Ketika berkunjung ke taman tema, salah satu perkara yang memakan masa pengunjung adalah perlu beratur panjang dan lama untuk mendapatkan giliran bermain atau lakukan sesebuah aktiviti. Tapi, di Taman Tema Genting SkyWorlds, anda boleh elak perkara itu dengan menggunakan aplikasi yang disediakan iaitu Genting SyWorlds.
Teknologi Virtual Queue (VQ) Solution
Alibaba Cloud telah bekerjasama dengan Taman Tema Genting SkyWorlds untuk hasilkan teknologi Virtual Queue (VQ) Solution yang dikuasakan Kecerdasan Buatan (AI). Ia menggunakan teknologi awan untuk berikan pengalaman yang lancar kepada pengunjung agar dapat kunjungi semua tarikan yang ada tanpa perlu beratur panjang menunggu giliran.
Jika anda rancang untuk ke Genting SkyWorlds dan mahu gunakan teknologi ini, anda perlu pastikan anda sudah muat turun aplikasi Genting SyWorlds terlebih dahulu sama ada di peranti Android ataupun iOS. Kemudian pautkan tiket masuk anda pada aplikasi ini, dengan imbas kod QR yang tertera. Tiket boleh didapatkan di kaunter dan juga secara dalam talian.
Pengalaman main tanpa beratur
Di bawah ini saya kongsikan halaman di dalam aplikasi untuk pengguna tempah slot tarikan di Genting SkyWorlds. Anda perlu lakukan tempahan slot supaya anda tak perlu beratur lama menunggu giliran.
Pada halaman Attraction, anda boleh lihat peta dan semua permainan yang ada. Di situ juga anda boleh nampak masa menunggu untuk slot kosong seterusnya. Contoh saya nak main Independence Day: Defiance, saya hanya perlu pilih slot kosong dan lakukan tempahan. Sementara tunggu masa tarikan ini bermula, saya bolehlah isi masa dengan kunjungi tarikan yang lain dahulu. Yang penting ialah, anda perlu susun jadual anda dengan baik supaya anda boleh lawati semua kunjungan yang ada.
Setibanya di lokasi tarikan, anda perlu lalu di lorong khas untuk pengguna Virtual Queue (VQ), kemudian imbas kod QR yang ada pada aplikasi. Berdasarkan pengalaman saya, saya memang tak perlu beratur langsung untuk bermain dengan menggunakan sistem ini. Manakala pengunjung lain yang tidak menggunakan Virtual Queue (VQ), mereka memang perlu beratur panjang.
Dalam masa 2 jam, saya dapat kunjungi 5 tarikan. Anggaran masa untuk bermain dalam 1 tarikan adalah 20 minit. Dibandingkan dengan pengalaman saya kunjungi Taman Tema Legoland dahulu, saya perlu beratur kira-kira 30 minit hanya untuk satu permainan, memang penat dan membuang masa.
Tapi, lawatan saya di Genting SkyWorlds ini adalah pada hari bekerja, pengunjung yang menggunakan sistem Virtual Queue (VQ) tidak ramai. Mungkin jumlah pengunjung meningkat pada hujung minggu, maka saya nasihatkan anda untuk lakukan tempahan slot secepat mungkin bagi mengelakkan ianya penuh. Ini juga langkah untuk mengelakkan anda daripada terpaksa beratur panjang di laluan biasa untuk tunggu giliran.