Pengendali lebuhraya terpanjang di Malaysia, PLUS Malaysia menjangkakan lebih 2 juta kenderaan setiap hari bakal menggunakan laluan mereka sewaktu musim perayaan ini. Peningkatan tersebut sudah tentu ada antaranya disumbangkan oleh inisiatif pemberian tol percuma dalam tempoh tertentu bersempena Hari Raya Aidilfitri.
Bagi memastikan perjalanan balik kampung anda lancar dan selamat, berikut adalah 5 tips yang boleh kami kongsikan.
Gunakan RFID ataupun kad Enhanced TNG
Kalau anda terlepas berita, sekurang-kurangnya 1 lorong RFID telah dibuka di sepanjang pintu masuk/keluar Lebuhraya Utara-Selatan. Menggunakan RFID sangat memudahkan kerana tak perlu lagi anda risaukan baki tidak mencukupi kerana semuanya boleh dipantau terus melalui telefon pintar.
Apabila melalui Lorong bayaran RFID, pastikan kelajuan kenderaan anda berada di bawah 20km/j bagi memudahkan mesin membaca tag RFID anda.
Sekiranya kenderaan anda masih belum dilengkapi pelekat RFID, and aboleh dapatkannya pada harga RM35 melalui APP TNG eWallet ataupun pusat pemasangan TNG RFID berhampiran anda.
Untuk altenatif, anda juga boleh gunakan kad Enhanced TNG untuk gantikan kad TNG sedia ada seandainya anda masih gunakan Smarttag. Kad ini boleh ditambah nilai menggunakan telefon jadi anda tak perlu beratur ataupun dicaj fi perkhidmatan RM0.50.
Perlu diingatkan yang sekiranya anda ingin menikmati rebat tol percuma, anda perlu masuki lebuhraya menggunakan sama ada TNG ataupun RFID dan keluar dalam tempoh promosi.
Turuti Saranan Waktu Perjalanan Hari Raya 2022
Pengendali Lebuh Raya Utara-Selatan ada mengeluarkan saranan waktu perjalanan untuk pengguna laluannya. Dijangkakan lebih 2 juta kenderaan akan bergerak di atasnya iaitu 25% peningkatan daripada waktu biasa.
Sekiranya anda pulang ke kampung antara 29 April hingga 2 Mei dan bergerak keluar daripada Kuala Lumpur, anda disarankan untuk bergerak sebelum 10 pagi. Buat anda yang akan masuki Lembah Klang antara 5 hingga 9 Mei, anda disarankan untuk mulakan perjalanan sebelum 9 pagi.
PLUSRonda tawarkan bantuan 24 jam kepada pengguna lebuhraya
Sekiranya kenderaan anda menghadapi masalah, PLUS menyediakan khidmat sokongan 24 jam PLUSRonda. Sebenarnya, anda tak perlupun menukar tayar kenderaan sendiri kerana PLUSRonda miliki cukup kelengkapan untuk lakukannya dan keselamatan anda harus diutamakan.
Selain menggunakan alat perhubungan disepanjang lebuh raya, anda juga boleh memanggil bantuan menerusi aplikasi PLUS di Android dan iOS. Ataupun anda boleh hubungi 1800-88-0000.
Sekiranya kenderaan anda diluar kemampuan juruteknik PLUSRonda untuk dibaiki, mereka boleh tunda kenderaan anda ke pintu keluar ataupun R&R berhampiran untuk bantuan lanjut.
Periksa kenderaan sebelum bertolak
Bagi mengelakkan anda terkandas dalam perjalanan, lebih baik anda ambil sedikit masa untuk periksa keadaan kenderaan yang akn bawa anda ratusan kilometer merentasi negeri.
Perkara asas seperti minyak enjin, sistem penyejukan enjin, dan tekanan tayar boleh diperiksa dengan mudah tanpa perlukan kelengkapan kompleks.
Sekiranya anda memandu kenderaan elektrik, masukkan juga senario apabila pusat pengecas semuanya telah diambil orang.
Sediakan keperluan asas untuk pemandu dan penumpang kereta
Memandu lama tentulah memenatkan. Tapi sekiranya ada jajan ataupun minuman untuk bantu anda kekal segar semestinya sangat memudahkan. Selain makanan dan minuman, selimut dan ubat-ubatan ringkas turut membantu di waktu kecemasan.
Bacaan berkaitan
Tol Percuma Hari Raya 2022: 4 perkara yang perlu anda tahu – SoyaCincau.com
Tol percuma selama 2 hari sempena Aidilfitri, ini senarai lebuhraya yang terlibat – SoyaCincau.com