Bagi anda yang sering sibuk dan mempunyai masa yang sangat terhad untuk bersihkan rumah, vakum robot boleh menjadi penyelamat. Anda hanya perlu lepaskannya dan kawal melalui aplikasi. Kebanyakan robot vakum boleh mengesan susun atur dan selok belok seluruh rumah, jadi ia dapat jalankan tugas membersih dengan baik.
Sebelum ini saya pernah reviu dua robot vakum, iaitu Deebot T9 dan Realme Techlife Robot Vacuum. Kali ini saya berpeluang pula menggunakan Mi Robot Vacuum-Mop 2. Ia dikatakan boleh membersihkan secara mendalam untuk mengeluarkan habuk yang kecil pada celah karpet. Malah, ia turut disertakan fungsi mop yang dikatakan berkesan untuk lakukan pembersihan dengan cekap. Bagi mengetahui keberkesanannya, saya telah cuba robot vakum ini selama hampir 2 minggu.
Buka kotak
Dalam kotak Mi Robot Vacuum-Mop 2, saya ada terima:
- Sebuah robot
- Tangki air untuk mop sebesar 250ml
- Lapik mop
- Berus pembersih
- Kabel kuasa 2 pin
- Dok pengecas
- Buku manual
Ada dua butang tersedia pada bahagian atas Mi Robot Vacuum-Mop 2, satu butang kuasa, manakala butang dengan simbol rumah itu pula adalah untuk mengarahkan robot kembali ke dok pengecas. Ada juga pengesan navigasi visual di samping dua butang itu, ia berbentuk bulat. Kemudian, pada bahagian depan, ia miliki sensor nyahpecutan inframerah. Ia terletak ditengah-tengah bumper robot yang berwarna putih. Dengan adanya bumper, robot dan perabot tidaklah rosak jika ia perlanggaran berlaku. Di bahagian belakang robot pula ada pembesar suara.
Untuk bahagian bawah, ia ada satu tayar di bahagian depan, 2 tayar utama di sisi, 1 berus panjang di bahagian tengah dan satu berus kecil di tepi. Ada juga ruang untuk pasang tangki air mop dibawah ini. Apabila tangki air mop dipasang, bahagian bawah robot akan kelihatan seperti ini:
Bekas sampah pula ada di dalamnya. Kapasitinya adalah 550ml. Robot ini mempunyai kuasa sedutan 2,700 Pa. Baterinya berkapasiti 3,200mAh dan dikatakan boleh bekerja sehingga 110 minit. Ia boleh dikawal melalui aplikasi Mi Home.
Pengalaman guna Mi Robot Vacuum-Mop 2
Robot ini boleh lakukan kerja mop dan vakum dalam satu masa yang sama. Perkara pertama saya lakukan pada robot ini adalah sambungkannya dengan aplikasi Mi Home. Caranya sangan senang, hanya perlu ikut sahaja arahan pada skrin.
1. Boleh vakum kotoran dengan baik
Dalam aplikasi, ada 4 mod pembersihan tersedia. Mod dengan sedutan paling rendah ialah Silent, ia diikuti Standard, Strong dan paling kuat adalah Turbo.
Mod Silent dan Standard boleh digunakan sewaktu vakum lalu di permukaan licin. Ia juga sesuai digunakan ketika vakum bekerja pada waktu malam kerana bunyinya tidak bising. Semasa saya gunakan mod ini, ada bermacam jenis sampah berjaya disedut contohnya habuk, rambut dan serpihan kecil kulit bawang di dapur.
Untuk mod Strong, ia sesuai digunakan pada permukaan karpet. Tapi, adakalanya saya hidupkan juga mod Turbo supaya ia boleh sedut kotoran yang susah dibuang dari karpet. Contohnya benang dan serbuk kayu (bedding) haiwan.
Walaupun begitu, apabila robot berdepan dengan sampah yang banyak di atas karpet, contoh seperti serpihan keropok, ia tidak boleh membersihkannya dengan baik walaupun saya telah tetapkan mod sedutan kepada Turbo.
Saya perlu arahkan robot bersihkan kembali permukaan karpet yang sama selepas ia pulang ke dok pengecas. Hal ini mungkin berlaku disebabkan robot miliki hanya satu sahaja berus di tepi. Jadi ia tidak dapat capai sampah dari sisi sebelah lagi.
Selain itu, robot ini dikatakan boleh menyeberang halangan sehingga setinggi 20mm. Rumah saya tiada halangan setinggi itu, tapi perkara menarik yang saya nampak ialah, apabila robot ini lalu dari permukaan lantai untuk naik ke atas karpet, ia boleh bergerak dengan lancar. Dibandingkan dengan Realme Robot Vacuum yang saya reviu dahulu, adakalanya ia melipat karpet rumah saya ketika bergerak menaikinya.
2. Mop tidak begitu membantu
Untuk fungsi mop pula, pengguna dilarang memasukkan sabun atau cecair pembasmi kuman ke dalam bekas mop bagi mengelakkanya tersumbat. Jadi, saya masukkan air sahaja. Bayangkan mop lantai hanya menggunakan air, anda rasa bersih tak?
Melalui aplikasi, ada 3 peringkat penggunaan air boleh ditetapkan, iaitu Low, Medium dan High. Walaupun saya tetapkan kepada tahap High, airnya tidaklah keluar dengan banyak sehingga permukaan lantai menjadi basah. Ia hanya beri kesan licin sahaja.
