Pembentangan utama Apple WWDC 2022 dimulakan dengan pengenalan ciri-ciri baru yang bakal tiba di iOS 16. Ia akan membawa naik taraf besar kepada halaman kunci skrin, serta pembaharuan di aplikasi Messages dan Mail.
Kunci Skrin lebih peribadi
Pengguna iPhone akan dapat menikmati kunci skrin yang lebih menarik di iOS 16 kerana ia tidak lagi terhad kepada perkataan dan nombor, tetapi boleh diubahsuai dengan menambah pelbagai grafik dan animasi. Widget yang sebelum ini terdapat di halaman utama sahaja, kini turut boleh digunakan di kunci skrin.
Antara widget yang boleh dipasang pada kunci skrin adalah seperti kalendar, cuaca, tahap bateri, penggera, aktiviti kecergasan dan banyak lagi. Selain itu, pengguna juga boleh menukar kepada Wallpaper yang interaktif seperti cuaca semasa, atau pandangan sistem solar dari angkasa. Malah, pengguna turut boleh menukar teks kepada pelbagai saiz, jenis dan memilih warna yang digemari.
Satu lagi perkara menarik adalah Live Activities. Ia boleh menunjukkan maklumat masa nyata terus di kunci skrin seperti cuaca, berita sukan, kecergasan, penghantaran barang dan banyak lagi.
Apple turut menaik taraf fungsi Focus ke dalam kunci skrin. Dengan Focus, pengguna boleh menetapkan notifikasi yang diingini sahaja dipaparkan di kunci skrin. Seperti maklumat emel dan kalendar sewaktu kerja, dan tiada notis sewaktu tidur.
3 naik taraf Messages
Apple memaklumkan bahawa mereka mendengar cadangan pengguna dan telah menambah 3 perkara yang paling banyak diminta ke dalam aplikasi Messages. Pertama, pengguna boleh mengubahsuai mesej yang telah dihantar. Kedua, mesej yang telah dihantar boleh ditarik balik untuk masa tertentu. Ketiga, mesej boleh ditanda belum dibaca semula untuk rujukan kemudian.
Selain itu, Apple juga telah memasang ciri SharePlay ke dalam Messages untuk memudahkan perkongsian kandungan seperti lagu atau video, serta kawalannya semasa berbual di dalam Messages.
Carian Mail lebih mudah
Naik taraf besar di Mail adalah di carian. Menggunakan kecerdasan pintar, ia akan memberi cadangan carian sebelum habis menaip. Selain itu, ia juga akan memberi cadangan berkaitan seperti fail, pautan atau kenalan semasa membuat carian.
Di samping itu, beberapa ciri baru lain adalah seperti menjadualkan penghantaran emel, membatalkan penghantaran emel yang belum tiba kepada penerima, serta memberi peringatan mengepil fail jika perlu.
Live Text di video
Fungsi penterjemah masa nyata yang dahulunya ada di gambar statik sahaja, kini boleh digunakan di video juga. Pengguna boleh memberhentikan seketika video dan mengesan perkataan untuk diterjemah. Ia juga kini boleh memberi kadar tukaran mata wang masa nyata.
Di samping itu, Apple turut menaik taraf Visual Look Up dengan memberikan kebolehan memotong dan menampal subjek di dalam gambar ke dalam aplikasi lain seperti Messages. Tidak perlu bersusah payah untuk diubahsuai dahulu di aplikasi mengedit gambar. Ia boleh mengesan pelbagai haiwan, tumbuhan, serangga serta bangunan dan binaan.
Perkongsian gambar iCloud
Storan awan iCloud kini ditambah fungsi perkongsian iCloud Shared Photo Library. Ia membenarkan sehingga 6 orang pengguna berkongsi galeri gambar yang sama.
Dengan perkongsian ini, pengguna boleh memuat naik terus gambar dari tangkapan kamera untuk digunakan bersama. Ia juga akan mencadangkan gambar yang serupa untuk dikongsi sesama ahli.
Pembangun aplikasi boleh mendapatkan akses untuk iOS 16 Beta mulai hari ini. Ujian Beta untuk orang ramai pula akan tersedia pada bulan Julai. Versi lengkap iOS 16 akan disediakan sekitar bulan September akan datang, kebiasaannya tiba bersama model baru iPhone.
[Sumber: Apple]