Garmin Malaysia telah mengumumkan ketibaan varian baharu untuk jam tangan penjejak kecergasan untuk kanak-kanak, Vivofit Jr. 3. Kali ini mereka membawa masuk yang bertemakan Black Panther.

Ada banyak fungsi menarik yang terbina di dalam jam tangan ini dengan objektif utamanya adalah untuk memastikan anak-anak anda kekal aktif. Kaedah yang digunakan adalah menjadikan gaya hidup sihat seperti sebuah permainan iaitu membiarkan si pemakainya memainkan peranan seperti seorang hero dalam mencapai sasaran aktiviti.

Misalnya, melalaui APP Garmin Jr. kanak-kanak boleh mengembara dalam dunia maya setiap hari dengan melakukan aktiviti selama 60 minit bila ingin memenuhi misi-misi tertentu. Sewaktu melakukan aktiviti, mereka menerima skor dan lencana untuk menandakan mereka sudah berjaya.
Ibu bapa tak perlu risau daripada segi memastikan jam tangan sentiasa ada kuasa bateri kerana dengan satu bateri penuh, ia boleh berkhidmat selama sehingga 1 tahun dan bila tiba masanya, bateri boleh ditukar dengan mudah. Dengan hayat bateri sepanjang ini, saya rasakan cuma sensor akselerometer sahaja yang hadir untuk merekodkan langkahan.



Vivofit Jr. 3 juga kalis air dan katanya boleh dibawa berenang tanpa masalah. Sekiranya mana-mana ibu bapa yang berminat untuk mendapatkannya, harganya adalah RM440 seunit. Anda boleh dapatkannya di Garmin Brand Stores, Shopee, Lazada, dan AECO e-store.

Selain tema Black Panther, ada juga tema-tema lain yang sedang dijual dalam pasaran. Ia telahpun dilancarkan terlebih dahulu. Kalau anda pergi ke laman rasmi mereka, anda boleh dapatkan Vivofit Jr. 3 yang bertemakan Iron Man, Princess Icon, Princess Ariel, Star Wars Mandalorian dan Star Wars Grogu.