Selain itu, Xiaomi menerusi halaman Mi Robot Vacuum-Mop 2 ada menyatakan yang tekanan mop telah ditingkatkan untuk model ini. Jadi, saya jangakakan fungsi mop pada vakum ini adalah setanding dengan Deebot T9. Tapi hasil kerja mop tersebut berada di bawah jangkaan saya, sebab ia tidak boleh hapuskan kotoran di atas lantai sehingga bersih. Oleh kerana sabun tidak boleh digunakan, jadi ada kotoran degil pada lantai yang susah dihilangkan.
Saya ada cuba fungsi mop ini untuk bersihkan lantai yang ada kesan crayon dan warna magic. Tapi tidak berjaya walaupun telah lalu 2 kali pusingan, walhal saya hanya conteng sedikit sahaja warna magic pada permukaan lantai. Mop ini kelihatan seperti tidak tekan pada permukaan lantai dengan kuat.
Saya ada juga gunakan robot ini di kawasan dapur untuk mop tumpahan kicap dan jus di atas lantai, tapi vakum tidak berjaya bersihkan kotoran tersebut dengan baik walaupun tumpahan itu hanya sedikit sahaja. Sepanjang saya menggunakan vakum ini, fungsi mop hanya berjaya membersihkan permukaan lantai yang berhabuk. Walaupun habuk hilang, tapi saya masih rasa tidak bersih kerana sabun tidak digunakan untuk mop. Jadi, sudah tentu saya pilih untuk mop secara manual sahaja.
Robot ini memang sangat berguna untuk vakum sampah. Tapi, ia hanya akan simpan peta rumah saya selepas ia lengkapkan 3 kali pembersihan. Jadi, pada waktu tersebut, robot akan bergerak di seluruh rumah saya dan langgar hampir semua perabot. Walaupun berlanggar, ia tidak mendatangkan kesan pada robot dan perabot sebab pada bahagian depan robot ada bumper.
Selepas mengesan peta, barulah ia boleh mengelak perabot dengan baik, tapi adakalanya ia masih juga langgar kerusi kerja saya sewaktu lakukan pembersihan.
Ciri lain yang berguna di dalam aplikasi untuk vakum ini ialah, ciri jadualkan pembersihan, alat kawalan dan Find the vacuum-mop (cari vakum). Untuk jadul, saya boleh tetapkan masa, hari dan mod sedutan yang saya mahu untuk vakum lakukan pembersihan. Saya sudah mencubanya dan robot ini memang bekerja mengikut waktu yang ditetapkan.
Untuk alat kawalan pula, saya boleh kawal robot untuk bergerak sama ada kedepan, kiri ataupun kanan. Tapi ia hanya bergerak sedikit sahaja. Bagi saya, alat kawalan ini sesuai digunakan sewaktu mop. Contoh, jika ada kotoran di bahagian kiri sewaktu vakum bergerak ke hadapan, maka bolehlah saya arahkan robot pusing ke kiri untuk mop kotoran itu.
Bagi ciri Find the vacuum-mop, ia boleh digunakan untuk cari robot yang hilang dari pandangan. Selepas tekan tab Find the vacuum-mop, robot akan berbunyi “I’m here” dengan kuat.
Rumusan
Saya sukakan Mi Robot Vacuum-Mop 2 ini sebab bunyinya tidak bising. Sesuai untuk individu yang suka bersihkan rumah pada waktu malam. Ia juga menyedut sampah dengan baik, lebih-lebih lagi sampah di atas permukaan lantai yang licin dan sampah halus di atas karpet. Cuma, ia tidak boleh bekerja dengan baik apabila perlu menyedut sampah yang besar dan banyak, contohnya beras dan makanan haiwan. Robot perlu lakukan sehingga 2 kali pusingan di tempat yang sama untuk selesai membersihkan di permukaan itu.
Selain itu, saya juga dapati mop pada Mi Robot Vacuum-Mop 2 tidak tekan pada permukaan dengan kuat. Kesannya, kebanyakan kekotoran tidak dapat dihilangkan. Walaupun begitu, untuk rumah saya yang berukuran kira-kira 813 sqft, saya tidak sangka tangki air yang nampak nipis ini mampu memuatkan air yang cukup untuk bersihkan seluruh rumah saya.
Dibandingkan Mi Robot Vacuum-Mop 2 dengan Realme Robot Vacuum, saya lebih suka mop pada Realme Robot Vacuum. Walaupun ia mop seperti ala kadar sahaja, ia sekurang-kurangnya boleh bersihkan kotoran ringan seperti air jus cair. Mop pada Mi Robot Vacuum-Mop 2 ini lebih kepada membasahkan lantai rumah saya sahaja. Tapi, untuk ciri mengelak halangan, Mi Robot Vacuum-Mop 2 adalah lebih baik. Sebab Realme Robot Vacuum dahulunya sering melanggar perabot saya walaupun ia ada ciri pengesan halangan.
Dibandingkan pula dengan mop pada Deebot T9, kesannya memang jauh berbeza. Deebot boleh bersihkan kotoran di lantai dengan sekali lalu sahaja, sangat mengagumkan. Vakumnya juga berfungsi dengan baik. Lebih menarik lagi, ia turut disertakan pewangi. Jadi, ia boleh bersihkan rumah sambil sebarkan bau wangi. Cuma harganya lebih mahal, iaitu RM3,999.
Jika anda berminat dengan Mi Robot Vacuum-Mop 2, anda boleh dapatkannya menerusi Shopee dan Lazada pada harga RM1,099. Untuk maklumat lanjut mengenai produk ini, anda boleh layari laman sesawang rasminya di sini.