Asus Malaysia hari ini melancarkan secara rasmi, ahli terbaru peranti gaming mudahalih mereka, ROG Phone 6D dan ROG Phone 6D Ultimate. Ia diberi sedikit perubahan berbanding siri ROG Phone 6 tetapi diletakkan harga lebih murah.
Harga dan promosi
Orang ramai boleh mula membeli telefon pintar ROG Phone 6D dan ROG Phone 6D Ultimate di Malaysia mulai 9 September 2022. Ia terdapat di pengedar sah Asus ROG di Malaysia, serta di stor rasmi ASUS ROG di Lazada dan Shopee.
Harga jualan rasmi untuk model terbaru ini adalah seperti berikut:
- ROG Phone 6D (RAM 12GB + Storan 256GB) – RM3,499
- ROG Phone 6D Ultimate (RAM 16GB + Storan 512GB) – RM4,999
Bagi ROG Phone 6D, ia lebih murah RM100 berbanding ROG Phone 6 berkuasa Snapdragon 8+ Gen 1. Bagi 6D Ultimate, harganya serupa dengan ROG Phone 6 Pro, tetapi ia datang percuma dengan kipas AeroActive Cooler 6 (bernilai RM349).
Bagi meraikan kedatangannya, Asus Malaysia menawarkan diskaun RM300 untuk pembelian ROG Phone 6D antara 9 – 30 November 2022. Jadi harganya cuma RM3,199. Tetapi dengan unit terhad, selagi stok masih ada.
Spesifikasi ROG Phone 6D & ROG Phone 6D Ultimate
Sebenarnya model ‘D’ ini memiliki fizikal yang serupa dengan siri ROG Phone 6 sedia ada. Perbezaannya adalah pada cip pemproses di mana 6D dikuasakan cip terhebat Mediatek iaitu Dimensity 9000+, berbanding Snapdragon 8+ Gen 1 di ROG Phone 6. Ia datang bersama RAM LPDDR5X dan storan pantas UFS 3.1.
Skrin AMOLED tanpa takuk dan lubang juga sama, seluas 6.78-inci HD Penuh dan kadar penyegaran sehingga 165Hz. Kaca Corning Gorilla Glass Victus menjadi lapisan di atas skrin manakala pengimbas capjari terdapat di dalam skrin.
Sistem bunyi ada sedikit perbezaan kecil. Ia masih dilengkapi speaker stereo yang menembak ke hadapan, tetapi jek audio 3.5mm padanya hanya mampu mengalirkan Audio Hi-Res sehingga 192kHz/24-bit, berbanding 384kHz/32-bit di ROG Phone 6.
Kamera juga sama, 12MP di hadapan dan terletak di bingkai di atas skrin. Di belakang pula gabungan kamera 50MP F1.9 dengan sensor Sony IMX766, kamera ulra lebar 13MP dan kamera makro 5MP.
Bateri mega besar 6,000mAh digunakan di dalam ROG Phone 6D dan ia menyokong pengecasan pantas 65W. Malah ada dua port USB-C untuk mengecas, di bawah telefon dan di sisi.
Paling utama, pastinya butang bahu AirTrigger 6 di sisi. Sensor ultrasonik ini bertindak sebagai butang tambahan yang boleh diubahsuai penggunaan dan cara. Antaranya menekan, menyapu, mengangkat, giroskop dan banyak lagi.
Keunikan badan belakang di ROG Phone 6 diwarisi kepada ROG Phone 6D, menampilkan teknologi Aura RGB lighting. Ia adalah dot LED yang membentuk logo ROG berkelip-kelip dalam warna-warni RGB.
Versi Ultimate pula memiliki paparan kedua ROG Vision Matrix di belakang, serupa dengan ROG Phone 6 Pro. Paparan ini boleh menunjukkan pelbagai perkara seperti notifikasi atau menjadi hiasan animasi.
Tetapi perbezaan paling ketara untuk ROG Phone 6D Ultimate adalah ruang pembukaan di belakang, yang digelar AeroActive Portal. Apabila dipasang aksesori AeroActive Cooler 6 yang datang bersamanya, AeroActive Portal akan terbuka dan memberi laluan terus kepada pengudaraan daripada kipas aksesori supaya perkakas di dalam menjadi lebih cepat sejuk.