Saya sudah guna pelbagai jenama robot vakum di rumah. Bagi saya, robot ini sangat membantu untuk bersihkan lantai rumah tanpa ganggu aktiviti harian saya. Maksudnya, saya boleh keluar luangkan masa dengan keluarga, tapi rumah tetap bersih sebab ada robot vakum bantu saya.
Ada banyak ciri menarik pada robot vakum, antaranya ada yang boleh elak halangan dan ada juga yang boleh bezakan permukaan karpet dan lantai licin. Dipasaran sekarang, ada pelbagai jenama robot vakum boleh anda jumpa, tapi jika anda sedang cari robot vakum yang berpatutan dan sesuai untuk rumah anda, anda perlu periksa cirinya betul-betul sebab tak semua robot vakum ada ciri yang sama. Oleh itu, berikut merupakan 10 perkara yang perlu diperiksa pada robot vakum, sebelum anda membelinya.
1. Ada pengesan halangan
Tak nak perabot dilanggar dan tak mahu wayar dalam rumah ditarik? Maka, anda perlu pastikan model robot vakum yang anda pilih mempunyai pengesan halangan yang baik. Hal ini supaya ia boleh kesan perabot atau objek di atas lantai rumah anda, lalu mengelaknya. Semua robot vakum ada sensor, cuma anda perlu tahu sejauh mana ia berfungsi. Salah satu robot vakum yang mampu elak halangan dengan baik yang saya pernah cuba ialah Dreame Bot W10 Pro.
2. Ada pengesan kawasan curam
Ada robot vakum yang dilengkapi dengan pengesan kawasan curam (Cliff detection) untuk mengelakkannya daripada jatuh dari tangga dan permukaan lain yang tidak rata di dalam rumah. Pengesan ini akan beri amaran pada robot untuk tukar arah apabila ia mengesan kawasan tersebut bagi mengelaknya dari jatuh dan pecah. Jika rumah anda ada tangga, maka anda perlu dapatkan robot dengan ciri ini. Salah satu robot yang boleh dipertimbangkan ialah iRobot Roomba 692.
3. Boleh dikawal dengan aplikasi
Kebanyakan robot vakum mempunyai aplikasi di telefon pintar yang boleh digunakan untuk mengawalnya. Contohnya kawal untuk pulang ke dok pengecas dan arahkan robot ke tempat tertentu untuk membersih. Selain memantau dan mengubah hala, kebanyakan aplikasi juga membolehkan anda tetapkan jadual pembersihan, sekaligus membenarkan anda lihat laluan yang telah dibersihkan melaluinya. Dengan kemampuan ini, bolehlah anda arahlan robot dengan senang tanpa perlu dekatinya.
4. Mampu peta kawasan rumah
Ini adalah keupayaan yang perlu anda perhatikan semasa memilih robot vakum. Kita boleh lihat sejauh mana kecekapan robot semasa dia memetakan rumah. Dia akan kenal pasti sendiri di mana ruang tamu, bilik, dapur dan lokasi yang terdapat halangan. Kalau peta rumah pun tak berjaya dihasilkan, macam mana nak yakin robot boleh bersihkan semua kawasan dengan baik?
5. Terdapat fungsi mop
Sesetengah robot vakum turut direka dengan fungsi mop. Ada yang boleh mop sahaja ketika bekerja dan ada juga yang boleh mop serta vakum SERENTAK dalam masa yang sama. Ciri ini mungkin tidak penting untuk semua orang, tapi sebaiknya dapatkanlah robot vakum dengan fungsi mop supaya lantai rumah anda dapat dibersihkan dengan lebih mendalam. Salah satu vakum dengan fungsi mop dan harga mampu milik ialah Mi Robot Vacuum – Mop 2. Harga asalnya ialah RM1,099.
6. Tahap bunyi
Jangan beli robot vakum sebelum anda tahu betapa kuat bunyinya semasa ia bekerja. Jika anda beli dari kedai fizikal, pastikan anda uji tahap hingar pada tetapan kuasa tertinggi. Jika anda beli di dalam talian, baca ulasan produk dari pembeli lain untuk tahu pengalaman mereka. Jadi, pastikan anda dapat model yang betul supaya ia tidak ganggu ketenteraman rumah anda. Berdasarkan pengalaman saya, Deebot T9 ialah vakum robot yang sangat senyap ketika bekerja.
7. Kemampuan kosongkan bekas sampah sendiri
Satu lagi perkara penting yang perlu dipertimbangkan adalah kemampuan untuk kosongkan bekas sampah sendiri. Contoh robot yang ada ciri ini ialah Ecovacs Deebot Ozmo T8. Dia ada stesen untuk kosongkan bekas sampah dengan automatik. Jadi, anda tak perlu bersihkan bekas sampah setiap kali robot lakukan pembersihan. Anda dapat rehat, masa juga jimat.
8. Kapasiti bateri
Kapasiti bateri kebiasaanya tidak menjadi masalah besar, sebab kebanyakan robot vakum mampu membersihkan selama lebih daripada sejam sebelum perlu dicas semula. Tapi jika anda tinggal di rumah besar, maka anda perlu dapatkan robot vakum yang ada masa bekerja lama. Dengan cara ini, anda tidak perlulah bawa robot ke dok pengecas dek kerana dia kehabisan bateri ketika membersihkan lantai rumah. Salah satu vakum yang ada bateri besar ialah Dreame W10 Pro, dengan kapasiti 6400mAH.
9. Kawasan untuk letak dok pengecas
Anda perlu tahu, dok pengecas pada robot vakum perlu ada tempat khas di rumah. Tempat yang sesuai untuk letakkan dok pengecas adalah pada dinding rata dengan ruang kosong dikelilingnya. Dengan cara ini, vakum robot anda boleh navigasi dengan baik untuk kembali ke stesen pengecasannya selepas dibersihkan. Perkara ini penting sebab, kalau robot tidak menjumpai rumahnya maka ia tidak boleh dicaj dan susah untuk anda gunakannya semula. Jadi, anda perlu pertimbangkan perkara ini sebelum dapatkan robot vakum.
10. Kerap diselenggara
Robot vakum yang tersumbat dengan sampah tidak boleh berfungsi dengan baik untuk membersih. Jadi, anda perlu tahu, robot vakum perlu diselenggara dengan kerap. Macam saya sendiri, saya akan selenggara robot selepas 2 kali pembersihan dilakukan. Contohnya dengan membersihkan berus dan penapisnya. Tapi, bersihkan robot vakum tidaklah rumit. Ia hanya mengambil masa beberapa minit sahaja.
Kalau anda bersedia untuk lakukan 10 perkara ini, maka anda sudah boleh dapatkan robot vakum sekarang. Sekiranya anda belum tahu model apa yang ingin didapatkan, anda boleh tonton video 5 robot vakum terbaik di bawah. Setiap robot vakum yang saya senaraikan ada kelebihan sendiri. Anda boleh pilih ikut bajet dan juga ciri penting yang anda mahukan.