Pasti ramai yang nak uruskan wang simpanan dengan baik, tapi ia mencabar apabila ada jualan hebat diadakan di dalam talian. Pasti kita tertarik untuk keluarkan duit membelinya, lebih-lebih lagi apabila barang yang dijual itu sudah lama kita mahukan. Kesannya, wang simpanan habis digunakan. Namun paling membimbangkan ialah jika wang simpanan habis digunakan untuk belanja pada barang kehendak.
Oleh itu, apakah caranya untuk uruskan wang perbelanjaan dan simpanan dengan baik? Sebenarnya, semua ini mudah diurus menggunakan aplikasi sahaja. Anda boleh pantau bajet hanya menerusi telefon. Berikut merupakan 5 aplikasi berkesan yang saya sudah cuba untuk urus wang perbelanjaan dan simpanan.
1. MoneyCoach Budget & Spendings
Money Coach merupakan salah satu aplikasi yang saya suka gunakan sebab ia boleh jejak semua perkara yang saya mahu. Contohnya jumlah simpanan, perbelanjaan bulanan dan had perbelanjaan yang boleh saya keluarkan pada setiap hari. Untuk menjayakannya, saya cuma perlu isi butiran yang diminta ketika mula-mula memuat turun aplikasi ini.
Selain itu, saya juga boleh rancang dan jejak simpanan kewangan untuk perkara yang saya mahu, contohnya bercuti dan gadget baru. Dengan itu, bolehlah saya dapatkan perkara tersebut tepat pada waktu yang saya nak.
Seperti contoh di bawah, wang simpanan saya hanya tinggal RM1700, saya tiada lagi baki yang wang yang boleh digunakan pada hari ini. Kemudian, dipaparkan juga perincian wang yang sudah ditolak pada bulan ini. Pada halaman seterusnya, ada dipaparkan jumlah baki wang yang perlu disimpan untuk saya capai sasaran pergi bercuti.
Banyak lagi manfaat yang boleh diperolehi dari aplikasi ini, namun anda perlu bayar sedikit untuk naik tarafnya ke pakej Premium. Dengan pelan Premium, antara kelebihan yang ada ialah peringatan untuk anda bayar bil, matlamat pintar (smart goals) dan menyokong pelbagai mata wang dalam satu masa.
Android: –
iOS: https://apps.apple.com/us/app/moneycoach-budget-spendings/id989642198
2. Monny
Antara muka aplikasi ini cantik seperti dalam game. Dengannya, anda boleh rekod semua transaksi wang dalam aplikasi ini setiap kali berbelanja. Jadi anda bolehlah lihat semula di mana wang tersebut dibelanjakan dan baki yang anda ada. Selain itu, anda juga boleh tetapkan jumlah simpanan yang anda mahu dan sasaran waktu untuk mendapatkannya. Dari situ, bolehlah bermotivasi untuk capai target yang sudah anda tetapkan dan rasa wajib untuk menyimpan.
Perkara yang saya rasa unik pada aplikasi ini ialah, ia ada menyediakan cabaran supaya pengguna rasa lebih rajin untuk merekod.
Android: https://play.google.com/store/apps/details?id=com.greamer.monny.android&hl=en&gl=US
iOS: https://apps.apple.com/us/app/monny/id590327036?ls=1
3. Fortune City
Fortune City merupakan aplikasi untuk rekod dan jejak perbelanjaan harian tapi dalam grafik lebih menarik. Anda juga boleh main game melaluinya. Saya akan diingatkan setiap hari pada pukul 10 malam untuk rekod perbelanjaan saya. Contohnya ialah rekod jumlah yang saya sudah keluarkan untuk makanan, membeli-belah dan pengangkutan. Jika ada wang masuk, ia juga boleh direkodkan.
Satu blok bangunan akan diberikan untuk setiap perbelanjaan yang direkod. Jika anda selalu rekod, maka anda akan dapat cipta satu bandar. Dari bangunan itu juga anda boleh kumpul syiling digital untuk naik taraf bangunan anda. Maknanya di sini, anda boleh main game sambil ketahui jumlah perbelanjaan harian.
Selain itu, ada juga carta bulat direka yang membolehkan anda faham, dengan jelas tentang kewangan dan perbelanjaan peribadi anda setiap hari.
Android: https://play.google.com/store/apps/details?id=com.fourdesire.fortunecity
iOS: https://apps.apple.com/app/id1172713884
4. Money Manager Expense & Budget
Money Manager ialah aplikasi yang ringkas untuk anda lihat perbelanjaan yang sudah dikeluarkan. Ia membolehkan anda rekod duit yang masuk dan keluar dalam beberapa kategori berlainan. Contoh kategori untuk duit yang dikeluarkan ialah kategori makanan, pendidikan, kesihatan dan pengangkutan. Kategori untuk pendapatan pula antaranya adalah gaji, elaun dan bonus.
Kebaikan aplikasi ini ialah anda boleh lihat jumlah wang yang sudah digunakan dan disimpan pada bulan tersebut beserta baki yang tinggal dengan jelas. Maka anda bolehlah belanjakan baki yang ada dengan baik tanpa mengganggu keperluan lain.
Android: https://play.google.com/store/apps/details?id=com.realbyteapps.moneymanagerfree
iOS: https://apps.apple.com/my/app/money-manager-expense-budget/id560481810
5. MyMoney – Track Expense & Budget
Saya sangat suka aplikasi MyMoney – Track Expense & Budget, sebab ia senang difahami. Anda boleh mula merekod jumlah duit masuk (income) sewaktu anda dapat gaji. Kemudian, rekodkan juga pengeluaran duit tersebut jika anda gunakannya.
Hasilnya, anda boleh lihat jumlah wang yang anda sudah gunakan beserta baki pada satu masa itu. Selain itu, anda juga boleh letakkan bajet untuk perkara tertentu, contohnya bajet pakaian anda untuk bulan ini ialah RM100. Maka jika anda melebihi bajet itu, anda akan terima amaran. Jadi, bolehlah anda berjimat selepas itu.
Android: https://play.google.com/store/apps/details?id=com.raha.app.mymoney.free&hl=en&gl=US
iOS: –
Semua aplikasi ini berguna untuk menguruskan perbelanjaan harian. Dengannya, anda bolehlah pantau perbelanjaan anda dan elak daripada berbelanja melebihi bajet. Walaupun ciri yang didatangkan pada semua aplikasi ini hampir serupa, saya sarankan anda untuk pilih aplikasi yang mudah difahami dan antara muka yang menarik supaya anda bersemangat untuk merekod setiap hari.