikuti Motorola Edge 30 Pro dan baru-baru ini siri Xiaomi 12, kini Realme Malaysia pula mahu mengikuti jejak langkah ini. Mereka mengumumkan akan melancarkan peranti terbaik, Realme GT2 Pro di Malaysia pada hujung bulan ini.
Acara pelancaran Realme GT2 Pro akan diadakan pada hari Khamis 24 Mac 2022, pukul 2 petang secara maya di Facebook Realme Malaysia. Tambah menarik lagi apabila Realme Malaysia menyatakan, GT2 Pro akan menjadi telefon pintar paing mampu dimiliki dengan kuasa Snapdragon 8 Gen 1. Pendek kata, telefon flagship paling murah.
Berapa murah harga Realme GT2 Pro?
Untuk rujukan, telefon pintar dengan cip Snapdragon 8 Gen 1 yang telah dijual di Malaysia adalah siri Samsung Galaxy S22, Motorola Edge 30 Pro dan siri Xiaomi 12 dengan harga:
- Samsung Galaxy S22 128GB – RM3,499
- Samsung Galaxy S22 256GB – RM3,699
- Samsung Galaxy S22+ 128GB – RM4,099
- Samsung Galaxy S22+ 256GB – RM4,299
- Samsung Galaxy S22 Ultra 128GB – RM5,099
- Samsung Galaxy S22 Ultra 256GB – RM5,499
- Samsung Galaxy S22 Ultra 512GB – RM5,899
- Motorola Edge 30 Pro 256GB – RM2,699
- Xiaomi 12 128GB – RM2,899
- Xiaomi 12 256GB – RM2,999
- Xiaomi 12 Pro 256GB – RM3,899
Xiaomi nampaknya tidak lagi menjadi pengeluar telefon pintar flagship termurah, kerana Motorola Edge 30 Pro jauh lebih murah dan datang dengan storan 256GB. Jadi, adakah Realme GT2 Pro akan berharga di bawah RM2,699 nanti?
Manakala di Eropah, Realme GT2 Pro telah dilancarkan pada harga berikut:
- Realme GT2 Pro (RAM 8GB + Storan 128GB) – EUR749 (~RM3,450)
- Realme GT2 Pro (RAM 12GB + Storan 256GB) – EUR849 (~RM3,910)
Sejujurnya, sukar untuk saya rasakan Realme GT2 Pro akan lebih murah. Sememangnya peranti di Eropah jauh lebih mahal berbanding Malaysia kerana cukai yang tinggi di sana. Katakan ia lebih murah RM500 di Malaysia, harga masih melebihi RM2,900. Lebih tinggi daripada Xiaomi 12 dan jauh lebih mahal daripada Motorola Edge 30 Pro.
Mungkin sukar untuk Realme merendahkan harga untuk Realme GT2 Pro tetapi anda tidak patut risau kerana ia adalah peranti yang penuh dengan ciri-ciri premium dan prestasi tinggi.
Spesifikasi Realme GT2 Pro
Seperti yang diketahui, peranti ini dikuasakan cip Snapdragon 8 Gen 1. Prestasi tinggi turut disumbang penggunaan RAM LPDDR5 sehingga 12GB dan storan UFS3.1 super pantas sehingga 256GB. Tiada slot kad mikroSD untuk meluaskan storan.
Kehebatannya di luar boleh dilihat daripada kualiti skrin yang hebat. Ia berukuran 6.7-inci, jenis Super AMOLED dengan resolusi WQHD+ (3260×1440), dan kadar penyegaran 120Hz dinamik dengan teknologi LTPO 2.0 yang lebih jimat tenaga. Tambah menarik adalah kadar sentuhan mencecah 1,000Hz dan kecerahan puncak setinggi 1,400nits. Kaca Corning Gorilla Glass Victus menjadi lapisan luarnya dan pengimbas capjari terdapat di dalam skrin.
Kapasiti bateri kelihatan agak biasa, sebesar 5,000mAh menggunakan dwisel 2,500mAh. Ini membolehkan ia menyokong pengecasan pantas SuperDart 65W, mengecas dari 0-100% dalam masa 33 minit sahaja. Lebih penting lagi, kepala pengecas 65W dan kabel USB-C diberikan di dalam kotak. Tetapi tiada sokongan pengecasan wayarles, seperti di Xiaomi 12 dan Galaxy S22.
Sebenarnya, kamera di Realme GT2 Pro ini sangat menarik kerana ia menampilkan lensa yang lain daripada kebiaasan. Ia menggunakan gandingan tiga kamera belakang, tapi kamera telefoto. Ia adalah kamera utama 50MP F1.8 dengan sensor Sony IMX766 OIS, bersama kamera ultra lebar 50MP F2.2 dengan bukaan 150-darjah, serta kamera mikro dengan 40x zum.
Kamera ultra-lebar ini boleh dikatakan pertama di telefon pintar kerana kebiasaannya, bukaannya hanya 120-darjah. Bagaimanapun, akan ada herotan dengan kesan mata ikan pada gambar. Ini bukanlah satu kelemahan, sebaliknya boleh menjadi satu seni eksklusif jika tahu menggunakannya dengan baik.
Kamera mikro dengan zum 40x pula boleh dikatakan pertama kali dipopularkan oleh Oppo Find X3 Pro. Ia mampu mengambil gambar yang sangat kecil dengan jelas, dibantu cahaya LED supaya sentiasa cerah. Jadi, pengguna boleh meluahkan kreativiti mereka dengan lebih luas menggunakan kamera ultra lebar 150-darjah dan kamera mikro 40x zum yang tiada pada telefon pintar lain. Anda boleh tonton hasil kamera mikro Oppo Find X3 Pro di bawah:
Kamera hadapan pula 32MP F2.4, menggunakan sensor Sony IM615 dan terletak di dalam lubang di sudut atas skrin.
Satu lagi keunikan pada Realme GT2 Pro adalah badannya diperbuat daripada plastik polimer dengan kemasan seakan kertas. Rekaan ini sekali lagi hasil kerjasama dengan Pereka Industri terkemuka, Naoto Fukasawa dan dibangunkan dengan kajian selama 12-bulan bersama syarikat SABIC dari Arab Saudi.
Skrin yang cantik di Realme GT2 Pro, dipadankan dengan sistem bunyi canggih menerusi dua speaker stereo. Ia menyokong teknologi bunyi sekeliling Dolby Atmos dan diiktiraf Hi-Res, untuk bunyi mengasyikkan ketika menonton video atau bermain permainan video.
Di Eropah, Realme GT2 Pro dilancar dengan tiga pilihan warna iaitu putih kertas, hijau kertas dan hitam besi. Tetapi dalam gambar pengumuman Realme Malaysia, hanya warna putih ditunjukkan. Ini mungkin petanda hanya satu warna akan dijual di sini nanti.