Setahun telah berlalu, Apple kini mengumumkan kedatangan generasi baru tablet terkenal mereka, iPad generasi ke-10. Terdapat banyak naik taraf besar padanya, tetapi ia masih kekal menggunakan cip Bionic, bukan cip ‘M’.
Boleh dikatakan, ini adalah perubahan terbesar di iPad sejak ia dilancarkan pada tahun 2010. Tiada lagi kelihatan bingkai yang tebal di tepi skrin dan tiada lagi butang Touch ID di hadapan.
Spesifikasi iPad gen-10
Perkara baru pertama di iPad ini adalah penggunaan cip A14 Bionic. Walaupun ia bukanlah yang terkini iaitu A16 Bionic di iPhone 14 Pro, cip A14 Bionic memberikan sambungan 5G kepada model selular iPad dan menjadi yang pertama menyokong 5G. Pilihan storan tidak berubah iaitu dua sahaja, antara 64GB dan 256GB.
Pembaharuan seterusnya kelihatan jelas di hadapan, skrin Liquid Retina Display seluas 10.9-inci dalam saiz badan yang serupa dengan generasi sebelumnya. Ini kerana Apple tidak menggunakan bingkai yang besar di sisi, memberi lebih ruang untuk paparan.
Di samping itu, tiada lagi butang Touch ID di bawah skrin. Sebaliknya ia digabungkan dengan butang kuasa seperti apa yang terdapat di telefon Android kelas pertengahan.
Apple juga mengubah kedudukan kamera hadapan ke bahagian bingkai yang panjang, pertama seumpamanya di iPad. Ini meletakkan kamera hadapan berada di tengah, apabila iPad digunakan secara melintang, cara normal untuk persidangan video seperti FaceTime, Zoom, Google Meet atau Skype.
Perubahan ketara selepas itu adalah tiada lagi sambungan Lightning. Ia kini digantikan kepada USB-C seperti di iPad Air dan iPad Pro. Dengan ini, pengguna iPad gen-10 boleh menyambungkan pelbagai aksesori USB-C yang banyak digunakan pada laptop Windows dan telefon atau tablet Android.
Sokongan Apple Pencil masih kekal dengan generasi-1 sahaja. Tidak boleh menggunakan Pencil gen-2. Disebabkan Pencil gen-1 bersambung dan mengecas melalui port Lightning, Apple kini memberikan adaptor USB-C ke Lightning dalam pek Pencil gen-1 yang baru. Bagi pengguna yang telah memiliki Pencil Gen-1, adaptor ini ada dijual berasingan.
Bahagian pengimejan turut dinaik taraf. Kamera belakang kini dipertingkat ke sensor 12MP F1.8 dengan keupayaan rakaman video 4K. Kamera hadapan masih sama, 12MP F2.4 tetapi kedudukan kini ditukar ke tengah melintang.
Sistem bunyi juga tidak ketinggalan. iPad gen-10 hadir dengan speaker stereo sebenar yang menembak di bahagian kiri dan kanan.
Aksesori baru turut disediakan. Ia tidaklah secanggih Smart Keyboard seperti iPad Pro, tetapi Smart Keyboard Folio untuk iPad gen-10 datang bersama Trackpad.
Pengguna kini disajikan dengan empat pilihan warna baru yang lebih bertenaga untuk iPad gen-10. Warna tersebut adalah perak, merah, biru dan kuning. Masih tiada pilihan warna emas.
Harga iPad dan aksesori
Dengan banyaknya naik taraf diberikan untuk iPad gen-10, harga rasminya turut naik mendadak. Jika iPad gen-9 dahulu dijual dari RM1,499, bagi gen-10 ia bermula dari RM2,099. Perkara ini sebenarnya telah dijangka, memandangkan Apple telah menaikkan harga untuk siri iPhone 14 di Malaysia sebelum ini.
Harga rasmi iPad gen-10 dan aksesori di Malaysia adalah seperti berikut:
Wi-Fi
64GB RM 2,099
256GB RM 2,849Wi-Fi + Cellular
64GB RM 2,849
256GB RM 3,599Pencil Gen-1 – RM479
Magic Keyboard Folio – RM1,249
Bagaimanapun, tarikh iPad gen-10 mula dijual di Malaysia masih belum diumumkan. Nantikan makluman kami apabila ia tersedia kelak. Untuk mengenali dengan lebih lanjut, layari laman produk iPad gen-10.