Meta telah mengumumkan iterasi terbaharu mereka dalam produk gogel realiti maya (VR) . Produk yang dilancarkan mereka adalah Meta Quest Pro. Ia bukanlah pengganti kepada Meta Quest 2 yang mereka lancarkan dalam tahun 2020 lalu, bahkan Meta telah menambah baik Meta Quest 2 pada segi storan dalaman untuk jadikannya gogel VR lebih mampu milik.
Berbalik kepada Meta Quest Pro, ia kini adalah gogel VR paling canggih dan premium dalam penawaran Meta. Ia dilengkapi segala-gala yang premium ada dalam pasaran ketika ini. Ia boleh ditempah pada harga USD1,499 (RM7,019) dan akan mula diedarkan seawal 2023.
Bermula di bahagian teras, Meta Quest Pro diperkasa SoC Snapdragon yang baharu. Snapdragon XR2+ Gen 1 mendukung segala-gala tugas mencantumkan realiti sebenar dan maya pada gogel ini. Menurut Qualcomm, cip ini mampu memproses imej dan paparkannya pada pemakai dalam latensi kurang daripada 10ms bagi memastikan pemakai tidak terasa terpisah daripada input dengan gerak balas.
Bercakap tentang imej, Meta memaklumkan yang bahagian skrinnya telah direka semula untuk jadi lebih nipis berbanding sebelumnya, sebanyak 40% hasil penggunaan lensa pancake. Lens aitu juga memfokuskan cahaya dengan lebih baik, ia memberikan 37% lebih piksel bagi setiap inci kepada si pemakai. Seterusnya, tahap kontras kini lebih tinggi kerana panel paparan yang mereka gunakan ada tahap kontras 75% lebih baik.
Bergerak sedikit keluar, kerangka yang menjadi badan gogel Metal Quest Pro juga mempunyai rekaan berbahasa mahal. Ia nampak seperti tegap, tidak berselirat dengan kabel dan tak nampak seperti gogel VR murah. Bateri berbentuk melengkung disematkan di bahagian belakang gogel, katanya untuk berikan keseimbangan sewaktu memakai.
Tentang bateri, hayat baterinya agak pendek. Tiada dalam helaian spesifikasi rasmi, tapi saya beroleh manfaat daripada orang-orang yang menghandiri majlisl pelancarannya. Gajet ini ada hayat bateri 1 hingga 2 jam sahaja. Malangnya ia tiada sistem pengecasan pantas dan tempoh untuk mengisinya adalah hampir sama dengan hayat guna.
Pad kawalan tangan juga telah direka baharu. Ia kini tidak mencerap kedudukan secara relatif kepada gogel sebaliknya sensornya mencerap secara kendiri. Di bahagian buntut ada port untuk anda letakkan tip stailus, kalau-kalau anda ingin gunakannya untuk menulis di atas permukaan.
Menurut Qualcomm, kedua-dua pad kawalan ini dikuasakan Snapdragon 662.
Buat pembangun perisian yang ingin memanfaat Quest Pro sepenuhnya, ada SDK disediakan untuk mereka membangunkan solusi berteraskan gogel VR ini.
Untuk pengguna kebanyakan merasai manfaatnya di dalam pasaran Malaysia, saya rasakan jauh lagi perjalananya. Untuk lihat gajet-gajet VR sebelum generasi terdahulu dalam ruang tamu pun agak susah, apatah lagi gajet yang berharga USD1,499 ini. Boleh saya simpulkan yang ia masih lagi berada dalam lingkaran ultranic.
Anda boleh layari laman rasmi produk untuk maklumat lanjut.