Ducati Malaysia menyambut kedatangan separuh kedua tahun 2022 dengan pelancaran 6 motorsikal baharu dalam pelbagai kategori. Menurut mereka, akan ada satu Ducati yang sesuai walau siapapun anda.
Ducati Streetfighter V2
Buat pertama kalinya keluarga Streetfighter menerima ahli yang dikuaskaan enjin dua silinder. Ducati Streetfighter V2 dibangunkan berasaskan Panigale V2 sebagai ahli dalam julat harga sekitar RM100 ribu.
Jentera ini dijual pada harga RM101,900.
Menggunakan kerangka monokok, padanya tersemat enjin Superquadro dua silinder 90° V-twin dengan sistem injap Desmodromic. Ia menjana kuasa sehingga 112 kW (151 bhp) pada 10750 rpm dengan paras tork 101 Nm pada 900 RPM.
Motor jenis naked ini sesuai untuk kegunaan bandar ataupun yang inginkan kedudukan menunggang lebih tegak berbanding sport menerusi penggunaan handlebar jenis palang.
Antara ciri elektronik yang menarik padanya adalah seperti Ducati Multimedia System (DMS). Dijual sebagai aksesori tambahan, pengguna boleh tambat telefon dan earbuds pada motorsikal untuk menerima panggilan, mendengar lagu, dan membaca mesej masuk melalaui paparan TFT-nya.
Ciri ABS, pengawal cengkaman, wheelie control, dan engine braking semuanya diwarisi daripada MotoGP untuk kemudahan penunggang. Anda terima tiga mode tunggangan iaitu Sport, Road, dan Wet sebagai langkah keselamatan.
Streetfighter V4 SP
Ini adalah streetfighter paling laju dalam industri. Anda boleh dapatkannya pada harga RM239,900.
Masih menggunakan rangka monokok, ia diperkasa enjin Desmocedici Stradale yang hasilkan kuasa 153 kW (208 hp) dan 123 Nm @ 9,500 rpm. Motor ini menggunakan sistem klac kering, jadi anda boleh lihat komponen klac yang terdedah di bahagian kanan motor.
V4 SP adalah 3 kg lebih ringan berbanding V4 biasa hasil penggunaan beberapa komponen yang diperbuat daripada serat karbon. Contohnya, rim motorsikal ini tidak menggunakan aluminum terbaja.
Selain itu, penjimatan berat juga disumbang oleh penggunaan bateri jenis lithium-ion berbanding bateri plumbum biasa.
Disebabkan ini adalah flagship Ducati, segala macam ciri elektronik hadir seperti:
- ABS Cornering
- Ducati Traction Control (DTC) EVO 2
- Ducati Slide Control (DSC)
- Ducati Wheelie Control (DWC) EVO
- Ducati Power Launch (DPL)
- Ducati Quick Shift up/down (DQS) EVO 2
- Engine Brake Control (EBC) EVO
- Ducati Electronic Suspension (DES) EVO
Paparan TFT 5” masih hadir dan boleh ditambat pada DMS.
Ducati Multistrada V2S
Ini adalah motorsikal kembara yang merupakan varian yang lebih canggih berbanding V2 sedia ada. Ia tiba ke Malaysia lewat sikit berbanding varian yang satu lagi.
Harganya untuk pasaran Malaysia adalah RM105,900.
DI bahagian terasnya adalah masih sama. Motorsikal ini menggunakan stesen janakuasa Testatretta V-twin yang mampu hasilkan 83.1 kW (113 hp) @ 9000 rpm dan tork 96.2 Nm @ 7,750 rpm.
Berbanding V2 yang ada sistem ampaian boleh laras secara manual, V2S ada sistem jenis elektronik yang boleh dilaras menggunakan butang. Berat badan V2S turut lebih ringan sebanyak 2kg hasil penggunaan komponen klac baharu.
Bila berada di atas pelana V2S, anda akan nampak paparan TFT 5” yang boleh disambung pada DMS untuk kemudahan multimedia.
Panigale V2 Bayliss (1st Championship 20th Anniversary)
Panigale V2 Bayliss dibangunkan bersempena ulang tahun ke-20 juara dunia WSBK tahun 2001. Dia pernah memenangi Superbike World Championshop dan MotoGP, semuanya di atas jentera Ducati.
Buat yang berminat, harganya adalah RM136,900. Kalau nak jimat, versi standard boleh didapatkan pada harga RM109,900.
Berbanding Panigale V2 sedia ada, versi Bayliss berbeza pada sudut seragam yang diinspirasikan daripada jentera 996 R yang digunakan sewaktu berlumba dulu.
Di bahagian teras motorsikal ini ada enjin Superquadro V2 yang hasilkan 114 kW (155 hp) @ 10,750 rpm dan 104 Nm @ 9,000 rpm.
Sebagai mempersiapkan jentera ini untuk kegunaan litar, beratnya dicantas di beberapa tempah sebanyak 3kg. Ia gunakan bateri ion-lithium dan kerusi penumpang belakang telah dibuan.
Scrambler Urban Motard
Ducati turun memperkenalkan dua ahli baharu keluarga Scrambler. Pada saya, kedua-dua Scrambler adalah yang paling santai pada sudut keselesaan menunggang berbanding 4 yang telah dilancarkan.
Bermula dengan Scrambler Urban Motard, motorsikal ini dikuasakan enjin Desmodromic 803cc V-twin yang menjana 54 kW (73 hp) @ 8,250 rpm dan tork 66.2 Nm @ 5,750 rpm. Penghasilan kuasa agak rendah jika dibandingkan dengan sesaran yang besar tapi ia bukanlah sesuatu yang pelik kerana ia menggunakan sistem penyejukkan angin, dan bukannya cecair seperti enjin-enjin model lain.
Kalau enjinnya lebih tradisional, bahagian lain adalah lebih modern. Anda dapat klac hidraulik dan pemecut elektronik. Dua komponen ini biasanya hadir pada motorsikal Ducati yang lebih mahal.
Bagi mengekalkan ketradisionalan motorsikal, odometer jentera ini tidaklah menggunakan TFT tan ia tidak boleh disambung pada DMS.
Urban Motard adalah yang paling murah dalam kalangan 6 yang dilancarkan ini pada harga RM68,900.
Scrambler 1100 Tribute Pro
Buat yang perlukan lebih kuasa, Scrambler 1100 Tribute Pro ada enjin 1100cc Desmodromic V-Twin. Ia hasilkan 86 hp @ 7,500 rpm dan tork 92 Nm @ 4,750 rpm. Masih lagi rendah untuk standard motorsikal moden, tapi lebih tinggil daripada Urban Motard.
Dihasilkan untuk selari dengan rupa retro, anda dapat motorsikal yang membawa logo Ducati yang lama, rim lidi, lampu bulat, dan odometer monokrom.
Namun, motor ini tidak mahu tenggelam dalam arus modenisasi. Ia masih ada ABS dan pengawal pecutan digital untuk keselesaan dan keselamatan.
Scrambler 1100 Tribute Pro dijual pada harga RM85,900.