Restoran mamak di Malaysia sangat terkenal sebagai tempat melepak untuk menonton siaran langsung perlawanan bola sepak. Ditambah lagi dengan Piala Dunia Qatar 2022 yang bakal tiba, ia menjadi perkara penting untuk kedai makan menyediakan siaran langsung perlawanan yang dinantikan ramai.
Astro kini mengumumkan bahawa mereka melancarkan pakej BIZfibre baharu, perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi dengan penhala WiFi 6 pada kestabilan yang lebih baik kepada perniagaan. BIZfibre dikuasakan oleh Astro Fibre, menjadi pelengkap sempurna kepada Pek TV komersial Astro yang menawarkan sukan secara siaran langsung, rancangan TV, filem blokbuster dan berita terkini.
Pek TV Komersial + Pelan BIZFibre
Pemilik perniagaan terutamanya restoran, hospital, klinik, kelab kesihatan dan pusat servis kenderaan dapat menyiarkan kandungan TV Astro secara sah dengan melanggan kombo Pek TV Komersial + Pelan BIZFibre. Pek asas Elite menawarkan 49 saluran TV Astro di 3 skrin pada harga RM1,412/bulan. Gabungan saluran TV ini datang dengan 10 saluran asas, 17 klasik, 5 perdana dan 17 sukan. Peniaga boleh memilih antara 6 bulan BIZFibre 500Mbps percuma selama 6 bulan, atau 3 bulan BIZFibre 800Mbps percuma.
Jika mahu menyiarkan di lebih banyak skrin di premis perniagaan, ada pek VIP yang berharga RM2,212/bulan. Ia datang bersama 59 saluran (10 asas, 25 klasik, 7 perdana dan 17 sukan) yang boleh ditayangkan di 5 skrin. Pek VIP datang bersama sambungan internet 12 bulan BIZFibre 500Mbps percuma atau 6 bulan BIZFibre 800Mbps percuma.
Pelan tertinggi adalah pek VIP Plus yang menyediakan 69 saluran (10 asas, 32 klasik, 10 perdana dan 17 sukan) dan boleh disiarkan di 8 skrin. Pelanggan pek VIP Plus boleh memilih antara 24 bulan BIZFibre 500Mbps percuma atau 12 bulan BIZFibre 800Mbps percuma.
Ketiga-tiga pelan ini dapat bersama pas VIP Sports yang memberikan akses kepada kandungan sukan premium seperti Piala Dunia dan UEFA EURO.
Pelan jalur lebar Astro BizFibre tunggal
Pelanggan perniagaan yang tidak memerlukan pek TV komersial, boleh melanggan pelan jalur lebar BizFibre sahaja. Pelan 500Mbps berahrga RM239/bulan manakala pelan 800Mbps berharga RM299/bulan. Astro turut memberikan Mesh WiFi pertama secara percuma, tetapi jika perlukan lebih, pelanggan boleh menambah nod Mesh pada harga RM10/bulan. Seperti biasa, semua pelan jalur lebar fibre diikat dengan kontrak selama 24-bulan.
Semasa pelancaran, CEO Kumpulan Astro yang dilantik, Euan Smith berkata, “Memandangkan perniagaan kini menjadi lebih global dan berdaya saing, ia adalah penting bagi semua usahawan sehingga syarikat besar untuk mempunyai akses yang lebih baik kepada sambungan yang lebih pantas dan dipercayai. SME merupakan tulang belakang kepada ekonomi Malaysia yang menyumbang 97% daripada jumlah pertubuhan perniagaan. Kami berharap untuk bekerjasama dengan sektor SME menerusi tawaran sambungan dan penyelesaian hiburan dengan WiFi bertaraf dunia serta kandungan menarik yang sah. Melalui perkhidmatan ini, SME akan berasa tenang apabila mengetahui bahawa mereka melanggan pakej komersial TV yang sah dengan menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan mereka. Mendengar maklum balas daripada pelanggan dan prospek komersial kami, kami telah mereka rancangan BIZfibre kami untuk meningkatkan prestasi perniagaan melalui sambungan yang lebih pantas, lebih dipercayai dan stabil. Kami telah memilih rangkaian pakej nilai tambah yang memenuhi semua keperluan komersial tanpa mengira saiz atau industri. Pek TV BIZfibre dan komersial kami menawarkan proposisi nilai yang unik berdasarkan pelbagai kandungan dan perkhidmatan Astro yang hebat. Kami yakin BIZfibre akan menjadi sumbangan penting kepada peningkatan jalur lebar dan pangkalan pelanggan komersial kami.”
Ketua Bisnes Perusahaan dari Astro, Kevin Ng berkata, “AstroBIZ, sebuah cabang perusahaan Astro, berbesar hati untuk memperkenalkan pek fleksi komersil premium baharu yang digabungkan dengan BIZfibre pada harga pengenalan istimewa. Kami menggalakkan perusahaan komersial seperti kedai F&B dan hotel untuk hanya mengakses kandungan yang sah. Astro telah melabur banyak dalam sukan siaran langsung dan hiburan berkualiti tinggi untuk pelanggan kami selama ini kerana kami tahu mereka menghargainya. Kami mengambil serius tentang penstriman kandungan yang menyalahi undang-undang untuk memastikan kami berlaku adil terhadap pelanggan komersial kami yang sah. Di bawah Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022, sesiapa yang ditangkap menstrim kandungan yang tidak dibenarkan boleh didenda sehingga RM200,000, dipenjarakan sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali untuk cetak rompak.”