Google telah kongsikan 10 carian paling popular di Malaysia untuk bulan Jun 2022. Dapat dilihat, topik berkaitan sukan masih lagi menjadi carian hangat. Bahkan, sukan kriket yang melibatkan pasukan Bangladesh dan West Indies berada di kedudukan pertama. Nampaknya, sukan ini sangat digemari individu di Malaysia walaupun perlawanannya tidak melibatkan pasukan tanah air. Selebihnya, dapat disaksikan carian mengenai sukan bola sepak dan badminton berada dalam senarai ini.
Selain itu, ada satu sahaja carian dalam senarai yang boleh dikaitkan dengan teknologi, iaitu mengenai permainan yang baru dilancarkan bertajuk The Quarry. Ia mendapat sambutan mungkin kerana ramai peminat yang gemarkan permainan bergenre seram. Baki carian popular yang lain adalah mengenai drama dan isu semasa.
1. Bangladesh vs West Indies
West Indies menang menentang Bangladesh dengan 10 wiket semasa jelajah Bangladesh di West Indies. Dalam perlawanan kriket ini, Kyle Mayers dari pasukan West Indies bukan sahaja digelar pemain terbaik perlawanan, tetapi juga pemain terbaik untuk siri itu. Mungkin carian ini dilakukan oleh peminat kriket kerana mereka ingin tahu tentang skor kemenangan dan juga mengenai pemain terbaik.
2. Malaysia vs Bangladesh / Malaysia vs Turkmenistan* / Malaysia vs Bahrain**
Bulan lepas, pasukan bola sepak Malaysia berdepan dengan Bangladesh untuk perlawanan Kelayakan AFC. Dalam perlawanan itu, pasukan Negara telah menang dengan keputusan 4-1. Ini melayakkan mereka menyertai pertandingan Piala AFC 2023. Tentunya keputusan ini membanggakan penyokong pasukan Malaysia, selepas kali terakhir menyertainya pada 15 tahun lepas.
3. BWF Indonesia Open 2022
BWF Indonesia Open 2022 ialah kejohanan badminton yang berlangsung di Istora Gelora Bung Karno di Jakarta, Indonesia dari 14 hingga 19 Jun 2022. Lee Zii Jia telah mewakili Malaysia ke separuh akhir perseorangan lelaki tetapi tewas kepada Viktor Axelsen dari Denmark dalam perlawanan 3 set.
4. Happy Fathers Day Wishes
Hari bapa tahun ini disambut pada 19 Jun 2022. Untuk menunjukkan penghargaan dan sebagai tanda ingatan kepada bapa masing-masing, tentunya ramai yang lakukan carian ini untuk berikan ucapan kepada bapa mereka.
5. Spain vs Portugal
Perlawanan bola sepak UEFA Nations League yang menyaksikan Sepanyol menentang Portugal pada 2 Jun berakhir dengan keputusan seri. Gol masing-masing dijaringkan oleh Ricardo Horta dari Portugal dan Álvaro Morata dari Sepanyol.
6. Link: Eat Love Kill
Disney+ bawakan drama bergenre misteri dan fantasi bertajuk, Link: Eat Love Kill. Carian ini pastinya dilakukan oleh peminat drama Korea. Ini merupakan kisah pasangan kembar yang dapat merasai perasaan masing-masing walaupun mereka berjauhan. Mereka menggelar fenomena ini sebagai ‘link’.
7. Bon Odori
Festival tahunan Bon Odori ialah perayaan Buddha di Jepun yang diadakan bagi menghormati semangat nenek moyang mereka. Ia akan diadakan di Shah Alam pada 16 Julai, tapi perkara tersebut mendapat perhatian media berikutan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad menasihatkan orang Islam untuk tidak hadir memeriahkan festival tersebut. Bagaimanapun, festival kebudayaan Jepun yang diadakan setiap tahun di Malaysia sejak 1977 akan terus diadakan berikutan titah Sultan Selangor.
8. The Quarry
Pembangun permainan Supermassive Games telah lancarkan satu lagi permainan seram yang bertajuk ‘The Quarry’. Dalam permainan ini, pemain perlu menjadi kaunselor di kem musim panas dan harus membuat pilihan untuk melindungi kaunselor tersebut daripada raksasa ghaib. Permain juga perlu menentukan siapa yang terselamat dan siapa yang menjadi mangsa Hackett’s Quarry.
9. Novel My Rude Wife
Jika anda selalu tonton drama di TV3 bertajuk Melur untuk Firdaus, sebenarnya drama itu diadaptasi dari novel My Rude Wife. Tentu ramai peminat mahu dapatkan novel ini kerana ingin tahu tentang jalan cerita asal drama itu.
10. KWSP 2.0
Berikutan harga kawalan siling ayam, telur ayam dan subsidi minyak masak tulen di dalam botol tidak diteruskan, jadi ada yang berharap untuk mengeluarkan wang simpanan KWSP kali kedua, untuk kegunaan mereka bagi meneruskan kelangsungan hidup. Pada awal tahun ini, ahli KWSP telah dibenarkan untuk lakukan pengeluaran wang simpanan RM10 ribu.