Baru sahaja mengumumkan telefon pintar mampu milik Poco C40, Poco tidak mahu menghentikan momentum mereka apabila terus mengumumkan acara pelancaran seterusnya. Bukan satu, tetapi akan ada dua model telefon pintar yang berbeza bakal diperkenalkan.
Acara pelancaran Poco yang akan datang, akan diadakan pada 23 Jun 2022. Seperti biasa, ia diadakan secara maya dan boleh ditonton menerusi Facebook, Twitter dan Youtube Poco Global. Majlis pelancaran ini akan membuka tirainya jam 8 malam waktu Malaysia.
Terdapat dua model yang bakal dilancarkan, dilihat akan tergolong dalam kelas pertengahan iaitu Poco F4 dan Poco X4 GT. Malah, Poco seperti tidak sabar-sabar mahu menarik minat pengguna apabila terus memperlihatkan rupa sebenar telefon tersebut.
Dari gambar Poco F4, ia akan memiliki badan berbingkai rata seperti iPhone 13, dengan satu kamera di hadapan dan tiga kamera di belakang. Terdapat label 64MP OIS, pastinya merujuk kepada kamera utama dengan penstabil imej terbina.
Bagi Poco X4 GT pula, hanya kelihatan bahagian hadapannya yang menunjukkan satu kamera di atas skrin serta bingkai badan yang juga rata.
Spesifikasi penuh terbocor
Jangan terkejut kerana maklumat terbocor untuk kedua-dua telefon ini telah tersebar di internet. Menurut Winfuture, Poco F4 adalah model yang lebih mahal, manakala Poco X4 GT adalah jelmaan daripada Redmi Note 11T Pro yang telah dilancarkan di Eropah.
Poco F4 memiliki skrin AMOLED 6.67-inci HD Penuh 120Hz, bersama kaca Corning Gorilla Glass 5. Ia dikuasakan cip Snapdragon 870 dengan RAM 8GB dan storan 256GB. Bateri di Poco F4 hanya 4,500mAh dan menyokong pengecasan pantas 67W.
Poco X4 GT pula walaupun dikatakan serupa dengan Redmi Note 11T Pro, ia akan dikuasakan cip Mediatek Dimensity 8100 yang baru, bersama RAM 8GB dan storan 256GB. Skrinnya LCD 6.6-inci dan ada kaca Corning Gorilla Glass 5.
Kamera belakangnya gabungan kamera utama 64MP, kamera ultra lebar 8MP dan kamera makro 2MP. Kamera hadapan pula 20MP. Baterinya 5,080mAh dan boleh mengecas dengan kuasa 67W.