Siapa yang dah lama tunggu kedatangan ROG Phone 6D ke Malaysia? Impian anda akan termakbul tidak lama lagi kerana Asus Malaysia telah mengesahkan tarikh pelancaran telefon gaming terbaru mereka ini. Di samping itu, satu lagi model khas berdasarkan adiwira kegelapan, Batman turut akan dilancarkan bersama-sama ROG Phone 6D.
Pelancaran siri ROG Phone 6D dan ROG Phone 6 Batman Edition akan diadakan di Malaysia pada 8 Oktober 2022. Acara ini pasti akan mengumumkan harga serta tarikh jualannya untuk pasaran tempatan.
Untuk rujukan, ROG Phone 6 dijual di Malaysia bermula RM3,599 manakala ROG Phone 6 Pro berharga RM4,999. ROG Phone 6D dijangka lebih murah, di bawah RM3,599 manakala versi Ultimate, mungkin melebihi RM5,000 kelak.
Spesifikasi siri ROG Phone 6D
Sebenarnya model ‘D’ ini memiliki fizikal yang serupa dengan siri ROG Phone 6 sedia ada. Perbezaannya adalah pada cip pemproses di mana 6D dikuasakan cip terhebat Mediatek iaitu Dimensity 9000+, berbanding Snapdragon 8+ Gen 1 di ROG Phone 6. Ia datang bersama RAM LPDDR5X dan storan pantas UFS 3.1.
Skrin AMOLED tanpa takuk dan lubang juga sama, seluas 6.78-inci HD Penuh dan kadar penyegaran sehingga 165Hz. Kaca Corning Gorilla Glass Victus menjadi lapisan di atas skrin manakala pengimbas capjari terdapat di dalam skrin.
Sistem bunyi ada sedikit perbezaan kecil. Ia masih dilengkapi speaker stereo yang menembak ke hadapan, tetapi jek audio 3.5mm padanya hanya mampu mengalirkan Audio Hi-Res sehingga 192kHz/24-bit, berbanding 384kHz/32-bit di ROG Phone 6.
Kamera juga sama, 12MP di hadapan dan terletak di bingkai di atas skrin. Di belakang pula gabungan kamera 50MP F1.9 dengan sensor Sony IMX766, kamera ulra lebar 13MP dan kamera makro 5MP.
Bateri mega besar 6,000mAh digunakan di dalam ROG Phone 6D dan ia menyokong pengecasan pantas 65W. Malah ada dua port USB-C untuk mengecas, di bawah telefon dan di sisi.
Paling utama, pastinya butang bahu AirTrigger 6 di sisi. Sensor ultrasonik ini bertindak sebagai butang tambahan yang boleh diubahsuai penggunaan dan cara. Antaranya menekan, menyapu, mengangkat, giroskop dan banyak lagi.
Keunikan badan belakang di ROG Phone 6 diwarisi kepada ROG Phone 6D, menampilkan teknologi Aura RGB lighting. Ia adalah dot LED yang membentuk logo ROG berkelip-kelip dalam warna-warni RGB.
Versi Ultimate pula memiliki paparan kedua ROG Vision Matrix di belakang, serupa dengan ROG Phone 6 Pro. Paparan ini boleh menunjukkan pelbagai perkara seperti notifikasi atau menjadi hiasan animasi.
Tetapi perbezaan paling ketara untuk ROG Phone 6D Ultimate adalah ruang pembukaan di belakang, yang digelar AeroActive Portal. Apabila dipasang aksesori AeroActive Cooler 6 yang datang bersamanya, AeroActive Portal akan terbuka dan memberi laluan terus kepada pengudaraan daripada kipas aksesori supaya perkakas di dalam menjadi lebih cepat sejuk.
Spesifikasi ROG Phone 6 Batman Edition
Edisi khas Batman ini datang dalam kedua-dua perisa, ROG Phone6 dengan kuasa Snapdragon 8+ Gen 1 dan ROG Phone 6D bersama Dimensity 9000+. Ia dihiasi dengan pelbagai rekaan bertemakan kelawar, antaranya di kotak telefon, logo Aura RGB di belakang serta aksesori khas iaitu pin dulang kelawar, sarung Batman, beg simpanan kalis air dan paling menarik, lampu pemancar kelawar mini.
Pengguna juga akan menerima pelbagai logo, ikon aplikasi, wallpaper dan gambar tema berkaitan kelawar dan Batman. Pengimbas capjari turut dihiasi logo kuning Batman, ditekan dan diimbas untuk membuka kunci skrin telefon.
Harga jualan Edisi Batman ini juga masih belum diketahui tetapi ia pastinya lebih mahal daripada edisi biasa, memandangkan begitu banyak aksesori khas dan unik datang bersama.
Yang mana menjadi pilihan anda? ROG Phone 6 berkuasa Snapdragon, ROG Phone 6D dengan Dimensity atau mahu miliki edisi Batman? Nantikan pengumuman rasmi Asus daripada kami kelak.