Artikel ini dibawakan kepada anda oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia
Bajet 2023 yang bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur bersama telah dibentangkan pada 7 Oktober yang lalu. Bajet 2023 ini memfokuskan kepada agenda 3R – Responsif, Bertanggungjawab, dan Reformis. Daripada RM372.3b yang diperuntukkan, RM15.1b telah disediakan kepada pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk mengurus dan membangunkan sektor pengajian tinggi negara Malaysia.
Sekiranya anda seorang mahasiswa, di sinilah banyak faedah yang boleh anda perolehi sekiranya anda ambil cakna dengan apa yang kerajaan sediakan kepada golongan ini. Artikel ini ada merumuskannya untuk kemudahan anda.
Peruntukan naik 4.2% berbanding 2022
Seperti yang dimaklumkan tadi, kerajaan Malaysia menyediakan sebanyak RM15.1b untuk dibelanjakan. Daripada jumlah tersebut, RM11.7b bertujuan untuk belanja mengurus dan RM3.4b untuk pembangunan.
Dalam tahun 2023, KPT menerima 4.2% lebih tinggi peruntukan berbanding tahun 2022.
Program e-Pemula kini diperluas penerima dan dinaikkan amaunnya
Inisiatif e-Pemula yang diperkenalkan dalam Bajet 2022 terus ditambah baik. Untuk edisi 2023, amaunnya telah dinaikkan daripada RM150 kepada RM200.
Tak terhenti di situ, golongan penerima juga telah diperluas. Edisi kali ini, selain belia 18-20 tahun, pelajar sepenuh masa lebih 21 tahun juga layak menerima kredit e-wallet ini.
Pelbagai insentif PTPTN serta tawaran biasiswa untuk anak-anak Bumiputera
Kerajaan senantiasa memberi penghargaan kepada mahasiswa yang cemerlang dalam pelajaran. Sebanyak RM6.6b disediakan untuk diedarkan dalam bentuk biasiswa menerusi MARA, Yayasan Peneraju, dan UiTM.
Sekiranya anda penerima ijazah sarjana muda kelas pertama, jangan lepaskan peluang untuk memohon pengecualian bayaran balik pinjaman PTPTN.
Andainya anda tidak berpeluang menerima manfaat itu, ada juga diskaun bayaran balik yang anda tak mungkin ingin lepaskan. Bukan sahaja ia meringankan beban anda, malahan ia memberi peluang kepada generasi-generasi seterusnya menerima kemudahan pinjaman.
Antara 1 November 2022 hingga 30 April 2023, berikut adalah senarai diskaun yang disediakan PTPTN:
- Diskaun 20% ke atas baki hutang untuk penyelesaian penuh
- Diskaun 15% untuk pembayaran sekurang-kurangnya 50% daripada baki hutang dalam sekali bayaran
- Diskaun 15% untuk bayaran balik melalui potongan gaji ataupun debit mengikut jadual
Buat yang sedang belajar, kadar pinjaman PTPTN kini telah dinaikkan malahan golongan M40 juga ada kemudahan pinjaman sekiranya anda ingin membeli kelengkapan komputer untuk tujuan pembelajaran.
Satu lagi berita baik adalah, pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM8 ribu untuk simpanan SSPN dilanjutkan sehingga 2024.
Dana untuk Sektor Latihan Teknikal & Vokasional (TVET)
Buat mahasiswa yang lebih gemar untuk mengasah ilmu dalam bidang teknikal ataupun vokasional, golongan ini juga menerima perhatian sewajarnya daripada kerajaan.
Sebanyak RM6.7b telah disediakan untuk melaksanakan pelbagai inisiatif dan memperkasa TVET. Kerajaan mensasarkan sekurang-kurangnya 55% lepasan SPM melanjutkan pengajian dalam bidang TVET menjelang 2025.
Untuk anda yang ingin menambah kemahiran, RM180 juta disediakan untuk mengikuti Program Persijilan Kemahiran Malaysia. Inisiatif ini telahpun berjalan sejak beberapa ketika dan anda boleh memohonnya di sini.
Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) bakal memanfaatkan 3,000 pelatih
SLDN merujuk kepada metodologi pembelajaran pelatih yang terbahagi kepada dua iaitu di tempat kerja yang sebenar (syarikat) untuk latihan amali dan satu lagi di pusat latihan untuk pembelajaran teori.
Objektif utama SLDN adalah untuk melahirkan pekerja berpengetahuan (K-Workers) iaitu pekerja yang memiliki tiga elemen kompentensi iaitu:
- Teknikal
- Sosial & Kemanusiaan
- Metodologi & Pembelajaran
Bagi menjayakan SLDN, kerajaan memeruntukkan RM20 juta yang bakal memanfaatkan 3,000 pelatih. Anda boleh layari laman rasmi inisiatif untuk maklumat lanjut.
Naik Taraf Universiti Awam & Inisiatif Kampus Hijau
Persekitaran pembelajaran kondusif tentu sekali menjadi satu keperluan penting dalam menuntut ilmu. Bagi menjadikan kemudah-kemudahan di universiti awam berfungsi sepatutnya, sebanyak RM300 juta telah diperuntukkan untuk menyelenggara dan menaik taraf kemudahan-kemudahan yang perlu.
Selain itu, sebanyak RM10 juta telah diperuntukkan untuk menjayakan inisiatif kampus hijau. Kampus hijau membawa maksud universiti yang sentiasa aktif menyumbang kepada pembangunan masyarakat lestari. Pembangunan masyarakat lestari meliputi pendidikan, penyelidikan, dan kolaborasi setempat serta pembangunan fizikal kampus.
Misalnya, UiTM mereka telah mengadakan kerjasama dengan negara Azerbaijan di kampus utama mereka di UiTM melalui menanaman pokok-pokok bernilai tinggi sebagai pencetus gerakan ke aras status Kampus Hijau menjelang 2025.
Pelbagai dana untuk memupuk inovasi disediakan
Bagi merancakkan landskap pembangunan & penyelidikan (R&D), kerajaan Malaysia telah memperuntukkan berjuta-juta ringgit untuk tujuan tersebut. Kementerian Pengajian & Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi telah diberikan akses kepada dana bernilai RM364j.
Dana-dana ini tentunya akan disalurkan ke Yayasan Inovasi Malaysia. Misalnya, Dana Malaysia Social Innovation (MySI) ditawarkan sejak tahun 2015 lagi bagi mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan pendapatan menerusi aplikasi teknologi tempatan.
Sekiranya inovasi yang anda sedang bangunkan itu ada kaitan dengan pendigitalan, kerajaan juga ada tawarkan Dana Inovasi Digital bernilai RM30 juta.
Jualan Murah Keluarga Malaysia
Tidak semua penuntut di IPT datangnya daripada keluarga berkemampuan. Bagi memastikan kelangsungan hidup golongan yang menghadapi kesukaran, kerajaan telah memperluas Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (PJMKM).
Bermula Oktober 2022, PJMKM diperluas ke IPT, selari dengan kemasukan mahasiswa baharu bagi sidang yang akan datang. Perkara tersebut telah diumumkan Perdana Menteri pada Majlis Kemuncak Semarak Patriotik IPT 2022 baru-baru ini.
Bagi menjayakan program tersebut, sebanyak RM100 juta telah diperuntukkan.