Penghujung June 2022, kami ada laporkan tentang pelancaran satelit MEASAT-3d. Ia sepatutnya sudahpun tiba ke slot 91.5°E orbit dan berada dalam fasa ujian selama sebulan sebelum aplikasi komersialnya dimulakan.
Satelit ini dikatakan bakal menambah baik kualiti cakupan Internet untuk negara Malaysia dek kemampuan menyediakan sambungan jalur lebar sepantas sehingga 100Mbps dan disebabkan ia berada di awan, servisnya mampu meliputi keseluruhan tanah negara Malaysia.
Namun, mampu tidak bermakna akan. Cabaran seterusnya masih terletak di atas tanah.
ConnectMe, servis Internet menggunakan piring satelit
MEASAT dalam tahun 2018 melancarkan perkhidmatan ConnectMe. Ia mempunyai objektif untuk menyediakan capaian Internet kepada kawasan pedalaman yang tiada mampu dicapai kabel fiber ataupun tiang pemancar 4G.
Pelan Internet yang ditawarkan adalah bermula RM98/bulan dalam bentuk pascabayar tapi cabaran terbesar adalah kos permulaan untuk kelengkapan. Bagi mengurangkan kos permulaan itu, ConnectMe memperkenalkan pula model prabayar yang menyebabkan pelanggan tak perlu keluarkan belanja besar untuk mula berhubung.
Buat masa ini, ConnectMe sudahpun dipasang di 3,073 tapak di seluruh Malaysia dan ia meliputi kira-kira 300,000 pengguna di pedalaman Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur.
Capaian Internet di pedalaman sukar dicapai
Komuniti yang berada di pedalaman biasanya terletak di kawasan yang tidak mempunyai infrastruktur jalan raya yang baik, malah ada yang hanya boleh diakses melalui jalan air.
Makanya, masa yang lebih panjang diperlukan untuk menghantar kelengkapan yang secukupnya sebelum sesuatu kerja-kerja penyediaan perkhidmatan dimulakan. Contoh kawasan yang mencabar adalah Kampung Saliliran, Kampung Magandai, dan Kampung Tulang-Tulang di Sabah.
Bukan setakat infrastruktur jalan raya, ada kawasan yang tidak ada elektrik sekalipun. Solusi seperti panel solar digunakan dalam kes ini bagi membekalkan tenaga kepada segala kelengkapan elektronik ini. Makanya, pemasangan menjadi semakin kompleks seiring dengan cabarang yang datang.
Kampung Pangaraan di Sabah misalnya, terputus daripada sambungan apabila tiga jambatan yang satu-satunya laluan masuk keluar utama runtuh awal tahun ini. Mengeruhkan keadaan, 3 penduduknya memerlukan bantuan perubatan. Selepas utusan bantuan diutuskan di Facebook, pihak berkuasa telah menghantar bantuan menggunakan laluan udara.
Anekdot itu menunjukkan betapa pentingnya capaian Intenret buat setiap daripada kita.
Beza Internet satelit dengan 4G/Fiber
Pengalaman menggunakan Internet berasaskan satelit adalah berbeza dengan capaian 4G yang baisa kita gunakan. Servis disediakan oleh sebuah satelit yang terapung lebih 35,000 km dari paras laut. Jadi, sela masa data yang bergerak dari pelayan kepada anda kadang kala boleh mencapai 500ms dan perambatan data melalui udara merentasi lapisan atmosfera terkesan dengan keadaan cuaca.
Dalam keadaan ideal, ia cukup bagus digunakan sewaktu berhubung, penstirman video, dan melayari kandungan Internet.
Dengan MEASAT-3d, servis jalur lebar yang mampu disediakan dijangka bakal menghubungkan 2 juta populasi yang masih tiada capaian Internet. Satelit ini berada dalam kategori High-Throughput Satellite (HTS) kerana ada jalur perpindahan data selebar 30Gbps ataupun 10 kali ganda lebih luas berbanding satelit sebelum ini.
Apabila ada satelit jenis baharu, kelengkapan di darat juga perlu diperbaharukan untuk menerima isyarat Ku-band dan Ka-band. Menurut sasaran program JENDELA, mereka mensasarkan untuk meliputkan 96.9% penduduk Malaysia dengan servis 4G manakala baki 3-5% menggunakan satelit.
Tapak piring satelit ConnectMe buat masa ini dibiayai pihak swasta
Sewaktu pelancaran MEASAT-3d, kami diberitahu oleh Setiausaha Agung Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datu’ Sri Haji Mohammad Mantek bahawa buat masa ini, tiada dana Universal Service Provision (USP) untuk menyokong inisiatif pemasangan piring satelit di pedalaman.
Hal itu kerana, USP masa ini hanya merangkumi projek infrastruktur telco sahaja. Mungkin beliau merujuk kepada infrastruktur untuk 4G dan yang seangkatan dengannya.
Menteri Komunikasi dan Multimedia pula mengwar-warkan yang Malaysia akan ada capain Intenret ke 100% kawasan berpopulasi menjelang 2025.
Jadi, sekiranya kerajaan ingin memenuhi ikrar tersebut, kami sarankan yang USP perlulah diperluas supaya boleh dimanfaatkan oleh ConnectMe. Internet menggunakan piring satelit adalah solusi yang sangat berkesan sementara menanti infrastruktur darat tiba.
Adakah kos langganan ConnectMe akan jadi mampu milik?
Menyentuh subjek mampu milik untuk jalur lebar satelit, MEASAT mengatakan yang mereka memang sedaya upaya untuk menyediakan perkhidmatan pada harga serendah mungkin supaya lebih ramai boleh berhubung.
Langkah pertama mereka adalah untuk memindahkan pelanggan sedia ada yang menikmati 30Mbps kepada 100Mbps secara berfasa tanpa sebarang peningkatan kos langganan.
Selain servis jalur lebar satelit berasaskan Wi-Fi, mereka turut mempertimbangkan satelit sebagai backhaul kepada pemancar 4G di kawasan pedalaman ataupun yang mereka gelarkannya sebagai jalur lebar hibrid.
Sumber: SoyaCincau